Sunday, August 13, 2017

Pelik

Pokok buluh di seberang jalan meliuk-liuk ditiup angin. Bendera yang di atas pagar seolah-olah menari mengikut rentak angin. Sambil menunggu hujan meencurah ada beberapa isi yang ingin aku tuliskan di medan maya ini. Pejam celik pejam celik dah 3 tahun 1 bulan mengajar di sini. Banyak perkara aneh dan pelik yang berlaku di sini. Aku seorang yang minat dengan apa juga jenis sukan dan aku bermain dengan pelbagai jenis sukan semasa zaman sekolah dahulu. Antara sukan yang aku aktif dulu ialah hoki (ada la wakil negeri), badminton (main daerah), ping pong( sekolah), handball (sekolah dan universiti). Ada juga sukan yang aku terjebak secara tak langsung seperti basketball (paan gemuk ajak main), tenis (main sebab ambik subjek tenis), rugby (sebab kawan ajak), memanah dan banyak lagi. Apabila aku sampai ke sekolah ini, aku rasa terkongkong dan tak dapat nak berkongsi minat aku dengan pelajar, hal ini kerana sekolah aku mengajar ini sekolah perempuan.


Disebabkan minat dengan sukan, aku pun selalu melihat dari jauh pelajar-pelajar ini berlatih dan bermain sewaktu petang dan semasa pendidikan jasmani. Kadang-kadang aku senyum sendirian melihat telatah mereka di padang, ketawa dan bercakap tak pernah lekang dari bibir mereka. Sambil membawa bola pun boleh ketawa, sepak bola pun ketawa, main badminton pun ketawa. Kadang-kadang gelak tawa mereka boleh jadi penawar kepada aku yang kadang-kadang stress dengan tugas. Satu lagi perkara yang aneh di sini ialah aku permah menegur seorang pelajar dan tiba-tiba dia menangis, kadang-kadang aku bergurau pun dia menangis. Sudah…aku pun rasa serba salah, yang aku pelik cikgu perempuan yang garang macam harimau tak ada pulak budak-budak ni menangis. Entah-entah aku ada aura kegarangan yang aku sendiri tak nampak…haha..

Sunday, July 2, 2017

Malam semakin larut, alunan suara Al Ghamidi yang mengalunkan surah Ali-Imran masih kedengaran di laptop. Buku Gallileo, Fiqh Aulawiyyat, Mein Kampf, Tasauf Moden, Ihya Ulumuddin dan Syarah Al Hikam masih lagi berada di meja kecilku bersebelahan tempat pembaringan aku. Masih ada lagi karya-karya itu yang belum sempat aku khatamkan. Malam ini kubiarkan mereka rebah di atas meja dan aku hanya setia bersama Mencari Keluhuran Budi karya Za’ba pada malam ini. Za’ba dengan karya ini cuba untuk mengujahkan bahawa setiap kebahagiaan, kecemerlangan dan ketinggian hanya dapat dicapai dan digarap dengan hidup beragama yakni Islam.

Aku perhatikan ramai dalam kalangan warganegara kita yang sudah hilang keluhuran budi. Apa itu keluhuran? keluhuran bermaksud ketertinggian budi. Aku berikan contoh, di jalanraya, ada sesetengah daripada kita yang memotong di laluan kiri, memandu dengan melulu dan kadangkala aku perhatikan ada anak-anak kecil yang ada dalam kereta terserbut. 

Sesetengah anak remaja juga tanpa segan silu menuturkan kata-kata carutan. 

Entahlah...masalah dunia...oklah dah mengantuk.
Hari raya akhirnya tiba, hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dan hari kembalinya seseorang itu kepada fitrahnya setelah sebulan beribadah. Saat pagi raya ini aku begitu kalut dan gementar, apa tidaknnya pakcik-pakcik di kampung ini dah siap memberi tugasan kepada aku.
Pakcik T: azam!!! Esok naik kat mimbar ye…
Aku: err…er…. Insya-Allah ..
Begitulah…insya-Allah tanda setuju.
Aku belek-belek teks khutbah sehari sebelum itu, khuatir terbelit lidah dan tersasul membaca teks jawi, almaklumlah cikgu sejarah, bukannya ustaz. Esoknya aku jadi imam solat sunat dan khutbah.
Khutbah berkenaan dengan ancaman liberalisme dan lain-lain.
Teringat satu kata-kata Hamka dalam teks tersebut.
Jika kau tidak merasa apa-apa saat agamamu dihina, maka gantilah pakaianmu dengan kain kafan!!
Perhh…sentap beb..
Cuti seminggu ini kadang-kadang aku menyelami masalah-masalah orang kampung ini. Masalah kenaikan harga, masalah anak-anak dan lain-lain. Ada satu hari, aku pulang agak sedikit lewat sambil bersembang dengan seorang pakcik di kampung ini. Katanya esok nak ke Universiti anaknya untuk menyelesaikan masalah yuran yang tertunggak. Katanya kadang-kadang yuran ini sangat membebankan. Aku tanya kepadannya. Anak pakcik ada masalah lain tak? Solatnya? Akhlaknya?
Jawabnya tiada….anak pakcik baik.
Pakcik….bersyukurlah…kadang-kadang ada orang yang berduit dan kaya tapi Allah uji dengan anak-anak yang bermasalah dari segi akhlaknya. Aku lihat matanya berkaca-kaca, jawabnya, betul azam…pakcik pun terfikir macam tu. Moga allah mudahkan urusan pakcik.

Di sini aku boleh simpulkan, wahai anak-anak, hargailah pengorbanan ibu dan ayah, ada yang sanggup bergadai bergolok untuk kesenangan anda di sana. 

Tuesday, May 2, 2017

32 bunga

32 bunga
Lama aku tidak menulis kata-kata rapuan dan pujangga di medan khayal berkaca ini. Lama sungguh ribut kreatif dan fikiran yang terpendam serta kusimpan dalam benak ini akhirnya kulepaskan juga pada hari ini. Seharian aku digembala oleh kerja, moga aku tidak lupa dan lalai menjadi hamba kepadanya, moga aku dijauhkan daripada dihambakan oleh dunia. Semakin lewat petang, hemikrania aku semakin kuat, pabila aku keluar fotofobia menyergah mataku, pabila kudengar, fonofobia menyerang telingaku.
Aku ada 32 bunga
Pagi kudidik dan kuhias
Petangnya aku siram sehingga mereka segar

Aku ada 32 bunga
Hemikrania aku terasa hilang seketika
Melihat bunga-bunga ini segar di bawak mentari
Melihat bunga-bunga ini ceria bercanda

Aku ada 32 bunga
Setiap satunya berlainan sifat dan fizikalnya
Ada kuat rajuknya, ada licik helahnya dan ada jujur kalimahnya
Kadangkala aku siram dan bajai ada juga yang kucantas kasar sekali
Semuanya bukan kerana aku benci
Tetapi mereka kusayangi

Aku ada 32 bunga
Ada juga insan yang cuba mencantas bunga-bunga ini
Kadangkala aku juga terasa sakit bila mereka dilukai
Tapi apakan daya
Taman ini bukan aku miliki
Hanya tempat bunga-bunga ini berdikari

Aku ada 32 bunga
Satu ketika bunga ini akan pergi
Kerana mereka sudah berdikari dan bersendiri
Aku juga tak lama di sini

Mungkin satu ketika dipindahkan ke sana kemari

Thursday, December 1, 2016

oh SPM

Hari ini aku sangat dingin dan cuaca juga seperti mendorong dingin aku hari ini. Sejak daripada pagi tadi aku menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh di bilik guru. Aku pasang beberapa surah Al Quran sebagai proses pengulangan supaya tidak lupa, ibarat teman lama…kadang-kadang selalunya dia rindu, tetapi aku ini yang kadang-kadang tidak sempat mengulang hafalan menyebabkan teman itu kadang-kadang hilang dari ingatan. Beberapa ayat dalam surah Ibrahim cuba aku ulang dan ulang daripada kisah azab api neraka dan balasan bagi orang yang ingkar sehinggakan ke ayat nikmat bagi mereka yang taat kepada ALLAH. Kerja ini aku lakukan daripada pagi hingga pukul 4 petang.

Petang ini kelihatan pelajar yang bari menghabiskan kertas Kimia mula berselfie di padang dan kawasan sekolah, ada juga yang cuba memanjat tangki air asrama tetapi mereka agak takut-takut, mungkin kerana ketinggian tangki tersebut. Seronok barangkali apabila sudah tamat peperiksaan SPM. 
Aku teringat zaman sewaktu muda remaja dahulu. Setelah tamat peperiksaan aku rasa lega tetapi banyak perkara yang suka bermain dalam fikiran ini tatkala teman lain mengambil gambar keseronokan mereka. Selalunya aku yang tangkap gambar, mungkin salah satu sebab kenapa gambar aku di zaman sekolah menengah dan rendah sangat-sangat kurang. Salah satu sebabnya ialah aku tiada telefon bimbit pada waktu itu dan kamera pun tiada. Selepas SPM aku hanya pergi ke surau membaca beberapa surah pilihan dan balik ke rumah seperti biasa. Cuti seminggu itu aku habiskan di tepi laut dan beberapa buku yang aku tangguhkan bacaan kerana SPM. Sebelum kerja kontrak menjadi pekerjaan aku selepas itu. Begitulah kisahnya, tak menarik bagi kebanyakan orang tapi bagi diri ini boleh la jadi kenangan serba sedikit.

Wednesday, November 23, 2016

Setahun yang lalu

Tatkala ini aku sedang makan bersendirian di sebuah restoran di Bandungan. kedinginan cuaca di sini menyebabkan aku keluar dari bilik yang dikongsi dengan cikgu Lan dan cikgu Azmi. Aku bukanlah anti sosial, cuma aku ingin menikmati malam di sini dengan bersendirian sambil membawa buku Dr Aidh Al Qarni yang bertajuk 'ka annaka tara'. Buku yang masih belum diautopsi olehku lagi dan sudah lama aku mecari kelibat buku ini di kedai buku di Malaysia, tetapi tiada.
Aku keluar juga kerana ingin melihat elemen sosioekonomi di sekitar sini. Ragam manusianya,pekerjaannya dan penempatan mereka. Aku hadir di sini sebenarnya untuk mengiringi lawatan dan pertandingan pelajar di Semarang. Kami bergerak dari KLIA2 pada pukul 9 pagi dan tiba di Jogja pada sekitar pukul 11 pagi.
Kota Jogja pada pandangan mata kasarku adalah seperti  kota Bharu,Kelantan,yang kediamannya merupakan tanah lot dan kegiatan ekonomi kecil yang agak rancak seperti menjual Bakso,soto,surat khabar dan lain-lain.
Penginapan kami adalah di sebuah hotel di tengah badar jogja cuma pada hari pertama tiba di jogja kami hanya mampu meninjau suasana di sekitar lorong-lorong dalam bandaraya klasik ini. Sambil menanti teksi ke hotel,aku sempat berbual dengan pemilik kedai buku mengenai kehidupan di sini. Berbual mengenai suasana sosioekonomi tempatan. Aku juga telah menemui buku idaman iaitu 'ka annaka tara'. Terdapat kereta kuda yang menyusur di sekitar jalan dan motosikal merupakan kenderaan utama penduduk di sini. Bersambung...

Sunday, April 24, 2016

rushing under my wheels

Seperti biasa, minggu yang agak sibuk. Jumaat ini aku sudah bertekad untuk pulang ke kampung halaman. Sudah lama aku perhatikan kapcai merah aku berdiri kaku di rumah. Seolah olah menjerit dan memanggil tuannya supaya dipulas minyak, ditekan breknya, diputar tayarnya dan dipacu selajunya. Aku bukan tidak berselera untuk memacunya, cuma masjid dan nasi lemak medan gopeng dan usrah sahaja yang aku guna khidmatnya. Sudah lama tidak merempuh angin dan meluncur laju di lebuhraya bersama kapcai merah aku itu.
Petang ini kurasakan dirinya begitu teruja ingin merempuh angin dan menghujam debu di lebuhraya. Aku juga sudah lama memerhatikan jaket lusuh, seluar khakis dan jazz star lusuh sudah lama berhabuk.
Ya....petang ini akan ku kembalikan zaman kegemilangan mereka itu di lebuhraya. Setia bersama aku sejak dari UPSI lagi. Bersama meranduk becak di jalanan, bersama memecah titis hujan, bersama melekat dengan debu dan bau tar di hamparan jalan.
Kutamatkan latihan hoki petang ini dengan penuh keterujaan. Kuterajang starter kapcaiku dan kupulas pedalnya sepuas hatiku. wroooomm...wroommm...ya... bunyinya sudah cukup menandakan ia bersedia menongkah angin dengan bantuan ciri aerodinamiknya.
kususuri jalan dengan pelbagai idea, perasaan dan kenangan yang seolah olah bergaduh, bertumbuh dan berperang dalam minda ini. Berperang untuk memenangi pilihan hatiku ini. Kadang kenangan yang muncul, kadang idea yang terpacul dan kadang perasaan yang timbul.
Aku juga kadang membuat hitunganku sendiri, bila di jalanan bersama motorku, aku rasa hafalan quran yang sedikit aku lupakan berjaya aku ulang. Paling mendominasi ialah halatuju hidupku sendiri. Kalau boleh aku ingin kembarq jauh supaya dapat kutuliskan dengan panjang lebar segala kecamuk yang berada dalam minda ini.
Terkadang mulut ini juga menyanyi tanpa sedar, coldplay, five 4 fighting sering jadi irama sampingan bersama tiupan angin. Patutlah uncle tadi tengok aku semacam...rupanya terkuat pulak aku nyanyi tadi..haha..
oklah..sudah tercapai niat dan aku selamat sampai ke kampung. Dua jam di atas motor dan persinggahan di masjid sudah cukup bagiku untuk merasa nikmatnya. adioss..