Wednesday, February 25, 2015

tanggungjawab itu lebih daripada masa


Aku rasa seperti tidak layak untuk menulis mengenai masa, kerana kadang-kadang aku juga sering mengabaikannya. Tapi tak mengapalah, ingatan ini cuma untuk soliloque diri ini dalam keheningan malam setelah kerja yang padat pada waktu siang dan program ikhwah waktu malam. Ahh..baru dapat ku rasa lega dan nikmat baring diatas tilam kekabu setelah seharian berjalan seperti nomad.
Merujuk balik kepada tajuk...ya..ada benarnya kata Al banna, tanggungjawab itu lebih daripada masa. Akh...(ingatan untuk diri), kadang-kadang kita terlalu sibuk bekerja sehingga lupa tanggungjawab kita kepada agama. Akh..kadang-kadang kita sibuk dengan urusan dakwah sehingga ibu bapa kita di kampung menanggung rindu kepada anaknya. Akh..kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kerja kita terlupa bahawa kita ini masih perlu diisi dengan ilmu. Akh...kadang-kadang kita terlalu sibuk sehingga kita lupa bahawa ada insan yang masih memerlukan ilmu dari kita.Akh...kadang-kadang kita sibuk sehingga lupa ada keperluan diri yang perlu kita tunaikan seperti berkeluarga.Akh.....dan banyak lagi.   Mata pun sudah mengantuk.. esok masih ada tanggungjawab lagi untuk diselesaikan.....akh...akh....(akulah akh yang suka membuang masa itu..huhu)

Tuesday, February 17, 2015

Senja itu...

Malam itu benar-benar tenang, mencurahkan ketenangan dalam relung hatiku. Sebelum itu, pada senja yang kelam, aku pergi ke asrama dengan motor kapcai teman. Azan kualunkan dan usai solat Ustaz jemputan memulakan mutiara katanya. Cikgu shah berbisik kepadaku, Tuan Guru sudah meninggal dunia sebentar tadi. Aku terpana seketika, lidah mengungkapkan lafaz sunat musibah sambil hati bergetar kerana hiba. Aku mengenalinya sejak kecil lagi dan masih segar lagi dalam ingat bila aku mula menbaca karyanya ' tazkiyah an nafs' sewaktu darjah enam. Kitabnya kubawa sampai ke universiti untuk tazkiyah diri ini. Alhamdulillah, hasrat hati untuk bersua dengannya akhirnya tercapai semasa ziarah ke Kelantan. Kelibatnya samar-samar kulihat. Sambil bertongkat, dia berjalan menggagahkan diri yang semakin dimamah usia. Dia berjalan memasuki masjid dan duduk berhampiran denganku. Tanpa perlu disapa, dia menghadiahkan senyuman yang  manis disebalik kedut tua di wajahnya. Kini dia telah pergi dan menunaikan hakikat sebagai pengembara dunia menuju ke destinasi yang pasti. Perjuangan dan ilmunya menjadi tauladan buat diri. Ku sedar, destinasi itu juga pasti menjemputku nanti. Al fatihah buat Tuan Guru Nik abdul Aziz bin Nik Mat.