Tuesday, June 23, 2015

lamunan di hujung malam.

Malam semakin jauh menuju penghujungnya. Tersedar aku dari lamunan malam yang kadang-kadang tidak kurang puitisnya, Kenangan-kenangan lalu terbit dengan sendirinya dalam minda dan terasa menebal kerinduan di dalam hati. Jam mununjukkan pukul 12 malam, aku yang kekenyangan selepas menelan lauk moreh di asrama dengan laparnya semakin terpejam celik kerana diserang mengantuk. Suasa di rumah seperti biasa, di luar rumah riuh dengan hingar bingar pelajar kolej yang mungkin sedang sibuk menyediakan lauk bersahur atau berbincang tugasan secara berkumpulan. Teringat aku dengan kenangan sewaktu berada di universiti dahulu. Aku ditugaskan sebagai chef setiap kali berbuka puasa. Lauk seperti tomyam, sup, masak lemak cili padi sering menjadi pilihan pelajar yang pada ketika itu kalau tidak enak pun habis juga lauk itu ditelan oleh mereka dek kerana lapar. Pada malamnya pula Surau KUO menjadi pilihan penghuni kolej untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Indahnya pengalaman ketika itu bersama teman-teman. Walaupun dari sudut pandangan politik agak berbeza tetapi ukhuwah kami tetap erat.
Lamunan malam ini terhenti. Kadang-kadang terasa canggung kerana membiarkan ianya pergi. Seolah-olah aku kembali melalui mesin masa ke zaman itu. Seolah-olah kerana itu baru berlaku semalam. Aku menghentikan lamunanku. Aku sedar aku sekarang tidak berada di dunia itu. Murid-muridku akan menanti aku di kelas menjelang fajar terbit dari timur. Malamnya pula mereka menunggu aku di surau untuk bersolat tarawih. Aku juga perlu menyegarkan minda ini dengan ayat al quran untuk dibaca pada malam-malam seterusnya. Suasana di sini tidak seperti di bumi pendidik dahulu. Untuk menghafal semuka al quran tidak semudah seperti yang kulalui dahulu.
Malam begitu cepat merangkak ke penghujungnya, mata yang kuyu kian layu kerana keletihan sepanjang hari. Sepanjang siang dan awal malam aku letih menghitung diri. Akan kukumpul tenaga kembali untuk melalui onak duri hari esok yang takdirnya masih belum kuketahui. Dadaku tidak selapang dan setenang sewaktu di bumi pendidik. Daerah yang kurasakan jauh terpisah daripada dunia material hanya ilmu dan ukhuwah yang menghiasa perjalanan di sana.

lamunanku terhenti/cherry park/ipoh.