Wednesday, July 15, 2015

Catatan setahun yang lalu..ada suka dan ada duka

Keputusan temu duga sudah diketahui..
Kini, terlerai seribu persoalan yang dinanti..
Ya, mengenai masa depan diriku ini..
Adakah berjaya menjadi pendidik sejati..

Azam diri menjadi murabbi..
Akan tetapi, adakah usaha diri setara dengan apa yang dicitai..
Ya, aku masih berusaha memperbaiki diri..
Moga diri ini mendapat petunjuk ilahi..

Keputusan temu duga telah heboh diperkata..
Ketika itu aku sibuk sambil tercelik-celik biji mata..
Melihat dokumen yang berabad lama..
Moga ada serangkap dua ayat yang boleh diambil cerita..
Bagi thesisku yang entah bila siapnya..

Seorang, dua orang dan tiga orang mula bertanya..
Telefon tidak pintar sering kali berbunyi dan menyala-nyala..
Aku menjawab kepada mereka..
Ada rezeki tu adalaaa..!!!
Esok dan lusa akan kuketahui juga..
Kalau ada rezeki itu, ia tidak ke mana..
Kalau tiada, maka redhalah jua dengan kehendakNYA..

Keputusan temu duga sudah terpapar..
Banyak perasaan calon yang tergambar..
Ada yang suka, ada juga yang hambar..
Adikku menefon sambil aku menanti bas dengan sabar..

Abang..keputusan sudah diketahui..
Aku mendengar ungkapannya dengan teliti..
Abang dah lulus!!..katanya lagi..
Aku bersyukur kepada ilahi..
Setapak lagi langkah ke hadapan menjadi murabbi..

Aku juga pernah merasa perasaan itu..
Menanti dan terus menanti waktu..
Aku tahu..
Harapan kau, aku, dan kita semua hanyalah satu..
Iaitu menjadi seorang guru..

Kini..
Hendak aku nyatakan perasaan sabar..
Aku tahu, mungkin kau lebih sabar daripadaku..
Hendak kunyatakan perasaan tabah..
Aku tahu, mungkin kau sudah lama tabah sebelum ini..
Hendak aku berpesan supaya berdoa sebanyak-banyaknya..

Tapi aku tahu, mungkin doa kau lebih daripada doa-doaku..

Minggu Terakhir Ramadan 2015.

Mata semakin berat menanggung rasa mengantuk. Buku "On The Trail of Genghis Khan" masih dalam peganganku sambil laptop memainkan lagu "City Hunter Nana OST" . Aku melipat bahagian terakhir yang  dibaca pada hari ini, esok mungkin kalau mood membaca hadir lagi, akan aku buka kembali buku tersebut. Riuh suara kanak-kana bermain sudah reda, mungkin semuanya sudah terlena barangkali. Biasalah....rumahku tempat sepupu-sepupu berkumpul. Semuanya dalam usia 5-13 tahun, jadi tidak hairanlah rumah menjadi hiruk pikuk dengan suara anak-anak. 

Hari ini terdetik hati ini untuk menulis nostalgia dalam minggu terakhir ramadan pada tahun ini. Ramadan ini aku dikejutkan dengan pemergian dua sahabat baik. Seorang meninggal disebabkan makanan dan seorang lagi akibat daripada komplikasi organ. Moga kedua-dua arwah diberikan tempat yang terbaik oleh Allah di akhirat sana. Aku mengenali Arwah Zainul ketika sekolah menengah. Beliau seorang yang tegas dan baik. Persahabatan kami berlanjutan sehingga ke universiti dan sepanjang berada di universiti arwah sangat aktif dalam gerakan dakwah manakala aku lebih selesa bergerak dalam NGO dakwah. Tutur kata yang lembut dan berhikmah menjadi santapan sahabat setiap hari. Zainul...Allah lebih menyayangi engkau...

Akhi Rahim nama diberi, teman yang santun bila berbicara. Aku mengenali beliau semasa forum di UPM. Aku berucap dan bertanya soalan kepada ahli panel. Selepas itu aku disapa oleh seseorang.

Rahim: Akh...enta asal dari bagan datok ya?

Aku : ye..ana asal dari sana. Kenapa?

Rahim: ana pun dari sana.

perbualan kami berlanjutan sehingga tamat forum.

Allah takdirkan aku bertemu dengan pemuda yang berjiwa hebat. Insyaallah akh...perjuanganmu akan dibalas dengan ganjaran baik daripada Allah.

Kisah-kisah ini sebenarnya adalah kisah yang ingin aku selitkan dalam tazkirah dan solat tarawih terakhir di surau asrama. Akan tetapi manusia hanya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Pada malam itu, Allah menguji hambanya dengan sedikit kemalangan. Tayar hadapanku terlanggar lubang lalu pecah ketika lagi dua tiga minit lagi azan akan berkumandang. Kebetulan kemalangan itu berlaku dekat dengan lokasi kedai untuk kami (aku, wan cili, mus'ab, dan hafizuddin mesir) berbuka puasa.

Lupakan tayar dan kereta...mari kita pekena stimbot dulu. Setelah selesai menjamu selera. Ujian sebenar bermula. Tayar kereta tidak boleh ditukar. Aku perlu berkejar ke asrama, mus'ab pula bertugas sebagai imam di surau STAM. Mujurlah ada hamba Allah yang baik hati menolong diri ini. 
Tayar siap dipasang tetapi tugas aku di Surau Annur dan mus'ab di STAM terpaksa dileburkan. 
Ya...ada hikmahnya. Percayalah pada ujian dan takdir Allah.

Aku rindu dengan suasana surau, walaupun diri ini bukan ustaz atau alim ulama. Moga ada terdetik di hati ana muridku untuk melangkah setapak lagi dengan kebaikan. Aku juga perlukan zarah-zarah kebaikan meresap kedalam relung hati kerna kutahu nanah-nanah dosa sebagai manusia perlu dibersihkan dengan zikir dan muhasabah tentang hakikat manusia diciptakan.

Moga Allah ketemukan aku dengan ramadan pada tahun hadapan dan moga Allah jadikan ramadan ini yang terbaik buat diriku jika ini merupakan ramadan terakhir bagiku. 

(azam/bagan datok/kampunghalaman)


Wednesday, July 1, 2015

Introvert hadir dalam suasana kerja.


Sambil menanda buku pelajar dan mendengar laptopku terngiang-ngiang mengalunkan lagu "another you" hatiku meronta-ronta hendak mencari tempat yang sunyi dan dapat menerbitkan ilham dalam diri. Aku rasakan suasana dalam bilik besar ini seperti pasar malam yang dipenuhi makcik-makcik yang bergosip sambil memilih ikan yang hendak dibeli. Sejujurnya aku tidak suka perkara ini, aku keluar....aku memilih surau sebagai tempat bersunyi-sunyian...alhamdulillah habis buku-buku ditanda.

Tuesday, June 23, 2015

lamunan di hujung malam.

Malam semakin jauh menuju penghujungnya. Tersedar aku dari lamunan malam yang kadang-kadang tidak kurang puitisnya, Kenangan-kenangan lalu terbit dengan sendirinya dalam minda dan terasa menebal kerinduan di dalam hati. Jam mununjukkan pukul 12 malam, aku yang kekenyangan selepas menelan lauk moreh di asrama dengan laparnya semakin terpejam celik kerana diserang mengantuk. Suasa di rumah seperti biasa, di luar rumah riuh dengan hingar bingar pelajar kolej yang mungkin sedang sibuk menyediakan lauk bersahur atau berbincang tugasan secara berkumpulan. Teringat aku dengan kenangan sewaktu berada di universiti dahulu. Aku ditugaskan sebagai chef setiap kali berbuka puasa. Lauk seperti tomyam, sup, masak lemak cili padi sering menjadi pilihan pelajar yang pada ketika itu kalau tidak enak pun habis juga lauk itu ditelan oleh mereka dek kerana lapar. Pada malamnya pula Surau KUO menjadi pilihan penghuni kolej untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Indahnya pengalaman ketika itu bersama teman-teman. Walaupun dari sudut pandangan politik agak berbeza tetapi ukhuwah kami tetap erat.
Lamunan malam ini terhenti. Kadang-kadang terasa canggung kerana membiarkan ianya pergi. Seolah-olah aku kembali melalui mesin masa ke zaman itu. Seolah-olah kerana itu baru berlaku semalam. Aku menghentikan lamunanku. Aku sedar aku sekarang tidak berada di dunia itu. Murid-muridku akan menanti aku di kelas menjelang fajar terbit dari timur. Malamnya pula mereka menunggu aku di surau untuk bersolat tarawih. Aku juga perlu menyegarkan minda ini dengan ayat al quran untuk dibaca pada malam-malam seterusnya. Suasana di sini tidak seperti di bumi pendidik dahulu. Untuk menghafal semuka al quran tidak semudah seperti yang kulalui dahulu.
Malam begitu cepat merangkak ke penghujungnya, mata yang kuyu kian layu kerana keletihan sepanjang hari. Sepanjang siang dan awal malam aku letih menghitung diri. Akan kukumpul tenaga kembali untuk melalui onak duri hari esok yang takdirnya masih belum kuketahui. Dadaku tidak selapang dan setenang sewaktu di bumi pendidik. Daerah yang kurasakan jauh terpisah daripada dunia material hanya ilmu dan ukhuwah yang menghiasa perjalanan di sana.

lamunanku terhenti/cherry park/ipoh.

Monday, May 18, 2015

Hari Guru...aku biasa-biasa saja...

Hari Isnin, aku seperti biasa pergi ke sekolah sambil mengunyah epal sebagai sarapan di dalam kereta. Sampai di sekolah aku terus menuju ke thumbprint untuk mengesahkan kehadiran hari ini. Seperti biasa hari Isnin merupakan perhimpunan rasmi. Ritual klise dalam perhimpunan seperti nyanyian negaraku, lagi perak, lagu sekolah dinyanyikan. Cuma, hari ini ada tambahan lagu iaitu lagu "Kami Guru Malaysia". Bibir aku kelu kerana tidak ingat lirik lagu.. Selesai perhimpunan aku masuk ke kelas Jasmine. Seorang murid yang agak celupar bertanya.. Cikgu tak nyanyi ye tadi??
Aku jawab...Cikgu tak ingat lirik...banyak lagi perkara kena ingat (lagak garang) haha.
Pelajaran hari itu aku teruskan dengan peribahasa yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Disebabkan jawapan mereka yang agak merapu dalam peperiksaan sebelum ini, aku rasa perlu untuk diajar semua peribahasa tersebut. Pada 29hb ini sekolah mengadakan tema pakaian "kalau aku bukan guru". Arhh..rasa seperti mahu memakai baju buruh kontrak seperi aku pernah lakukan dulu. Biar anak muridku mengerti makna kehidupan.




Wednesday, May 6, 2015

hujan..waktu yang sesuai untuk termenung

Waktu petang di Ipoh, tatkala sibuk menyiapkan soalan-tiba-tiba awan gelap berarak yang membawa beribu gelen air untuk dimuntahkan ke bumi. Hujan membawa nikmat kepada tumbuhan setelah kontang berjemur dipanah terik mentari. Kadang Allah juga menguji hambanya dengan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir besar.
Aku bermonolog sendirian, tatkala hati resah dan gundah memikirkan soalan yang sedang digubal. Adakah muridku cukup bersedia untuk menjawabnya.
Hujan turun selebat-lebatnya. Padang yang dahulunya hijau, kini seolah-olah menjadi sawah. Air hujan menghempas bumbung dengan bertubi-tubi. Sorak riang teman di bilik guru tenggelam dek guruh dan bunyi asakan hujan.
Aku keluar mencari tempat yang sesuai bagi menikmati suasana ini. Aku melihat padang. Aku teringat zaman kanak-kanak bila aku membawa bola sambil bermain di tengah hujan lebat. Aku teringat bila aku membawa basikal sambil mengayuh riang di tengah hujan.
Menjejak usia remaja, mula meninggalkan hobi tersebut. Aku mula duduk di tepi jendela sambil memerhatikan curahan air hujan.
Hujan juga mengingatkan aku semasa zaman universiti, menunggang motorsikal sambil meredah hujan lebat. Mahasiswa/wi berpayung untuk ke kelas.
kembali ke kerusi berhampiran bilik guru..aku termenung panjang sambil memerhatikan bunga gugur ditimpa hujan. Bunyi deruman air hujan yang jatuh dari bumbung ibarat muzik alam yang mempersona. Lamunan aku yang lama di kerusi itu terhenti...
'Ai....azam termenung jauh nampak....'
Teguran dari rakan sekerja membuatku menoleh dan tersenyum.
'Saje tenangkan diri..stress sikit tadi'.
bersambung.....

Monday, May 4, 2015

1.55 a.m...esok dapat relief sebab latihan hoki Msspk.

Sebenarnya aku tak suka sangat relief kelas- tapi inilah tugasku sebagai pendidik, akademik aku perlu jaga dan kokurikulum juga perlu aku ambil perhatian dan peduli. Aku tak macam cikgu lain- balik ke rumah ikut waktu, aku balik ke rumah tak tentu. selalunya aku pulang lewat petang dan kadang-kadang balik malam kalau ada usrah dengan teman dan juga meeting dengan organisasi. Begitulah kehidupanku- ada masa aku suka dengan kehidupan ini, ada masa aku rasa letih tapi inilah hakikat sebagai seorang pengembara dunia yang sementara ini.
aku suka masuk kelas. Dalam kelas aku suka bercerita, beramah mesra dengan pelajar, bergurau, dan paling penting mengajar. Tapi aku tak suka terikat dengan silibus,..sebab ini menyekat aku untuk menghurai setiap  fakta sejarah yang aku tahu. Keterikatan ini menyebabkan kaedah pengajaran aku jadi terhad...skema...dan tak menarik.
Hoki..minggu lepas orang semua balik ke kampung, bercuti ke dalam dan luar negara. Tapi aku...
aku masih di dalam dewan menjadi jurulatih, aku suka...kerana itu minatku sejak dari kecil. Hari itu aku dan budak berjaya dapat tempat keempat walaupun mereka layak untuk johan.
Apa yang aku merapu malam-malam ni.
Kertas sejarah baru aku edit...dan bebudak kelas kalau tak baca apa yang aku ajar memang nak kena leter...hmmm.. adios..