Monday, February 15, 2016

Ujian Kesihatan

Hari ini aku begitu lesu sekali, badanku terasa lemah dan daif. Semalaman aku tidak tidur, badanku terasa hangat pijar dan hidung terasa seperti disumbat dengan kapas. Pagi ini aku sempat memecut motorku untuk solat subuh di masjid. Di masjid, anak tahfiz ada yang terlena di tiang seri masjid, ada juga yang sibuk menghafal al quran. Aku yang lemah lesu pun duduk bersandar di dinding pudar masjid menanti azan subuh bilal masjid. Selepas solat dengan badan yang lemah aku bergegas balik dengan pecutan motor, rupanya pengetua ada di belakang aku semasa memecut tadi…arhh..sudah.
Masuk ke kelas aku dengan badan yang lesu dan lemah diuji dengan anak murid yang baik…sebaik baiknya…sudah disuruh baca buku semasa cuti tetapi masih tak mampu menjawab soalan yang sudah aku peringatkan saban hari. Sesungguhnya proses mendidik ini perlukan banyak kesabaran dan kerendahan hati bukan kemarahan dan kegeraman. Radang-radang egois dalam hari para guru perlu dihakis dengan pahat zikir dan munajat. Ah…aku bermonolog seolah-olah aku suci dari kemarahan, ya…aku akui kadang-kadang sifat ini timbul pabila diri ini ditekan dari pelbagai sudut bukan sekadar tekanan biasa, tetapi seolah-olah tekanan cecair hidraulik yang mampu menggerakkan puluhan tan batu dan membengkokkan keluli.

Saat ini juga aku diuji dengan pelbagai meeting dan juga program dakwah di luar, sosok lemah ini kadang-kadang hampir rebah disadung dengan segala macam program tadi. Ya..Allah… tenangkanlah fikiran dan kembalikanlah tenaga badan ini. Moga segala tugaskan mampu dipikul dengan gagah dan kukuh. Terik mentari di atas kepada seolah olah jarak mentari satu meter di atas kepala. Panasnya bukan kepalang. Aku menghela nafas yang agak tersekat dari tadi dek kerana mukus yang ada dalam salur pernafasan. Solat zuhur kutunaikan setelah tulang temulangku ini direhatkan di atas tikar sejadah sebelum azan dikumandangkan.

Helaan nafas serentak dengan heretan langkah menuju ke dewan mesyuarat, kepalaku berat mendengar segala penerangan, akan tetapi pena di jariku laju melukis warna emosi diri. Abstrak yang aku sahaja mengerti dan sukar dihalusi oleh kebanyakan orang. Selesai mesyuarat asar menggamitku ke surau dan tugasku diteruskan kemudian dengan melatih anak-anak remaja di padang. 6.30 p.m langkah suram ini diteruskan ke kereta dan terus memecut ke kedai makan. Tauke kedai menyapa….
Macam tak sihat je…

Ya pakcik…demam…jawabku.
Balasnya pula… nampak macam tak makan tengah hari lagi ni.
Jawabku…ya pakcik..macam tahu-tahu je..

Aku pun kembali ke rumah dengan hidangan nasi lemak berlauk ayam dan ditambah dengan tempe.
Sambil mengunyah nasi mindaku berfikir…
Beruntungnya aku masih dikurniakan rezeki, ada orang yang tidak punya rezeki sepertiku tapi masih mampu menjalani kehidupan dengan gembira. Ada orang yang rezekinya kais pagi makan pagi tapi masih mampu mengukir senyuman semanis madu. Ada yang kehidupan sehariannya dihujani dengan peluru dan mortar tetapi masih mampu bercanda gurau dengan temannya.

Ya…saat sendirian ini aku mencatat tinta monolog ini..tinta yang kuharap mampu menggugah jiwa ini supaya menjadi lebih kuat. Mampu berbakti kepada dakwah dengan lebih kencang dan laju. Allah…mampukah aku?? Tanda soal terbit dalam mindaku.

Saturday, February 13, 2016

lisan tak terjaga..

Petang ini aku menghabiskan sisa cuti dengan memancing ikan di kunci air berdekatan dengan laut. Di sini juga terdapat sekumpulan remaja lelaki. Salah seorang daripada mereka memegang joran seperti aku, menunggu sang sembilang memagut umpan, kalau tak semilang, ikan duri yang menyambar umpan. Sambil-sambil menyanyikan lagu noh salleh- sang penikam di dalam hati dan mengharap ada ikan besar menyentap joran, Aku memasang telinga mendengar perbualan anak-anak remaja tersebut:

Remaja A: weiii…ape korang tengah buat no bod#h..??
Remaja B dan C: ekelehhh…. Tak kan ko tak nampak ni B##i?? aku tengah mancing la bo@#h.
Remaja A: alaa….aku tau la..bo@@h..hahaha

Daripada menyanyi lagu noh hujan hatiku terus berubah kepada istighfar sebanyak-banyaknya…astaghfirullah...beginilah percakapan seharian anak muda kita. Aku pun pernah muda remaja tapi seingat aku tiadalah sampai mulutku tergelincir menyebut perkataan-perkataan itu. Aku juga pelik kenapa teman-temannya tak marah ketika kawan yang lain memaki hamun mereka. Aku rasa kalau aku digelar seperti itu rasanya penumbuk kiri ini dah hinggap ke batang hidung dah. Padamu mungkin mereka sudaha lali digelar seperti itu dan sebab itulah gelaran itu melekat dan sebati dalam diri sehingga akhlak mereka pun seperti gelaran-gelaran itu.
Aku terfikir..dari manakah budaya ini datang...

Rumah??
Sekolah??
Rakan??

Aku pasti bukan daripada guru…
Pada aku mungkin juga ia bermula dari rumah. Mak dan ayah aku tak pernah menyebut perkataan-perkataan yang tidak senonoh bahkan jika mereka terdengar anak menyebut perkataan mencarut akan dicilinya mulut kami dengan cabai hidup. Tetapi ada juga sesetengah ibu bapa yang tanpa segan silu mencarut di hadapan anak-anak mereka. Pernah semasa aku minum di kedai makan, seorang ayah membawa anaknya dan tanpa segan silu mencarut di hadapan anaknya kerana makanan lambat sampai. Di mana tarbiyatul aulad untuk anak-anak kita jika lisan dan akhlak kita sendiri tidak dijaga.
Sebab yang kedua ialah daripada lingkungan persekitaran mereka, aku pasti ada dalam kalangan anak-anak remaja yang sewaktu di rumah masih suci dan bersih daripada carut marut. Akan tetapi bial mereka menjejak ke asrama, persekitaran itu seolah menjadi wabak di sekitar kawasan tersebut. Seolah oleh mereka yang ada dalam lingkungan itu tidak boleh lari daripada penyakit itu. Aku merasakan penyakit ini melanda pelbagai asrama, sama ada di sekolah perempuan, lelaki, sekolah agama. 
Di mana salahnya?..

Padaku kekuatan dalaman seseorang itu yang takut kepada ALLAH sangat-sangat penting. Takut kepada dosa lisan itu sangat-sangat penting. Risau kepada ukhwah yang retak akibat kata-kata itu penting. Tak guna jika kita kata:
mulut aku memang jahat, tapi hati aku baik!!
 sedangkan hakikatnya watak luaran itulah gambaran dalamannya dan kalau hatinya baik dia tak akan mengaku hatinya baik. Hati yang baik penuh sifat kerendahan dan tawaduk. Ada juga yang kata:
Ala…aku memang macam ni..nanti dah tua aku berubah la..!!
Tapi…tak sedarkan kita…tarikh kematian itu hanya allah yang tahu. Tua bukan syarat mati, sakit juga bukan syarat mati. Tak sedarkan kita setiap hari kita hidup, dalam masa yang sama kain kafan kita sedang ditenun, saamaada cepat atau lambat mesin tenunan itu. Begitulah perumpamaan kehidupan yang sementara ini.

Jadi solusinya perubahan dalam itu penting..kuatkan ruhi kita. Cari teman yang baik akhlaknya. Di ini bukan aku suruh memilih teman tetapi kita perlu pandai menapis setiap apa yang ada pada teman kita. Yang indah kita ambil manakala yang jelik kita buang jauh-jauh.
Jadikan lisan kita ini mengeluarkan kata-kata yang indah didengar, seolah-oleh wangian yang mewangikan setiap orang yang ada di sekelilingnya. Jadikan lisan kita ini seolah matahari yang menerangi kegelapan hati-hati kita dan hati orang sekeliling kita.
Aku pun berleter sendirian dalam hati dan dek kerana rimas dengan gelagat remaja yang seperti kera putus ekor itu, aku pun pergi ke tempat yang lebih sunyi.

 Lagu Noh Salleh aku sambung…

‘dalam terang…malam…kucari semua yang telah… padam…. dari suaramu…dendam dan rindu fana….bla…bla…bla….”



Wednesday, February 10, 2016

Kembara Klasik Ke KKB


Cuti kembali lagi, kali ini trip kembara masih lagi berfokus ke KKB, entah kenapa daerah itu begitu menggamit diri, mungkin kerana banyak kenangan tercipta di sana. Kembara kali ini disertai oleh alif dan fuad, saudara aku. Teringin sangat nak cari adventure katanya. Nah..jom ikut aku.

Pagi itu aku ambil kereta buruk ayah aku yang lama tersadai kat bawah bangsal.  Ayah aku ada tiga kereta dan dia guna satu sahaja. Yang dua lagi dah ibarat barang muzium je. Aku tak mahu guna kereta aku, sebab nak masuk hutan dan aku takut bila keluar hutan kereta dah lesap dan sebab tu aku pilih kereta buruk dan sebab yang lain kononnya nak hipster sikit dan try a new adventure lah.
Sebut fasal kereta, selepas solat subuh aku cuba panaskan enjin sebelum bertolak..alamak…bunyi enjin dia semacam je…timing belt agak hidup segan mati tak mahu..berbunyi keriuk keriuk..haha. Ah…aku tawakal je kat jalan nanti. Tak lama lepas tu Fuad datang dengan pancing., nak memancing katanya. So…perjalanan dengan kereta buruk dan uzur itu pun bermula…fuuhh…letih jugak aku memulas stering yang tak ada power stering. Sampai teluk intan aku ambil alif dari rumah dia. Kembara kami dihiasi dengan kabus tebal dan kereta buruk yang tingkap terbuka menyebabkan muka aku basah kena kabus tadi..haha.



Sampai di Behrang Station kami singgah bersarapan roti canai di kedai bekas anak murid aku. Pekan Behrang Station ni ibarat pekan pada tahun 70-an kerana masih mengekalkan ciri-ciri bangunan pada masa itu. Anak murid aku tadi mungkin tak perasan pada awalnya semasa ambil order, mungkin cara pakaian aku yang agak simple, bertopi besball dan bersekuar khakis bundle menyebabkan dia menyangka aku seorang pekerja kontrak yang ambil overtime masa cuti ni. Lama-kelamaan dia mula perasan…cikgu!!!...haha…ingatkan dapat makan free tadi..rupanya tak juga…haha

Perjalanan kami diteruskan…enjin kereta buruk menderam deram…angin dari luar masuk meniup-niup rambut aku hingga serabai. Alif di tempat duduk belakang terlentok-lentok kerana mengantuk manakala Fuad sibuk mengisahkan perihal pekerja di tempat kerja dia. Kereta aku melalui pekan Tanjung Malim. Sampai di sini aku pulak buka cerita fasal pengalaman hidup kat sini. Tak lama lepas tu kereta buruk pun sampai di pekan KKB. Pekan ini pekan lama dan banyak sejarahnya, tak perlu nak aku huraikan panjang lebar sejarah tersebut kerana kalau nak disembangkan aku perlu buat satu tajuk khas iaitu sejarah KKB.

Kereta buruk terus meluncur laju..daripada jalan lurus di KKB kemudian terus memecut ke jalan bengkang bengkok di tepi lereng bukit. Aku rasakan tayar seperti nak tercabut ketika melalui lereng. Teringat anime Intial D pulak masa ni..haha. Angin kencang serta dingin melalui lereng bukit terasa begitu segar dan menyamankan, ditambah pula dengan keindahan empangan Selangor yang luas saujana mata memandang.

Setelah bermain drift di selekoh tajam akhirnya kami pun tiba ke destinasi. Kami berjalan sedikit kemudian sampai di kaunter pendaftaran…kena daftar yob…nanti hilang kome sesat dalam hutan. Dah selesai kami bertiga pun mula melangkah ke dalam hutan. Trek biasa-biasa je..sesuai untuk release tension la. Aku pun campak sikit roti habuan ikan makan..tak lama lepas tu ada pelancong India datang… wooww….fish la ..!@#$@%!% aku pun tak faham apa dia kata…aku faham fish je…haha…what the fish!!...aku pun bagi la sikit penerangan dalam bahasa Inggeris kat depa fasal ikan, fasal hutan kat Malaysia, fasal conservation bagai…haha…dah jadi macam tourist guide dah aku.
Perjalanan kami diteruskan dengan beberapa lintasan sungai yang agak deras airnya. Bila melintas ni yang best…alif siap jadi sukarelawan banjir lagi tolong orang melintas sungai…aku dengan puad dan melintas awal..haha.,,terpaksalah tunggu dia tolong orang. Dua jam masuk dan dua jam keluar..lepas tu kereta buruk ni pun memecut balik dan sambil-sambil tu sempat memancing lagi kat jambatan. Kami singgah solat jamak takhir di Masjid KKB dan kemudian singgah di UPSI… sempat memancing lagi kat sana..haha. mengimbau kenangan lalu katakan…
Balik  je rumah…mak aku tanya…banyak ke ikan dapat??

Hrmmm….hrmm…adalah sekor….haha


Maaf la kalau penulisan ni dicampur dengan bahasa santai. Asyik bahasa formal je aku tulis..

Tuesday, January 5, 2016

Jogja 1st day...

Tatkala ini aku sedang makan bersendirian di sebuah restoran dalam kawasan Bandungan. Kedinginan cuaca di sini menyebabkan aku keluar dari bilik yang dikongsi dengan En Lan dan En Azmi. Aku bukanlah antisosial, tetapi aku ingin bersendirian sambil menikmati udara dingin dalam sepi malam di kawasan pergunungan ini. Sambil termenung aku membelek sambil membaca sedikit isi buku “Muhammad ka annaka tara” yang dibeli dengan harga 40 ribu rupiah di toko buku yang terletak di pusat Jogjakarta. Kedainya agak daif, berdinding papan dan beratap genting, tetapi penjual buku tersebut agak berfikiran luas, banyak aku aku bualkan dengan beliau seperti tajuk buku popular sehingga kepada siatuasi politik serantau.


Entah kenapa aku sedikit sebak apabila membaca buku ini, mungkin kerana tulisan Dr Aidh yang agak puitis dan diterjemah dengan baik oleh penterjemah Indonesia sehingga mampu menggegar jiwa nurani ini dengan gambaran kehebatan dan kesederhanaan junjungan mulia Rasulullah SAW. Sebenarnya aku mencari buku ini agak lama, sejak dari Malaysia dan akhirnya Allah temukan aku dengan karya ini di Indonesia.

Aku tiba di Jogja pada 13.12.15, dengan menaiki pesawat pada pukul 10 pagi dan tiba dalam pukul 12 tengah hari. Suasana di Jogja agak mirip dengan suasana dan bandar di Ipoh. Tidak terdapat bangunan mencakar langit Cuma bezanya dengan Ipoh ialah kepadatan penduduk dan keadaan “macet” atau dalam bahasa di negara kita “kesesakan lalu lintas”. Daripada lapangan terbang kami dibawa ke sebuah rumah persinggahan yang terletak di lorong-lorong sempit di tengah kota Jogja. Hujan lebat di Jogja tidak mengganggu kembara kami, aku serba sedikit melihat keadaan sosioekonomi penduduk tempatan.

Apabila hujan reda kami bergerak ke Restoran Nasi Padang untuk menikmati hidangan pertama di kota Jogja. Masakan tidak jauh beza dengan semenanjung, Cuma bezanya di sini makanannya tidak berkuah seperti di Malaysia. Usai menikmati makanan aku berjalan jalan di sekitar rumah-rumah kedai di tepi jalan Jogja. Agak klasik melihat kedai papan dan atap genting.



Setelah itu kami dibawa menginap di Hotel berhampiran kawasan Universiti, aku tak ingat Universiti apa. Kami berehat sebentar dan tiba-tiba En Lan mengadu demam dan di mengigigil kesejukan. Malam itu aku dengan en Azmi berjalan sambil mencari hidangan malam untuk mengisi perut. Usai makan aku kami pergi membeli kad prabayar. Aku tertarik dengan koleksi buku yang dimiliki oleh budak penjual prabayar tersebut. Buku-bukunya tersusun rapi di belakang, sempat juga berbual mengenai sejarah Indonesia dan karya tulisan adian husaini.

Wednesday, December 30, 2015

Ibarat sebiji kek resipi rahsia

Saat aku menulis ini sebenarnya aku sedang melepaskan  segunung emosi yang ditujahkan ke papan kekunci  computer. Saat ini juga metacarpals dan phalanges diikat erat oleh intrinsic muscle, lumbrical dan interossei tanda kegeraman yang terpendam di dalam hati. Bahasa penulisan aku juga bertukar daripada melankolik kepada kegeraman.

Dah la..aku nak tukar gaya penulisan. Nak jugak tulis gaya hipster.
Marah sebab apa?

Petang tadi aku berjalan seseorang di Parade, tiba-tiba ternampak la sorang budak ni, rasanya macam kenal. Oh…memang  kenal…budak kelas  2 ###$%% . Dengan siapa pulak dia pegang tangan tu?? Hmm. Nak sangka baik abang dia tapi…aku jalan dengan adik aku pun tak pernah pegang tangan. Aku rasa boyfren dia kot. Sah la tu.

Budak-budak…meh sini aku nak bagitau.
Korang rasa relationship tu kekal ka?
Sampai ke jinjang pelamin ka?
Yang paling penting sekali halal ka?

Serius aku bagitau kat korang, berdasarkan pengalaman aku dengan kawan-kawan macam tu., depa tak kan kekal lama yang ada pun mungkin 5/100 kot. Pasal henfon boleh break, pasal kerja sekolah boleh break dan macam-macam lagi la. Yang lelaki hanya nak ambil kesempatan je…yang perempuan pulak sebab dengki kawan lain ada boyfren.. Poin aku bukan pasal punca break ni.

Adeii…..mat rempit ni bising-bising pulak kat tepi jalan ni…ganggu aku nak menulis je.!!! Shuhhh…main jauh-jauh!!!

Ok sambung pasal poin tadi…

Korang rasa halal tak hubungan yang pegang-pegang tangan, duduk rapat-rapat. Mestilah tak halal bro and sis!! Allah tak redha hubungan macam tu.
Lagi satu..agak-agak korang rasa, bakal suami/isteri korang nanti, bila korang dah cukup matang dan dah kahwin, redha tak isteri/suami dia dah disentuh dibelai oleh orang lain???
Confirmlah tak redha!!!! Aku berani potong kuku la !!!!

Meh sini aku nak bagi analogi/metafora/meteora ehh…tu lagu linkin park..haha..
Analogi sebenarnya macam ni.

Korang seperti sebiji kek rahsia resipi. Asalnya cantik mulus, berkrim dan berhiasi. Tiba-tiba ada orang ramas, kacau, gaul dengan tangan dia..dah la tak basuh tangan!!! Haisshhhh.
Lepas tu korang/kek tadi nak dijamu kepada orang VVVVVVIP dalam dunia ni. Agak-agak VVVVVIP  tu nak makan tak kek tadi…dah la Nampak kena ramas,gaul dengan tangan kotor tu.
Konfirmlah tak mau makan.!!!! Aku berani gunting rambut aku bila dah panjang sikit!!!!!
Tetapi..*bayangkan aku cakap dengan nada yang menusuk kalbu *

Jika kek tadi cantik, mulus, suci…aku gerenti VVVVIP dalam dunia ni AKA bakal pasangan korang nanti akan lebih bertuah dan menghargai korang sepenuh hatinya. *harap dia pun sama macam korang* yakinlah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.

Huh…

Weii…aku nasihat ni bukan nak suruh korang baca…aku pun tulis bukan nk suruh korang baca. Kalau dah terbaca dan sentap…aku harap Korang berubah la.  Dapat sikit pahala kat aku. Aku saja tulis nak lepas geram je. Sebab tempat ni ibarat luahan hati aku sejak dari dulu lagi. Aku pun nak kata baik macam malaikat pun idak jugak. Kita sama je…manusia biasa..ada dosa da nada pahala. Zaman sekolah dulu tanyalah apa band underground yang aku tau, tanyalah band inggeris yang aku dengar muziknya…oasis, nirvana, coldplay, the killers, keane…banyak lagi la…korang apa tau!!!

Tapi Alhamdulillah walau rocker dan underground aku masa dulu…ALLAH masih jaga hati ini untuk bakal zaujah*aku pun tak tau sapa*  sampai sekarang….insyaallah..**sekarang tak rocker dah***

Ehh…kenapa lagu Keane-everybody s changing kat laptop ni tiba-tiba hang pulak.


Aku dah meluahkan poin-poin aku kat atas tu. Hari ni bahasa tulisan aku macam pasar ikan. Sebab geram punya pasal. Aku tak suka menulis bahasa ni tapi kadang-kadang tertulis jugak.
***woi…nak naik motor pi la dalam mimpi…jangan memekak kat tepi rumah aku ni!!!!!!

Yang benar dan berazam = Azam hafizi

Thursday, December 10, 2015

Sedarlah wahai diri, engkau sentiasa dekat dengan kematian.

Entah kenapa hari ini aku merasa sangat-sangat hiba. Hari ini aku telah menziarahi kematian ayah sahabatku. Aku mengenali ayahnya seorang yang sangat baik dan aku bersedih atas pemergiannya. Akan tetapi rasa hibaku bukanlah disebabkan kesedihan itu. Aku merasakan diriku ini sangat-sangat dan sangat dekat dengan kematian dan hakikat kematian itu memanglah sangat dekat kepada manusia cuma bila waktunya dan di mana tempatnya itu adalah rahsia ALLAH.

Sepanjang perjalanan daripada Teluk Intan ke Ipoh aku rasakan pipi dan bajuku basah dengan lelehan air mata. Bacaan surah ali imran daripada Syeikh Misyari di radio yang agak sayu menambah lagi tusukan-tusukan kesedihan dan penyesalan di dalam hati. Aku terbayang jika ALLAH mencabut nyawaku pada saat ini, adalah aku bersedia dengan alam kubur yang bersendirian itu, adakah aku cukup kuat untuk menjawab soalan-soalan malaikat di alam kubur nanti dan adakah amalan aku cukup untuk mencium bau-bauan syurga di akhirat nanti. Adakah aku mampu untuk mendapat nikmat syurga  yang banyak dinyatakan dalam al-quran seperti dalam surah an-naba ayat 31-36, surah al mutaffifin ayat 18-26.  Ya ALLAH aku sangat takut dengan azab nerakaMu, aku sangat takut dengan percikan-percikan api yang bahan bakarnya adalah orang-orang kafir, aku sangat takut dengan makanan ahli neraka iaitu buah yang berduri, aku takut aku dicampak dalam keadaan yang terhina di akhirat kelak. Aku teringat dengan ingatan dan amaran yang telah diberi oleh ALLAH dalam surah al Ghaasyiah ayat 1 hingga 7.

 Sebenarnya Allah telah mengujiku dengan saat-saat berdepan dengan kematian. Aku teringat ketika pulang daripada kuliah Dr Zulkifli al bakri di Slim River. Aku pulang ke UPSI bersendirian dalam lingkungan pukul 10 malam. Pada malam itu aku begitu rindu dengan mak dan abah lalu aku menghidupkan motor jam 11 malam untuk pulang ke kampung yang memakan masa 3 jam perjalanan. Tiba di selekoh tajam dan gelap berhampiran SMKA Slim River motor aku dilanggar dengan ganas oleh sebuah treler dari belakang. Aku terpelanting dan terseret hampir 10 meter di atas tar. Aku bernasib baik tidak disedut oleh tayar treler tersebut.  Setelah terseret di jalan tar yang gelap aku terpandang bias-bias cahaya di cermin topi keledarku, sebuah lori yang datang dari belakang hampir hampir melanggarku yang sedang terbaring kelenguhan dan kebingungan di atas tar itu. Kurasakan tayar lori itu hampir beberapa inci dengan badanku. Allah…Allah….andai ini saatnya maka aku serta merta mengucap tiada tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu pensuruh ALLAH. Tubuhku menggigil dan hatiku sangat-sangat kosong pada ketika itu hanya terbayang kematian sahaja. Tersedar dari lamunan aku terus bingkas bangun ke tepi jalan. Aku terduduk sayu dan seluruh otot dan sendiku kebas kerana jatuhan dan seretan ganas di atas tar tadi. Allah…begitu hampir aku dengan kematian. Saat itu juga ada insan yang baik hati sudi menumpangkan aku ke Tanjung Malim.

Malam itu sungguh sayu, aku mengeti ALLAH masih lagi memberi peluang untuk diri memperbaiki diri sebelum amal dan amalanku terputus. Tangisan penyesalan pada malam itu aku sendukan di tikar sejadah. Mak dan Abah pada ketika itu masih tidak tahu lagi kemalangan tersebut, esoknya baru aku memberitahu mereka.


Ya ..Allah jadikanlah saat nafas terakhirku ketika aku berjuang menegakkan agamamu, saat aku berjuang supaya diriku dan umatmu menegakkan syiar agama ini.  

Friday, December 4, 2015

Chasing the years of my life


Seperti yang sering aku kata, aku ingatkan kepada murid-murid, bahawa pengalaman lampau, walau sekerdil dan seremeh mana pun, kadang-kadang ia memberi makna  yang cukup mendalam untuk difikir dan dijadikan ilham serta pengajaran supaya kita dapat mengorak langkah dalam perjalanan kehidupan ini. Pengalaman ini jika digaul dengan ramuan dan perisa kehidupan ia mampu menjadi opus magnum kepada diri ini. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri ini, kerana aku tahu, aku bukan siapa-siapa kepada orang lain, hanya berlagu di halaman sendiri.

Penghujung tahun 2015 tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, dan genaplah setahun aku menabur khidmat yang tidak seberapa ini di sekolah yang agak hebat menurut kata-kata orang di sekitar sini. Ya…aku akui sukar untuk mengikut rentak di sini. Rentak yang pantas, kalut, deras…semuanya ada di sini. Aku hanya seolah-olah lagu balada dan jazz yang tidak mampu menyaingi lajunya rentak muzik metal dan trash.

Tahun ini juga anak murid pertama secara rasminya telah menghadapi peperiksaan SPM. Jujur aku katakan banyak kerenah murid kadang-kadang meresahkan fikiran, menggundah gulanakan hati dan ada kalanya telatah mereka jadi hiburan dikala aku sedih dan berduka. Begitulah indahnya suka duka menjadi guru. Cabaran juga bagi diri yang setahun jagung dalam dunia ini, sebelum ini aku hanya menjadi juara dalam penulisan dan kajian dalam lembaran kertas putih sahaja, tapi tahun ini sukar untuk aku menjadi juara dalam hati dan sekujur jasad seseorang manusia itu.

Juara hati bagi murid-murid yang pelbagai ragam dan sifat. Kadang-kadang ada yang melawan seperti “F”, ada yang suka berhujah seperti “H” dan ada juga yang aku selalu marah tetapi dia tetapi senyum seperti “S”. Aku terfikir….inilah ragam yang aku perlu lalui sepanjang tahun dalam tugas memberi ilmu dan inspirasi kepada mereka. Banyak masalah mereka yang perlu aku ketahui, perlu aku fahami bukan sekadar mengajar apa yang aku tahu sahaja. Aku juga perlu membuang ego seperti yang ada pada Narcisscus seperti dalam watak lagenda Yunani untuk memahami masalah mereka itu.
Aku bukan superman dan superhero yang mampu memenuhi kehendak semua orang. Aku hanya seorang guru yang mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak murid berjaya. Ya walaupun ianya kadang tak dihargai oleh semua.

Berakhirnya SPM…

Alhamdulillah bagi mereka..kurasakan telah lega dari segala penah lelah untuk menghadapi SPM ini.  Tetapi aku ingin tegaskan, untuk menjadi seorang yang berjaya, tiada istilah rehat dan bersenang lenang. Ranum dan masak sesuatu buah itu bukan mudah, banyak serangga perosak dan kulat menghalangnya menjadi buah yang masak ranum dan manis untuk dimakan. Begitulah analogi cabaran sepanjang bergelar pelajar dan pengembara dunia.
Berbalik kepada diriku…


Dalam tahun ini, aku terasa seperti pelakon yang menjadi beberapa karakter, sekejap aku menjadi jurulatih di padang, sekejap mejadi m.c di majlis, sekejap menjadi pengarah drama, sekejap menjadi motivator di kelas. Begitulah tugas aku di sekolah. Kadang-kadang tugas yang tak dijangka, sukar tetapi di akhirnya menjadi kenyataan dan kegembiraan seolah-olah aku terjun dari tempat tinggi dan tiba-tiba keluar parachutes menyelamatkan diri ini. Alhamdulillah segala urusan tahun ini hampir 90% sudah berakhir.