Tuesday, January 5, 2016

Jogja 1st day...

Tatkala ini aku sedang makan bersendirian di sebuah restoran dalam kawasan Bandungan. Kedinginan cuaca di sini menyebabkan aku keluar dari bilik yang dikongsi dengan En Lan dan En Azmi. Aku bukanlah antisosial, tetapi aku ingin bersendirian sambil menikmati udara dingin dalam sepi malam di kawasan pergunungan ini. Sambil termenung aku membelek sambil membaca sedikit isi buku “Muhammad ka annaka tara” yang dibeli dengan harga 40 ribu rupiah di toko buku yang terletak di pusat Jogjakarta. Kedainya agak daif, berdinding papan dan beratap genting, tetapi penjual buku tersebut agak berfikiran luas, banyak aku aku bualkan dengan beliau seperti tajuk buku popular sehingga kepada siatuasi politik serantau.


Entah kenapa aku sedikit sebak apabila membaca buku ini, mungkin kerana tulisan Dr Aidh yang agak puitis dan diterjemah dengan baik oleh penterjemah Indonesia sehingga mampu menggegar jiwa nurani ini dengan gambaran kehebatan dan kesederhanaan junjungan mulia Rasulullah SAW. Sebenarnya aku mencari buku ini agak lama, sejak dari Malaysia dan akhirnya Allah temukan aku dengan karya ini di Indonesia.

Aku tiba di Jogja pada 13.12.15, dengan menaiki pesawat pada pukul 10 pagi dan tiba dalam pukul 12 tengah hari. Suasana di Jogja agak mirip dengan suasana dan bandar di Ipoh. Tidak terdapat bangunan mencakar langit Cuma bezanya dengan Ipoh ialah kepadatan penduduk dan keadaan “macet” atau dalam bahasa di negara kita “kesesakan lalu lintas”. Daripada lapangan terbang kami dibawa ke sebuah rumah persinggahan yang terletak di lorong-lorong sempit di tengah kota Jogja. Hujan lebat di Jogja tidak mengganggu kembara kami, aku serba sedikit melihat keadaan sosioekonomi penduduk tempatan.

Apabila hujan reda kami bergerak ke Restoran Nasi Padang untuk menikmati hidangan pertama di kota Jogja. Masakan tidak jauh beza dengan semenanjung, Cuma bezanya di sini makanannya tidak berkuah seperti di Malaysia. Usai menikmati makanan aku berjalan jalan di sekitar rumah-rumah kedai di tepi jalan Jogja. Agak klasik melihat kedai papan dan atap genting.



Setelah itu kami dibawa menginap di Hotel berhampiran kawasan Universiti, aku tak ingat Universiti apa. Kami berehat sebentar dan tiba-tiba En Lan mengadu demam dan di mengigigil kesejukan. Malam itu aku dengan en Azmi berjalan sambil mencari hidangan malam untuk mengisi perut. Usai makan aku kami pergi membeli kad prabayar. Aku tertarik dengan koleksi buku yang dimiliki oleh budak penjual prabayar tersebut. Buku-bukunya tersusun rapi di belakang, sempat juga berbual mengenai sejarah Indonesia dan karya tulisan adian husaini.

Wednesday, December 30, 2015

Ibarat sebiji kek resipi rahsia

Saat aku menulis ini sebenarnya aku sedang melepaskan  segunung emosi yang ditujahkan ke papan kekunci  computer. Saat ini juga metacarpals dan phalanges diikat erat oleh intrinsic muscle, lumbrical dan interossei tanda kegeraman yang terpendam di dalam hati. Bahasa penulisan aku juga bertukar daripada melankolik kepada kegeraman.

Dah la..aku nak tukar gaya penulisan. Nak jugak tulis gaya hipster.
Marah sebab apa?

Petang tadi aku berjalan seseorang di Parade, tiba-tiba ternampak la sorang budak ni, rasanya macam kenal. Oh…memang  kenal…budak kelas  2 ###$%% . Dengan siapa pulak dia pegang tangan tu?? Hmm. Nak sangka baik abang dia tapi…aku jalan dengan adik aku pun tak pernah pegang tangan. Aku rasa boyfren dia kot. Sah la tu.

Budak-budak…meh sini aku nak bagitau.
Korang rasa relationship tu kekal ka?
Sampai ke jinjang pelamin ka?
Yang paling penting sekali halal ka?

Serius aku bagitau kat korang, berdasarkan pengalaman aku dengan kawan-kawan macam tu., depa tak kan kekal lama yang ada pun mungkin 5/100 kot. Pasal henfon boleh break, pasal kerja sekolah boleh break dan macam-macam lagi la. Yang lelaki hanya nak ambil kesempatan je…yang perempuan pulak sebab dengki kawan lain ada boyfren.. Poin aku bukan pasal punca break ni.

Adeii…..mat rempit ni bising-bising pulak kat tepi jalan ni…ganggu aku nak menulis je.!!! Shuhhh…main jauh-jauh!!!

Ok sambung pasal poin tadi…

Korang rasa halal tak hubungan yang pegang-pegang tangan, duduk rapat-rapat. Mestilah tak halal bro and sis!! Allah tak redha hubungan macam tu.
Lagi satu..agak-agak korang rasa, bakal suami/isteri korang nanti, bila korang dah cukup matang dan dah kahwin, redha tak isteri/suami dia dah disentuh dibelai oleh orang lain???
Confirmlah tak redha!!!! Aku berani potong kuku la !!!!

Meh sini aku nak bagi analogi/metafora/meteora ehh…tu lagu linkin park..haha..
Analogi sebenarnya macam ni.

Korang seperti sebiji kek rahsia resipi. Asalnya cantik mulus, berkrim dan berhiasi. Tiba-tiba ada orang ramas, kacau, gaul dengan tangan dia..dah la tak basuh tangan!!! Haisshhhh.
Lepas tu korang/kek tadi nak dijamu kepada orang VVVVVVIP dalam dunia ni. Agak-agak VVVVVIP  tu nak makan tak kek tadi…dah la Nampak kena ramas,gaul dengan tangan kotor tu.
Konfirmlah tak mau makan.!!!! Aku berani gunting rambut aku bila dah panjang sikit!!!!!
Tetapi..*bayangkan aku cakap dengan nada yang menusuk kalbu *

Jika kek tadi cantik, mulus, suci…aku gerenti VVVVIP dalam dunia ni AKA bakal pasangan korang nanti akan lebih bertuah dan menghargai korang sepenuh hatinya. *harap dia pun sama macam korang* yakinlah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.

Huh…

Weii…aku nasihat ni bukan nak suruh korang baca…aku pun tulis bukan nk suruh korang baca. Kalau dah terbaca dan sentap…aku harap Korang berubah la.  Dapat sikit pahala kat aku. Aku saja tulis nak lepas geram je. Sebab tempat ni ibarat luahan hati aku sejak dari dulu lagi. Aku pun nak kata baik macam malaikat pun idak jugak. Kita sama je…manusia biasa..ada dosa da nada pahala. Zaman sekolah dulu tanyalah apa band underground yang aku tau, tanyalah band inggeris yang aku dengar muziknya…oasis, nirvana, coldplay, the killers, keane…banyak lagi la…korang apa tau!!!

Tapi Alhamdulillah walau rocker dan underground aku masa dulu…ALLAH masih jaga hati ini untuk bakal zaujah*aku pun tak tau sapa*  sampai sekarang….insyaallah..**sekarang tak rocker dah***

Ehh…kenapa lagu Keane-everybody s changing kat laptop ni tiba-tiba hang pulak.


Aku dah meluahkan poin-poin aku kat atas tu. Hari ni bahasa tulisan aku macam pasar ikan. Sebab geram punya pasal. Aku tak suka menulis bahasa ni tapi kadang-kadang tertulis jugak.
***woi…nak naik motor pi la dalam mimpi…jangan memekak kat tepi rumah aku ni!!!!!!

Yang benar dan berazam = Azam hafizi

Thursday, December 10, 2015

Sedarlah wahai diri, engkau sentiasa dekat dengan kematian.

Entah kenapa hari ini aku merasa sangat-sangat hiba. Hari ini aku telah menziarahi kematian ayah sahabatku. Aku mengenali ayahnya seorang yang sangat baik dan aku bersedih atas pemergiannya. Akan tetapi rasa hibaku bukanlah disebabkan kesedihan itu. Aku merasakan diriku ini sangat-sangat dan sangat dekat dengan kematian dan hakikat kematian itu memanglah sangat dekat kepada manusia cuma bila waktunya dan di mana tempatnya itu adalah rahsia ALLAH.

Sepanjang perjalanan daripada Teluk Intan ke Ipoh aku rasakan pipi dan bajuku basah dengan lelehan air mata. Bacaan surah ali imran daripada Syeikh Misyari di radio yang agak sayu menambah lagi tusukan-tusukan kesedihan dan penyesalan di dalam hati. Aku terbayang jika ALLAH mencabut nyawaku pada saat ini, adalah aku bersedia dengan alam kubur yang bersendirian itu, adakah aku cukup kuat untuk menjawab soalan-soalan malaikat di alam kubur nanti dan adakah amalan aku cukup untuk mencium bau-bauan syurga di akhirat nanti. Adakah aku mampu untuk mendapat nikmat syurga  yang banyak dinyatakan dalam al-quran seperti dalam surah an-naba ayat 31-36, surah al mutaffifin ayat 18-26.  Ya ALLAH aku sangat takut dengan azab nerakaMu, aku sangat takut dengan percikan-percikan api yang bahan bakarnya adalah orang-orang kafir, aku sangat takut dengan makanan ahli neraka iaitu buah yang berduri, aku takut aku dicampak dalam keadaan yang terhina di akhirat kelak. Aku teringat dengan ingatan dan amaran yang telah diberi oleh ALLAH dalam surah al Ghaasyiah ayat 1 hingga 7.

 Sebenarnya Allah telah mengujiku dengan saat-saat berdepan dengan kematian. Aku teringat ketika pulang daripada kuliah Dr Zulkifli al bakri di Slim River. Aku pulang ke UPSI bersendirian dalam lingkungan pukul 10 malam. Pada malam itu aku begitu rindu dengan mak dan abah lalu aku menghidupkan motor jam 11 malam untuk pulang ke kampung yang memakan masa 3 jam perjalanan. Tiba di selekoh tajam dan gelap berhampiran SMKA Slim River motor aku dilanggar dengan ganas oleh sebuah treler dari belakang. Aku terpelanting dan terseret hampir 10 meter di atas tar. Aku bernasib baik tidak disedut oleh tayar treler tersebut.  Setelah terseret di jalan tar yang gelap aku terpandang bias-bias cahaya di cermin topi keledarku, sebuah lori yang datang dari belakang hampir hampir melanggarku yang sedang terbaring kelenguhan dan kebingungan di atas tar itu. Kurasakan tayar lori itu hampir beberapa inci dengan badanku. Allah…Allah….andai ini saatnya maka aku serta merta mengucap tiada tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu pensuruh ALLAH. Tubuhku menggigil dan hatiku sangat-sangat kosong pada ketika itu hanya terbayang kematian sahaja. Tersedar dari lamunan aku terus bingkas bangun ke tepi jalan. Aku terduduk sayu dan seluruh otot dan sendiku kebas kerana jatuhan dan seretan ganas di atas tar tadi. Allah…begitu hampir aku dengan kematian. Saat itu juga ada insan yang baik hati sudi menumpangkan aku ke Tanjung Malim.

Malam itu sungguh sayu, aku mengeti ALLAH masih lagi memberi peluang untuk diri memperbaiki diri sebelum amal dan amalanku terputus. Tangisan penyesalan pada malam itu aku sendukan di tikar sejadah. Mak dan Abah pada ketika itu masih tidak tahu lagi kemalangan tersebut, esoknya baru aku memberitahu mereka.


Ya ..Allah jadikanlah saat nafas terakhirku ketika aku berjuang menegakkan agamamu, saat aku berjuang supaya diriku dan umatmu menegakkan syiar agama ini.  

Friday, December 4, 2015

Chasing the years of my life


Seperti yang sering aku kata, aku ingatkan kepada murid-murid, bahawa pengalaman lampau, walau sekerdil dan seremeh mana pun, kadang-kadang ia memberi makna  yang cukup mendalam untuk difikir dan dijadikan ilham serta pengajaran supaya kita dapat mengorak langkah dalam perjalanan kehidupan ini. Pengalaman ini jika digaul dengan ramuan dan perisa kehidupan ia mampu menjadi opus magnum kepada diri ini. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri ini, kerana aku tahu, aku bukan siapa-siapa kepada orang lain, hanya berlagu di halaman sendiri.

Penghujung tahun 2015 tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, dan genaplah setahun aku menabur khidmat yang tidak seberapa ini di sekolah yang agak hebat menurut kata-kata orang di sekitar sini. Ya…aku akui sukar untuk mengikut rentak di sini. Rentak yang pantas, kalut, deras…semuanya ada di sini. Aku hanya seolah-olah lagu balada dan jazz yang tidak mampu menyaingi lajunya rentak muzik metal dan trash.

Tahun ini juga anak murid pertama secara rasminya telah menghadapi peperiksaan SPM. Jujur aku katakan banyak kerenah murid kadang-kadang meresahkan fikiran, menggundah gulanakan hati dan ada kalanya telatah mereka jadi hiburan dikala aku sedih dan berduka. Begitulah indahnya suka duka menjadi guru. Cabaran juga bagi diri yang setahun jagung dalam dunia ini, sebelum ini aku hanya menjadi juara dalam penulisan dan kajian dalam lembaran kertas putih sahaja, tapi tahun ini sukar untuk aku menjadi juara dalam hati dan sekujur jasad seseorang manusia itu.

Juara hati bagi murid-murid yang pelbagai ragam dan sifat. Kadang-kadang ada yang melawan seperti “F”, ada yang suka berhujah seperti “H” dan ada juga yang aku selalu marah tetapi dia tetapi senyum seperti “S”. Aku terfikir….inilah ragam yang aku perlu lalui sepanjang tahun dalam tugas memberi ilmu dan inspirasi kepada mereka. Banyak masalah mereka yang perlu aku ketahui, perlu aku fahami bukan sekadar mengajar apa yang aku tahu sahaja. Aku juga perlu membuang ego seperti yang ada pada Narcisscus seperti dalam watak lagenda Yunani untuk memahami masalah mereka itu.
Aku bukan superman dan superhero yang mampu memenuhi kehendak semua orang. Aku hanya seorang guru yang mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak murid berjaya. Ya walaupun ianya kadang tak dihargai oleh semua.

Berakhirnya SPM…

Alhamdulillah bagi mereka..kurasakan telah lega dari segala penah lelah untuk menghadapi SPM ini.  Tetapi aku ingin tegaskan, untuk menjadi seorang yang berjaya, tiada istilah rehat dan bersenang lenang. Ranum dan masak sesuatu buah itu bukan mudah, banyak serangga perosak dan kulat menghalangnya menjadi buah yang masak ranum dan manis untuk dimakan. Begitulah analogi cabaran sepanjang bergelar pelajar dan pengembara dunia.
Berbalik kepada diriku…


Dalam tahun ini, aku terasa seperti pelakon yang menjadi beberapa karakter, sekejap aku menjadi jurulatih di padang, sekejap mejadi m.c di majlis, sekejap menjadi pengarah drama, sekejap menjadi motivator di kelas. Begitulah tugas aku di sekolah. Kadang-kadang tugas yang tak dijangka, sukar tetapi di akhirnya menjadi kenyataan dan kegembiraan seolah-olah aku terjun dari tempat tinggi dan tiba-tiba keluar parachutes menyelamatkan diri ini. Alhamdulillah segala urusan tahun ini hampir 90% sudah berakhir.

Monday, November 16, 2015

Kenangan tahun enam.

Esok keputusan UPSR keluar. Malam ni aku teringat sambil senyum sendiri mengenang kisah lalu yang tak berapa nak menarik bagi orang lain. Tapi bagi aku ia kisah silam yang sangat evergreen, nostakgik, dan weltanscauung.
Sebelum UPSR aku boleh dikatakan pelajar  yang agak “loser” dan “introvert” sehingga guru-guru tidak meletakkan harapan untuk dapat keputusan yang baik dalam UPSR. Waktu hari perjumpaan dengan ibu bapa, antara aduan guru kepada Abah dan Mak aku ialah:
Guru: anak encik ni pendiam sangat. Nak bercakap pun susah.
Guru: anak encik ni tak berkawan dengan orang. Asyik dok sorang-sorang je.
Guru: anak encik ni nak jawab soalan pun susah. Berat mulut sangat.
Aku hanya terkebil-kebil melihat situasi tu. Balik rumah memang kena marah la dengan Mak dan Abah. Aku pun mula bersemangat sikit untuk study tapi dengan cara introvert akulah. Study di atas rumah pokok, study di jambatan sorang-sorang, kalau kat sekolah aku cari surau untuk study. Disebabkan aku dipandang loser kat kelas masa tu, cikgu letak aku sekumpulan dengan budak perempuan. Aku tak pasti motif apa, tapi aku memang benci duduk dalam kumpulan tu hahaha. Budak-budaknya bawa anak patung dalam kelas, sembang cerita drama pukul 9, dan selalu tuduh aku meniru bila markah aku lagi tinggi daripada mereka hahaha…dengki lettew…
Bila aku berubah dan mula jawab soalan cikgu depa tuduh aku tunjuk pandai…memang bermusuh betul aku bila terpaksa duduk dalam grup tu. Sekarang depa tak percaya aku yang loser dulu dah jadi cikgu...depa yang bermusuh dengan aku dulu dah jadi doktor, engineer, ustazah, model tudung. Agak –agak ingat lagi tak depa bila aku yang loser ni tolong lukiskan lukisan depa masa subjek pendidikan seni dulu sebab depa lukis macam cakar ayam…haha.
Teringat aku bila keputusan nak diumumkan. Aku tengah syok melukis goku yang pada masa tu dalam komik dragon ball jilid 42. Haha..ingat lagi jilid tu...
Cikgu panggil semua pelajar berkumpul kat kantin. aku ambik slip exam dan cikgu ucapkan tahniah kat aku sambil ucapkan kata-kata tak sangka aku boleh dapat result tu. Budak-budak dalam kumpulan yang dengki dengan aku tu mula la nak berbaik-baik dengan aku….hahaha.
Aku malas nak cakap result kat sini..haha..nanti orang kata riak pulak...ok bye...

-hari ni tulis santai sikit-

Monday, November 2, 2015

Selekoh kehidupan


Hujan yang lebat. Biasanya hujan sebegini jari-jemariku begitu gatal untuk mengetuk papan kekunci komputer. Entah mengapa pabila titik-titik air yang menghujam bumi dan makhluk di sekitarnya berlaku, hati aku memberontak untuk menulis. Begitulah hujan, aku dan tulisan.
Sepanjang perjalananku  ke rumah dari Medan Gopeng, hatiku kadang-kadang terusik, kadang-kadang memberontak, kadang-kadang tersenyum sendiri seolah-oleh aku melihat melodrama yang terpapar di cermin keretaku.
Aku melihat kesungguhan anak muda berjualan burger. Hujan sedikit sebanyak mengurangkan jualannya hari ini. Bersabarlah teman, allah sedang mengujimu pada hari ini, insya-Allah nikmat dan rezeki yang lebih akan datang pada hari esok atau lusa.
Aku melihat bapa yang menunggang motosikal sambil seorang ibu memaut anaknya yang duduk di tengah. Menggigil sambil kesejukan. Bersabarlah wahai ibu dan bapa. Doakan anakmu itu akan membantu kamu di dunia dan menjadi anak soleh yang mendoakan kamu di akhirat.
Begitulah ujian dunia. Ada suka dan ada duka. Kehidupan yang melalui beribu selekoh dan cabaran yang bakal dihadapi di setiap selekoh. Ada yang mudah ada yang sukar. Ada sesetengah manusia yang semakin luntur sifat manusiawinya. Baru dikurniakan nikmat sudah tinggi mendongak dan mendepang dada. Herdikan dan makian busuk kepada si miskin sering kuperhatikan. Aku melihat si kaya yang sebegitu dengan pandangan yang meloyakan.
Aku tidaklah kaya seperti ahli perniagaan yang asyik menghitung untung rugi….tidak juga fakir sehingga mengharap belas ihsan orang. Aku hanya hidup secukup makan. Tidak juga baik dan tidaklah juga jahat. Akan tetapi setiap pengalaman, doa dan iktibar yang aku lalui sepanjang ribuan selekoh dunia dan onak yang bertaburan di sepanjang jalan telah mengajarku erti syukur. Cukuplah dengan kaya dengan kebijaksanaan dalam mengambil tindakan dan kaya dengan penyerahan diri kepada tuhan.
Kadang-kadang bila termenung di tepi tingkap sambil menikmati hujan, aku terasa diri ini begitu tenang meskipun jiwa ini tenang dan gelisah. Ketenangan juga boleh hadir pabila dahi ini menyentuh tikar sejadah tanda perhambaanku kepada tuhan. Rasaku…telah banyak cahaya yang tuhan berikan kepadaku. Nikmat teman, nikmat harta, keluarga dan bumi yang kupijak serta nafas yang kusedut. Aku merasakan sudah menemui emosi yang tenang sekarang.
Mataku berkaca-kaca dan terbit titis jernih keluar daripadanya. Tidak sedar rupa-rupanya aku menangis sekarang. Menangis sambil menulis. Aku tahu itulah wadah tangisanku sekarang. Aku tahu tangisan juga adalah hikmah kepada manusia daripada tuhan.
Aku sedar…jasadku ini akan kembali ke bumi dalam ruangan yang sempit.
Nasihatku kepada diri ini…
Membesar…capai…sambut nikmat dunia ini…tapi jangan lupa kepada akar yang membumi. Kalau reput akar maka tumbanglah pohon diri.
Madahku terganggu dengan suara anak-anak asrama. Usia remaja yang kadang-kadang sukar untuk aku mengerti…hmmm.


Monday, October 12, 2015

Liku di UM

Aku merenung titis-titis hujan daripada jendela mewah di Heritage Hotel. Titis air terbit di cermin kaca akibat daripada proses kondensasi yang berlaku kerana cuaca di dalam bilik lebih sejuk berbanding di luar. Selama empat hari ini minda aku letih merenung dan menanda kertas 3 pagi, petang dan malam.

Esok aku perlu ke Kuala Lumpur. Mengiringi anak-anak hoki untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan juga lawatan ke tempat menarik di Kuala Lumpur. Bandar yang agak nostalgia bagiku. Ya…nostalgia…nanti kusambung kisahnya di perenggan seterusnya.
Hari Jumaat…penghulu segala hari. Aku tergesa-gesa menghantar kereta ke rumah dan kembali ke hotel untuk sesi terakhir pembentangan. Kemudian aku tergesa-gesa untuk keluar awal dari dewan kerana bas sudah menunggu di luar kelas. Sabarlah wahai hati…tergesa-gesa dan menjadi mainan dalam hidup sejak aku hadir ke sini. Rindu aku kepada bumi tarbiyah, suasana yang aman, bumi yang hijau, majlis ilmu yang mekar mewangi, biah solehah yang wujud seperti embun yang menyegarkan dedaunan di musim kemarau. Ya…aku ingin kembali ke sana.
Kembali ke alam realiti…

Aku terjun ke dalam perut bas dengan rasa letih di otak. Destinasi adalah Kuala Lumpur. Bandar yang sering dijadikan tajuk lagu-lagu evergreen seperti alleycats, malek ridzuan. Teringat baik-bait lirik malek ridzuan yang dinyanyikan oleh konduktor bas dalam filem "rock ooo"

“Meskipun badai yang melanda
aku terus melangkah
mengharungi hidup kota
dengan sepotong doa
Agar penghidupan
lebih maju bermakna
cuba membela nasib agama, bangsa, negara”

Bas kami berhenti di Stadium Pantai Kuala Lumpur. Stadium ini tidak asing lagi bagi aku. Sejak liga Div 1 lagi aku dah bermain di sini. Berhadapan dengan menara rebung, suasananya sungguh indah sekali. Tersergam megah ibarat setiap penghuni dalam menara itu menonton perlawanan hoki pada hari ini. Aku sempat berlari ke masjid untuk solat Jumaat. Iktikaf sebentar di masjid ini menggamit memori aku semasa zaman menuntut ilmu dahulu. Pernah aku tidur di masjid ini kerana tiada wang untuk menyewa hotel kerana ingin berhibernasi di Perpustakaan UM selama dua hari. Aku bertemu dengan Fitri, teman sewaktu Mukhayyam di belantara titiwangsa, pernah survival mencari jalan pulang ke kem, pernah menuruni jurang 90 darjah dan dihumbani batu-baru di atas kepala, pernah bersolat sekali di pasir sungai. Ahh…pengalaman itu walaupun pahit, bila dikenang terasa ranum dan manisnya kenangan itu.

Selesai berukhwah dengan Fitri, aku pun tergesa-gesa lagi ke stadium, di luar masjid bangla ais krim membunyikan locengnya. Arh…tekak yang kering dan cuaca yang panas ini aku terbayang ais krim yang enak sambil wap-wap halus terbit dari kesejukan krim yang beku itu. Aku singgah lalu menikmati sebentar keenakan ais krim tersebut lalu terus mengorak langkah ke stadium.

Aku begitu rindukan UM. Berhibernasi di Za Ba dan curi-curi menagkap gambar buku kerana khuatir diamarah oleh pustakawan singh yang garang begitu mencuit hati sambil aku tersenyum sendiri. Hampir setiap buku yang aku minat, aku potostat kerana buku tersebut sangat eksklusif kerana masih tiada terbitan baru lagi. Ah…bila lagi dapat kunikmati nikmat bau-bauan buku lama dan habuk-habuk buku yang melekat di rak-rak.