Hari ini aku sangat dingin dan cuaca juga seperti mendorong
dingin aku hari ini. Sejak daripada pagi tadi aku menyiapkan kerja-kerja yang
tertangguh di bilik guru. Aku pasang beberapa surah Al Quran sebagai proses
pengulangan supaya tidak lupa, ibarat teman lama…kadang-kadang selalunya dia
rindu, tetapi aku ini yang kadang-kadang tidak sempat mengulang hafalan
menyebabkan teman itu kadang-kadang hilang dari ingatan. Beberapa ayat dalam
surah Ibrahim cuba aku ulang dan ulang daripada kisah azab api neraka dan
balasan bagi orang yang ingkar sehinggakan ke ayat nikmat bagi mereka yang taat
kepada ALLAH. Kerja ini aku lakukan daripada pagi hingga pukul 4 petang.
Petang ini kelihatan pelajar yang bari menghabiskan kertas
Kimia mula berselfie di padang dan kawasan sekolah, ada juga yang cuba memanjat
tangki air asrama tetapi mereka agak takut-takut, mungkin kerana ketinggian
tangki tersebut. Seronok barangkali apabila sudah tamat peperiksaan SPM.
Aku
teringat zaman sewaktu muda remaja dahulu. Setelah tamat peperiksaan aku rasa
lega tetapi banyak perkara yang suka bermain dalam fikiran ini tatkala teman
lain mengambil gambar keseronokan mereka. Selalunya aku yang tangkap gambar,
mungkin salah satu sebab kenapa gambar aku di zaman sekolah menengah dan rendah
sangat-sangat kurang. Salah satu sebabnya ialah aku tiada telefon bimbit pada
waktu itu dan kamera pun tiada. Selepas SPM aku hanya pergi ke surau membaca
beberapa surah pilihan dan balik ke rumah seperti biasa. Cuti seminggu itu aku
habiskan di tepi laut dan beberapa buku yang aku tangguhkan bacaan kerana SPM. Sebelum
kerja kontrak menjadi pekerjaan aku selepas itu. Begitulah kisahnya, tak
menarik bagi kebanyakan orang tapi bagi diri ini boleh la jadi kenangan serba
sedikit.