Tuesday, January 5, 2016

Jogja 1st day...

Tatkala ini aku sedang makan bersendirian di sebuah restoran dalam kawasan Bandungan. Kedinginan cuaca di sini menyebabkan aku keluar dari bilik yang dikongsi dengan En Lan dan En Azmi. Aku bukanlah antisosial, tetapi aku ingin bersendirian sambil menikmati udara dingin dalam sepi malam di kawasan pergunungan ini. Sambil termenung aku membelek sambil membaca sedikit isi buku “Muhammad ka annaka tara” yang dibeli dengan harga 40 ribu rupiah di toko buku yang terletak di pusat Jogjakarta. Kedainya agak daif, berdinding papan dan beratap genting, tetapi penjual buku tersebut agak berfikiran luas, banyak aku aku bualkan dengan beliau seperti tajuk buku popular sehingga kepada siatuasi politik serantau.


Entah kenapa aku sedikit sebak apabila membaca buku ini, mungkin kerana tulisan Dr Aidh yang agak puitis dan diterjemah dengan baik oleh penterjemah Indonesia sehingga mampu menggegar jiwa nurani ini dengan gambaran kehebatan dan kesederhanaan junjungan mulia Rasulullah SAW. Sebenarnya aku mencari buku ini agak lama, sejak dari Malaysia dan akhirnya Allah temukan aku dengan karya ini di Indonesia.

Aku tiba di Jogja pada 13.12.15, dengan menaiki pesawat pada pukul 10 pagi dan tiba dalam pukul 12 tengah hari. Suasana di Jogja agak mirip dengan suasana dan bandar di Ipoh. Tidak terdapat bangunan mencakar langit Cuma bezanya dengan Ipoh ialah kepadatan penduduk dan keadaan “macet” atau dalam bahasa di negara kita “kesesakan lalu lintas”. Daripada lapangan terbang kami dibawa ke sebuah rumah persinggahan yang terletak di lorong-lorong sempit di tengah kota Jogja. Hujan lebat di Jogja tidak mengganggu kembara kami, aku serba sedikit melihat keadaan sosioekonomi penduduk tempatan.

Apabila hujan reda kami bergerak ke Restoran Nasi Padang untuk menikmati hidangan pertama di kota Jogja. Masakan tidak jauh beza dengan semenanjung, Cuma bezanya di sini makanannya tidak berkuah seperti di Malaysia. Usai menikmati makanan aku berjalan jalan di sekitar rumah-rumah kedai di tepi jalan Jogja. Agak klasik melihat kedai papan dan atap genting.



Setelah itu kami dibawa menginap di Hotel berhampiran kawasan Universiti, aku tak ingat Universiti apa. Kami berehat sebentar dan tiba-tiba En Lan mengadu demam dan di mengigigil kesejukan. Malam itu aku dengan en Azmi berjalan sambil mencari hidangan malam untuk mengisi perut. Usai makan aku kami pergi membeli kad prabayar. Aku tertarik dengan koleksi buku yang dimiliki oleh budak penjual prabayar tersebut. Buku-bukunya tersusun rapi di belakang, sempat juga berbual mengenai sejarah Indonesia dan karya tulisan adian husaini.