32 bunga
Lama aku
tidak menulis kata-kata rapuan dan pujangga di medan khayal berkaca ini. Lama
sungguh ribut kreatif dan fikiran yang terpendam serta kusimpan dalam benak ini
akhirnya kulepaskan juga pada hari ini. Seharian aku digembala oleh kerja, moga
aku tidak lupa dan lalai menjadi hamba kepadanya, moga aku dijauhkan daripada
dihambakan oleh dunia. Semakin lewat petang, hemikrania aku semakin kuat, pabila
aku keluar fotofobia menyergah mataku, pabila kudengar, fonofobia menyerang
telingaku.
Aku ada 32 bunga
Pagi kudidik dan kuhias
Petangnya aku siram sehingga mereka
segar
Aku ada 32 bunga
Hemikrania aku terasa hilang
seketika
Melihat bunga-bunga ini segar di
bawak mentari
Melihat bunga-bunga ini ceria
bercanda
Aku ada 32 bunga
Setiap satunya berlainan sifat dan
fizikalnya
Ada kuat rajuknya, ada licik
helahnya dan ada jujur kalimahnya
Kadangkala aku siram dan bajai ada
juga yang kucantas kasar sekali
Semuanya bukan kerana aku benci
Tetapi mereka kusayangi
Aku ada 32 bunga
Ada juga insan yang cuba mencantas
bunga-bunga ini
Kadangkala aku juga terasa sakit
bila mereka dilukai
Tapi apakan daya
Taman ini bukan aku miliki
Hanya tempat bunga-bunga ini
berdikari
Aku ada 32 bunga
Satu ketika bunga ini akan pergi
Kerana mereka sudah berdikari dan
bersendiri
Aku juga tak lama di sini
Mungkin satu ketika dipindahkan ke
sana kemari