Tuesday, May 20, 2014

Kashmir: Wilayah Indah Yang Menjadi Rebutan





1.0 Pengenalan.
Kashmir, Negeri yang mempunyai kawasan yang berkeluasan lebih kurang 84, 258 batu iaitu antara yang terbesar antara negeri-negeri di India.Di dalam peta, Kashmir digambarkan sebagai salah satu lembah yang terpencil dan bergunung ganang dan terletak jauh terpencil di pinggir turutan gunung Himalaya yang terletak tinggi di dataran benua kecil asia selatan.Kashmir hampir menyamai keluasan negara England, Wales dan juga Scotland. Walaupun mempunyai keluasan yang besar akan tetapi populasi penduduk negeri ini adalah rendah, contohnya pada tahun 1921 keluasan Kashmir yang diduduki manusia ialah hanya 39 batu persegi sahaja. Kashmir juga merupakan negeri yang bersempadanan dengan pelbagai negara seperti Turkistan , Sinkiang di bahagian utara Tibet dan bahagian barat bersempadanan dengan Afghanistan dan juga Pakistan.  
Kashmir juga merupakan  satu wilayah yang mendapat gelaran wilayah yang tercantik di dunia. Mengikut satu catatanBernier iaituorang eropah yang pertama memasuki Kashmir.Beliau berkata “ in truth the kingdom surpasses in beuty all that my warmest imagination had anticipated”begitulah reaksi orang eropah yang menggambarkan betapa indahnya panorama di Kasmir. Dari segi masyarakat, Kashmir mempunyai penduduk yang berbilang bangsa, agama dan juga bahasa.Masyarakatnya pula terdiri daripada manusia yang tahan lasak dan mahir dalam peperangan.Hal ini kerana sejak daripada zaman klasik lagi bumi Kashmir tidak pernah sepi dengan peperangan dan juga pertempuran.Dari aspek ekonomi pula negeri Kashmir merupakan negeri yang miskin dan sering dilanda wabak serta kebuluran.Dari segi ekonomi masyarakat,  kebanyakannnyaberkerja sebagai petani sebagai mata pencarian.  Itulah Kashmir,walaupun wilayah ini terkenal dengan keindahannya dan kepelbagaian  penduduktetapi sejak dahulu lagi ia tidak pernah sepi dengan konflik dalaman serta luaran bahkan ia berterusan sehingga hari ini.
Sebelum menjadi mangsa perebutan kuasa-kuasa yang ada di asia selatan pada abad ke 20, Kashmir telah diperintah oleh beberapa siri pemerintahan yang silih berganti. Fasa pertama penaklukan yang dilakukan terhadap wilayah Kashmir ialah pada zaman Asoka dan apabila asoka meninggal dunia, lembah itu bebas dari penjajahan. Selepas itu lembah Kashmir menarik minat orang-orang Kushan untuk menguasai lembah itu.
Pada zaman pemerintahan orang-orang Kushan , kahsmir telah mencapai satu tahap kegemilangannya tersendiri semasa pemerintahan Raja Latitiya dan Avantivarman apabila Kashimir telah muncul sebagai pusat kesenian dan ukiran .Setelah itu Kashmir telah diperintah oleh beberapa siri pemerintahan seperti Raja-raja sikh dan juga pemerintahan Dogra. Setelah tamat pemerintahan beraja di Kashmir maka bermulalah detik di mana Kashmir telah menjadi rebutan kuasa luar dan dalam wilayah itu sehinggalah ke hari ini, konflik itu masih berterusan walaupun beberapa rundingan damai telah dijalankan.Konflik di Kashmir tercetus akibat daripada beberapa perkara yang menjadi asas atau titik tolak kepada konflik ini.
2.0 Asas-Asas Yang Mencetuskan Konflik Di Kashmir.
Sebelum terjadinya konflik Kashmir yang lama dan berpanjangan tersebut beberapa perkara telah dilihat menjadi asas kepada Konflik tersebut.
2.1 Negeri-negeri beraja di Jammu dan Kashmir.
Untuk memulakan perbincangan mengenai asas-asas tercetusnya konflik di Kashmir, kita harus melihat kepada beberapa perkara yang merupakan titik tolak kepada konflik ini antaranya ialah berlakunya beberapa gerakan yang berunsurkan kemerdekaan untuk membebaskan Jammu dan Kashmir setelah perpisahan Pakistan dan India.
2.2 Pemerintahan Dogra yang dibayangi pengaruh British.
Pemerintahan dinasti Dogra merupakan pemerintah beraja yang terakhir memerintah Kashmir sebelum negeri itu dilepaskan ke India.Pemerintahan Dogra ini bermula apabila pertukaran pemerintahan akibat daripada tindakan dan perkidmatan yang berani yang ditunjukkan oleh Gulab Singh semasa zaman pemerintahan Raja sikh iaitu Ranjit Singh. Semasa pemerintahan Ranjit Singh, Gulab Singh merupakan ketua tentera yang telah mengetuai gerakan menentang pemberontak iaitu puak Yuzafzai.Pertempuran itu berlangsung dengan sengit dan berjaya dimenangi oleh Tentera Gulab Singh.Akibat daripada kemenangan tersebut Gulab Singhtelah menuntut kawasan Jammu daripada Ranjit Singh sebagai kawasan pemerintahannya. Padatahun  1846 maharaja Dogra, Gulab Singh telah membayar Kepada British untuk menuntut hak memerintah Lembah Kashmir sebagaimana termaktub dalam perjanjian Amritsar.
Pemerintahan Dogra tidak memberi keselamatan dan juga keamanan kepada penduduk Kashmir.Pemerintahan yang kuku besi, pentingkan diri dan polisi yang lebih menguntungkan diri sendiri telah wujud dalam pemerintahan diraja Dogra. Orang-orang Pandits telah mendominasi sistem birokrasi dan kelas pekerjaan dalam masa yang sama orang-orang masih kekal tidak berpendidikan dan juga menghadapi masalah pengangguran. Dalam 100 tahun pemerintahan dinasti Dogra yang telah diperintah oleh empat siri maharaja iaitu Gulab Singh, Ranbir Singh, Pratab Singh, dan yang terakhir iaitu Hari Singh sehingga Kashmir dilepaskan kepada India.Sepanjang Dinasti Dogra , dapat dilihat bahawa telah muncul bibit-bibit penentangan akibat daripada penindasan dan juga diskriminasi yang dilakukan oleh pemerintah terhadap penduduk Kashmir yang majoritinya beragama islam.
2.3 Persidangan Orang-Orang Islam 1931 dan Peranan Syeikh Abdullah.
Setelah melalui pemerintahan beraja yang bukan dari dalam kalangan orang Islam, masyarakat muslim Di Kashmir merasakan diri mereka ditindas oleh pemerintah sebelum ini. Hal ini ditambah pula dengan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh pemerintah yang berat sebelah serta meminggirkan masyarakat muslim. Orang-orang muslim di Kashmir terbahahagi kepada beberapa kumpulan dan setiap satunya mempunyai agenda politik yang tersendiri. Contohnya golongan muslim pekerja inginkan keadaan pekerjaan yang lebih baik, Golongan Muslim berpendidikan di Srinagar membentuk “Reading Rome Party” untuk menjamin keadaan pendidikan dan pekerjaan dalam pentadbiran negeri.Setiap kumpulan ini hanya memperjuangkan agenda mereka tersendiri dan mereka hanya bergerak secara bawah tanah untuk mencapai objektif ekonomi dan politik mereka.
Pada tahun 1931, ketidakpuasan masyarakat muslim terhadap pemerintah Dogra akhirnya mencapai kemuncak apabila satu pergolakan berlaku pada tahun 1931. Masyarakat muslim menggelarnya peperangan agama.  Pergolakan itu merupakan satu titik tolak yang menjarakkan lagi hubungan masyarakat muslim terhadap komuniti Hindu Dogra dan Kashimiri Pandit yang menyokong Maharaja. Pada tahun 1932 masyarakat Muslim Kashmir telah bersatu di bawah satu pertubuhan  yang digerakkan di bawah “All Jammu And Kahsmir Muslim Conference” yang telah ditubuhkan pada tahun 1932 dan persidangan ini telah mendapat sokongan daripada pelbagai golongan Muslim seperti bijak pandai, pedagang, buruh industri, seniman dan petani. Antara aktivis yang terlibat dalam penubuhan persatuan ini ialah Syeikh Abdullah dan Mirwaiz Muhammad Yusuf Shah.Mereka ini menuntut hak yang sama rata dalam perkhidmatan awam dan penambahbaikan dalam industri buruh untuk orang Muslim serta kemasukan orang Islam dalam bidang ketenteraan. Dari sudut keagamaan pula mereka menuntut supaya masjid dipulangkan kepada masyarakat Muslim dan memansuhkan undang-undang yang melarang orang Hindu bertukar agama kepada Islam.
Konflik yang lebih buruk bermula apabila pemerintah pada waktu itu iaitu Hari Singh berusaha untuk menghentikan persidangan Islam tersebut dan masyarakat Muslim mula bertindak dengan keluar ke Ziarat Dasgir Sahib di Khanyar, Srinagar.Akibat daripada tindakan daripada orang Islam tersebut Maharaja Hari singh telah meminta bantuan ketenteraan British untuk menyelesaikan konflik tersebut.Antara tokoh Muslim yang menonjol dalam usaha menentang pemerintahan beraja dan menaikkan semangat orang Islam Kashmir ketika itu ialah Syeikh Abdullah.Bekas penuntut Universiti Aligarh ini menajdi guru Sains di Srinagar dan mula bergiat aktif dalam penentangan apabila mewujudkan satu kumpulan belajar dan antara topik yang menjadi perdebatan dan perbincangan ialah situasi masyarakat semasa pemerintahan Dogra.
Syeikh Abdullah menjadi tumpuan masyarakat Muslim apabila dia telah dipenjara atas sebab memberikan pidato menentang kerajaan dan semasa prosiding perbicaraannya , beribu-ribu masyarakat Muslim Kashmir telah hadir memberikan sokongan. Sumbangannya dalam menaikkan dan menyedarkan masyarakat Muslim di Kashmir yang pada ketika itu boleh diibaratkan sebagai “ Lembu yang dicucuk hidung” telah menyebabkan dia digelar sebagai “Singa Lembah” oleh masyarakat Muslim Kashmir.
2.4 Penerimaan Sekularisma dalam masyarakat Muslim Kashmir.
Setelah masyarakat Muslim Kashmir terutamanya golongan Muda dan bijak pandai menubuhkan Persidangan Muslim serta menerima penentangan British dan juga pemerintah Dogra, akhirnya perjuangan Persidangan Muslim itu sendiri semakin merosot. Mereka telah kehilangan sokongan orang Islam itu sendiri dan golongan minoriti bukan Islam.Pada Persidangan Muslim 1948 Syeikh Abdullah telah menyatakan bahawa semua masyarakat tidak kira agama dan bangsa di Kashmir harus bersatu menentang pemerintah yang tidak bertanggungjawab dan mereka harus melupakan ideologi agama dalam menyelesaikan masalah ini.
Pada tahun 1939 Persidangan Muslim telah menukar namanya kepada Persidangan Kebangsaan untuk menarik sokongan orang bukan Islam.Pengasas kepada Pakistan iaitu Muhammad Ali Jinnah telah menegaskan bahawa orang Islam dan orang Hindu perlu dipisahkan kepada dua negara iaitu negara Hindu dan Islam. Oleh itu beliau telah mempelawa masyarakat muslim di Jammu dan Kashmir supaya berada di dalam satu bendera dan juga di atas satu platform. Akan tetapi Syeikh Abdullah tidak begitu bersependapat dengan pendapat Muhd Ali Jinnah dan beliau  lebih percaya kepada konsep sekularisme yang dibawanya terhadap Kahsmir. Hal ini kerana Syeikh Abdullah telah dipujuk oleh Gandhi dan juga Jawarhalal Nehru supaya tidak berkerjasama dengan Jinnah. Oleh itu dapat dilihat bahawa pada masa itu hanya Syeikh Abdullah sahaja pemimpin Muslim yang tidak sependapat dengan Jinnah manakala rakannya .Syeikh Abdullah juga mengharapkan bantuan daripada mereka dan ingin melaksanakan demokrasi yang sering dicanang oleh Nehru di seluruh negara.
Pengaruh sekularisma ini juga telah memecahkan masyarakat Muslim di Kashmir kepada tiga iaiatu masyarakat Muslim konservatif, radikal dan nasionalis.Hal ini telah melemahkan masyarakat Muslim itu sendiri di Kashmir.
2.5 Perjuangan untuk kebebabasan.
Selain itu kehendak Syeikh yang begitu menginginkan  Kashmir sebagai sebuah negara bebas. Hal ini terbukti dengan kata-kata yang diucapkan oleh Syeikh Abdullah contohnya
kekejaman dogra telah merobek jiwa kita. Orang-orang Kashmir merupakan orang-orang yang tampan.Masa ini masa untuk bergerak...kemaharajaan bukanlah hakmilik seseorang pemerintah. Setiap lelaki, wanita dan kanak-anak akan menjerit bebaskan Kashmir. Negara Kashmir telah menyatakan hasratnya.
Pada Julai 1947 , Cuma sebulan sebelum pemisahan Pakistan dan India, Mahatma Gandhi telah dapat meluangkan masa melawat Kashmir dan dia berkata bahawa seluruh India telah menjadi gelap dan Kashmir merupakan satu harapan yang menunjukkan keharmonian antara agama. Walaubagaimanapun, Maharaja Hari Singh masih tidak dapat membuat keputusan untuk menyertai Pakistan atau India sebelum British menyerahkan kuasa.
2.6 Kemerdekaan Kashmir Dan Pencerobohan Pakistan.
Setelah berlakunya perpisahan diantara India dan Pakistan , Kashmir telah menjadi sebuah negara yang merdeka dengan harapan ianya boleh menetukan masa depannya sendiri. Peristiwa yang berlaku pada 1947 adalah amat penting kepada mereka membentuk fakta mengenai apa yang Pakistan dan India tawarkan supaya masyarakat Kashmir boleh memanipulasi untuk tujuan mereka sendiri. Selain itu setelah menimbangtara, Parti Sosialis Kashmir telah membuat keputusan bahawa, untuk menjamin faedah kepada orang miskin dan tertindas , menyertai Pakistan adalah diharapkan. 
Hal ini juga dipersetujui berdasarkan Persidangan Kizan Masdor yang juga bersetuju bahawa Kashmir perlu menyertai Pakistan berdasarkan hujah bahawa Kashmir merupakan negeri yang majoriti penduduk Muslim dan sungai-sungainya yang mengalir ke Pakistan.Setelah itu Syeikh Abdullah dan rakan-rakannya telah mengambil langkah yang segera apabila mengambil keputusan menandatangani perjanjian dengan Pakistan dan India supaya masyarakat Kashmir dapat mengambil masa untuk membuat keputusan. Akan tetapi proses secara aman ini terganggu pada 22 oktober akibat daripada sikap tidak sabar Pakistan yang telah menakluk Kashmir daripada utara dengan menggunakan tentera dan juga puak bersenjata yang dilengkapi dengan persenjataan moden. pencerobohan Pakistan bersama dengan orang-orang Pathan ini telah menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa kepada penduduk Kashmir yang tiada kelengkapan ketenteraan.
2.7 Peranan Lord Mounbattein dalam konflik India-Pakistan dan juga Kashmir.
Antara punca bagaimana tercetusnya konflik Kashmir ialah perana seorang Gabenor Jeneral British di India yang lebih menyebelahi pihak India. Lord Mountbattein merupakan Viceroy dan Gabenor Jeneral British di India. Beliau telah memulakan tugas sebagai Ganenor Jeneral pada March 1947. Beliau memberikan peranan yang penting kepada india untuk mendapatkan Kashmir. Mountbattein mengistiharkan pelan pemisahan india dan Pakistan pada 3 jun 1947 pemisahan wilayah Bengal dan Punjab. Di Punjab kawasan penduduk muslim telah diberikan kepada india supaya tiada hubungan langsung dengan penduduk muslim di Kashmir.
Pelan untuk mendapatkan Kashmir telah dijalankan dengan pastas dan penuh muslihat. Pada 20-24 jun beliau telah bersegera ke Kashmir untuk menekan Maharaja Hari Singh supaya tidak mengistiharkan pemisahan sebelum 15 ogos 1947 iaitu tarikh penyerahan kuasa kepada India. Negeri negeri beraja harus tunduk kepada satu diantara dua kuasa atau kekal merdeka di luar tarikh tersebut dengan menanggung risiko mereka sendiri. Mounbatten telah cuba mendapatkan Syeikh Abdullah yang merupakan suara rakyat Kashmir supaya dibebaskan dari penjara untuk faedah kepada India dan beliau telah berjaya dengan rancangan ini sehingga penghujung September 1947 sebelum drama penyertaan ke atas India diadakan pada minggu ke empat oktober  1947.
2.8 Harapan Jinnah SupayaKashmir Menyertai Pakistan.
Harapan yang menggunung Jinnah supaya setiap negeri majority muslim menyertai Pakistan juga adalah salah satu asas kepada konflik Kashmir ini. Pemerintah India telah mencadangkan kepada British dan juga pengasas Pakistan iaitu Jinnah supaya negeri-negeri beraja di India supaya memutuskan masa depan mereka sendiri berdasarkan harapan rakyat dan juga di negeri itu dan daripada kehendak raja atau pemerintahfeudaldi negeri tersebut.
Cadangan ini tidak dipersetujui oleh British mahupun Pakistan dan mereka berpendapat bahawa pemerintah atau raja harus membuat keputusan mengenai penyertaan kepada kedua dua negara tersebut. Jinnah berharap supaya pemerintah seperti Bhopal, Hyderabad dan Juganadh akan menyertai Pakistan. Jinnah juga berharap supaya negeri Kashmir terutamanya masyarakat majoriti  muslim di lembah akan bangkit menentang Maharaja Hari Singh dan Kashmir akan menjadi entiti yang merdeka atau menyertai Pakistan. Apabila harapan Jinnah yang menggunung itu tidak tercapai , Pakistan telah merancang pencerobohan puak pada oktober 1947.
2.9Tindakbalas Maharaja Hari Singh Dan Campurtangan India.
Setelah berlakunya prncerobohan yang dilakukan oleh Pakistan, Maharaja Hari Singh telah menghantar Syeikh Abdullah sebagai wakilnya ke Delhi untuk meminta bantuan India dan menandatangani perjanjian menyertai India.Pada awalnya India enggan memberi bantuan kecuali Kashmir bersetuju untuk menandatangani perjanjian menyertai India. Pada hari berikutnya iaitu lima hari sebelum penaklukan bermula, pasukan tentera India telah diterbangkan ke Bandar Srinagar dan berlawan bersama sama penduduk tempatan Kashmir melawan penceroboh yang telah masuk berbatu batu jauhnya ke Srinagar.Peperangan itu tidak berakhir sehingga ke akhir 1948 dan meniggalkan negeri beraja Jammu dan Kashmir terpecah diantara India dan Pakistan.Setelah itu Pakistan pula telah menyerahkan sebahagiannya kawasan Kashmir kepada China.Peperangan ini telah menyebabkan India telah membawa perkara ini ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana Pakistan telah menguasai 1/3 daripada wilayah tersebut dan Jammu serta Kashmir telah terpisah.
2.10 Kemunculan Golongan Elit di Kashmir.
Pada tahun 1950, Kashmir mula berpecah dengan sendirinya.Rasuah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dan berlaku konflik diantara rakyat dan juga pemerintah.Mereka yang menentangkan kerajaan adalah golongan yang berpihak kepada Pakistan manakala pihak birokrasi berpihak kepada India dan mereak juga digelar sebagai agen India.Mereka yang berpihak kepada India ini terdiri daripada golongan-golongan Muslim yang kaya yang memonopoli kekayaan di Kashmir serta membahagikan kepada saudara mara mereka.
Selain itu berlaku juga perubahan-perubahan yang berlaku dalam sosiopolitik di Kashmir . Antara perubahan  yang paling ketara ialah negeri tersebut telah mengubah bahasa Bahasa Urdu menjadi bahasa rasmi kerajaan dan meninggalkan bahasa masyarakat Kashmir sendiri iaitu bahasa Kashmiri. Hal ini telah menyebabkan  pekerjaan dalam sektor kerajaan telah dimonopoli oleh orang- orang yang mahir dengan bahasa Urdu iaitu mereka yang terdiri daripada kerabatorang-orang kaya di Kashmir.Hal ini mengundang rasa tidak puas hati kepada majoriti masyarakat Muslim yang terdiri daripada golongan pekerja yang Miskin dan tertindas.
3.0 Konflik Dan Peperangan.
Setelah berlakunya kontroversi dan permasalahan yang menyebabkan keadaan huru hara akhirnya tercetuslah peperangan yang telah mengorbankan banyak kerosakan dan kehilangan nyawa terutamanya di Jammu dan Kashmir.
3.1 Perang India-Pakistan I.
Pakistan dan India telah bertembung dalam perang pertama mereka pada awal-awal penubuhan negara mereka.Hal ini disebabkan oleh kontroversi penyertaan Jammu dan Kashmir.Pakistan telah menunjukkan rasa kebimbangan terhadap dasar India terhadap Kashmir . Apabila “ Radcliffe Boundary Commission” yang berperanan dalam membahagikan batas dan sempadan kedua –dua negara telah memberikan Gurdaspur, iaitu sebuah daerah yang penduduknya majoriti Muslim yang telah telah memisahkan Punjab daripada Jammu dan Kashmir kepada India.
3.2 Perang India-Pakistan II.
Pada September 1965, Pakistan telah pergi berperang dengan India untuk mendapatkan Kashmir buat kali kedua.Beberapa faktor yang telah menyebabkan perang yang pendek tetapi menumpahkan darah yang banyak.Pada tahun 1960 pembuat dasar Pakistan percaya bahawa UNtelah hilang minat terhadap persoalan Kashmir.Pada sudut pandangan Pakistan terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa India telah merancang untuk menggabungkan Jammu dan Kashmir sepenuhnya ke dalam Kesatuan India.New Delhi telah dikhuatiri melanggar autonomi yang termatub dalam artikel 370 dalam “India Constitution yang telah memberikan status istimewa untuk Jammu dan Kashmir.
3.3 Perang Kashmir III
Pada disember 1971 tercetus perang yang ketiga diantara india dan Pakistan. Pada perang kali ini India telah mendapat kemenangan besar terhadap Pakistan.Pakistan pula mengalami kekalahan yang teruk di timur Pakistan iaitu sekarang dikenali sebagai Bangladesh.India dalam situsi yang baik untuk merampas beberapa kawasan yang strategik milik Pakistan.Peperangan ini juga telah menyenanan termeterainya perjanjuan Simla diantara Pakistan dan juga India untuk memulihkan keadaan .Dalam masa yang sama, Kashmir masih lagi terpisah kepada dua iaitu sebelah Pakistan dan juga India dengan kawalan sempadan yang ketat antara kedua belak pihak.
Kesimpulan.
Konflik Kashmir telah banyak membawa kerosakan dan kerugian kepada pihak yang terlibat seperti Pakistan dan juga India.Kerosakan dan kerugian yang teruk juga berlaku terutamanya kepada negeri Kashmir itu sendiri yang huru-hara akaibat daripada konflik yang berlaku ini.Untuk meredakan Konflik ini beberapa jalan penyelesaian dan juga jalan damai telah dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak samaada India dan juga Pakistan. Antara perjanjian damai yang dimeterai oleh kedua belah pihak ialah perjanjian Simla yang telah mewujudkan kawalan sempadan antara kuasa besar asia selatan tersebut.Konflik ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya sehingga sekarang walaupun beberapa jalan damai telah dilakukan oleh banyak pihak.


Bibliografi.
Victoria Schofield, Kashmir In Conflict: India , Pakistan And The Unending War,  New York: I.B Tauria & Co Ltd, 2003.
Vivek Chadna, Low intensity conflicts in India: an analysis,  New Delhi: Sage Pvt Ltd , 2005.
Mridu Rai, Hindu rulers, Muslim subjects: Islam, rights, and the history of Kashmir , United Kingdom: C Hurst , 2004.
Navinita Chadha Behera,Demystifying Kashmir, New delhi: Dorling Kindersly (India) Pvt Ltd,2006.
Alastair Lamb, Kashmir A Disputed Legacy 1846-1990, Karachi: Oxfort Universiti Press, 1992.K.L Kalla, Eminent Personalities Of Kashmir, New Delhi: Discovery Publishing House, 1997.
Sr Bakshi , Kashmir Political Problems, New Delhi: Sarup And Sons, 1997.
Josef Korbel ,Excerpts  from Danger In Kashmir, USA: Oxford University Press, 2002.
Robert Wirsing, India, Pakistan, and the Kashmir Dispute: On Regional Conflict and Its Resolution, USA: Palgrave Macmillan , 1998.
J.N Dixit, India-Pakistan In War &Peace , London: Routledge, 2002.
Kulwant Rai gupta, India-Pakistan Relations with Special Reference to Kashmir, New delhi: Atlantik Publisher, 2003.

Artikel.
Priyanka Bakaya and Sumeet Bhatt, Kashmir Conflict: A Study  Of  What Let The Insurgency In Kasmir Valley And Its Propose Future Solutions.
Brigadier ( R ) M. Syafie Khan, Kashmir, The Accession To India: A Fraud.
Kashmir: The View From Islamabad , ICG Asia Report N°68, 4 December 2003.


 Sebarang bentuk plagiarisme adalah dilarang. Ini adalah hasil tulisan penulis berdasarkan beberapa sumber rujukan yang diperoleh secara ilmiah.












Saturday, May 10, 2014

Mitos Pribumi Malas...

Masih berusaha menyiapkan ulasan buku tersebut..
Komitmen kerja membuatkan penulisan sendiri masih tergendala...

Letih..lemah..jangan futur akh!!


Jam menunjukkan pukul 11.30, aku membuka pintu rumah. Alhamdulillah, tugas hari ini sudah selesai, dan begitulah rutin harian yang dilalui hampir setiap hari sepanjang berada di Tanjung Malim. Hendak berjumpa dengan istirehat sambil menonton TV, bersantai bersama rakan memang sangat jarang malah sudah mencapai tahap hampir tiada. Begitulah cabaran yang perlu dihadapai hampir setiap hari di sini, hanya blog dan rakan seperjuangan dapat aku kongsikan warna-warna kehidupan di sini.

Malam ini selesai tanggungjawab dengan adik-adik usrah yang berlangsung di Library, begitulah rutin setiap malam Jumaat, setiap minggu. Program dimulakan dengan, tadabbur surah Al-Kahfi berbekal kitab tafsir fi zilalil qur’an ayat 15-24. Satu perjalanan kisah di dalam Al-quran yang begitu memberi semangat kepada pemuda-pemuda. Tafsir yang disusun oleh Syed Qutb begitu indah sekali dengan huraian yang mantap seolah-olah salju sejuk mengalir di dalam pembuluh darah setiap insan yang membacanya. Program diteruskan dengan bedah buku Mustafa Masyhur Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah (baru dibeli di pesta buku). Teringat analogi yang dinyatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur mengenai kepentingan iman kepada setiap jiwa dan jasad manusia yang ditulis di dalam buku tersebut.

Jika sesebuah kereta yang digunakan oleh orang yang bermusafir kehabisan minyak ketika perjalanan dan tidak mempunyai minyak yang mencukupi, maka jadilah ia seperti potongan-potongan besi yang tidak dapat membantunya untuk bergerak walaupun selangkah. Demikian juga orang yang melalui jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya berkurangan atau kehabisan tanpa diperbaharui atau ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang yang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak.(Mustafa Masyhur, 2009)
Perkara sebaliknya jika bekalan iman dan taqwa kepada ALLAH ini terpancar dari sumber yang baik dalam jiwa setiap mukmin, melahirkan tenaga, menaikkan semangat dan keazaman. Maka pergerakan menjadi mudah, tarikan keduniaan berkurangan, halangan dapat ditempuhi, liku-liku boleh diharungi dan petunjuk di sepanjang jalan jelas kelihatan. Maka lahirlah kebenaran keikhlasan, keazaman, keteguhan. Begitulah apa yang dihuraikan oleh Syeikh Mustafa Masyhur dalam Mukaddimah kitabnya.

Setiap bait tulisan ini seolah-oleh memberi semangat kepada mereka yang hampir futur dalam perjuangan. Kadang-kadang apabila aku merenung kembali diri ini, erti putus asa pernah singgah sebentar dalam hati nurani. Hampir-hampir lumpuh perjuangan di sini tatkala menghadapi duri-duri perjuangan yang membentangi jalan dakwah dan pendidikan di sini. Melihat kepada teman-teman di IPT lain, kadang-kadang terasa rendah diri dengan pencapaian diri sendiri.

Mujurlah ada teman-teman akademik, teman sefikrah yang sering menjadi tempat mengadu kepada diri ini. Pakcik-pakcik di masjid, En Lah dan lain-lain juga sering mengambil berat dan bertanya khabar. Buku-buku yang sering meluahkan kata-kata nasihat melalui setiap perkataan yang tertulis. Sesungguhnya aduan dan harapan adalah lebih aula jika ia diluahkan dalam setiap doa kepada pemilik alam ini iaitu ALLAH SWT.






Tuesday, May 6, 2014

Quiet and listen to little stream..


Setiap kali melalui jalan sekitar Tanjong Malim-Kuala Kubu Baharu, pasti mata aku akan melirik ke kiri dan kanan. Bukan disebabkan oleh adanya gadis cantik dan rupawan di sepanjang jalan (jaga pandangan syeikh!!!), tetapi ada gunung-ganang dan panorama kampung Melayu yang menyejukkan mata dan menerbitkan keinginan dalam diri untuk berumah dan menetap di kawasan ini. Dalam minda ini terbayang rumah stail kampung serta halaman dihiasi dengan rumput hijau. Di sekeliling rumah pula ditanam pokok buah-buahan tempatan seperti durian, manggis dan rambutan, manakala terdapat sebuah kolam ikan yang mengalir air sungai jernih yang dialirkan melalui salur buluh. Perhh…ibarat UTOPIA. Begitulah cita-cita yang entah bila akan tercapai. Hanya angan-angan, dan doa supaya dimurahkan rezeki oleh ALLAH.
Aku sering ke KKB bagi mengambil dan menghantar adik sepupu yang belajar di sebuah institusi pendidikan yang agak terpencil di KKB. Tempatnya dikelilingi gunung dan bukit bukau. Aku juga sering ke KKB untuk bagi menghilangkan rasa stress dengan cara meredah hutan dan mendaki gunung dengan kawan-kawan. Selalunya Rahmat, datuk haris dan prof. kunukilkan di sini nama-nama tersebut supaya memori itu mudah untuk aku ingati.
Sedikit monolog dalam diri yang sempat aku ingati apabila melalui denai-denai di sekitar banjaran titiwangsa.

Kembara itu indah bila kita merenung dengan jiwa, bukan dengan mata..
Ya..ada orang gemar mendaki gunung..
Kelegaan dan kepuasan akan tergambar bila tiba di puncak..
Bagi pengembara sebenar..
Apabila sampai ke puncak, bukanlah tujuannya supaya orang ramai melihatnya..
Tetapi supaya dirinya dapat melihat suasana sekelilingnya..
Begitu juga dalam kehidupan..
Ia juga boleh dianalogikan sebagai pendaki..
Kejarlah, panjatlah, dakilah samaada dalam arena pendidikan ataupun dakwah..!!!
Tetapi kau harus ingat..
Apabila mendaki, perbetulkan niat kau itu..
Jangan kau mendaki untuk dipandang tinggi oleh manusia..
Tetapi dakilah untuk kau dapat melihat masalah manusia dan merasa risau dengannya..
Dakilah supaya perbuatan engkau itu dhitung dan dinilai oleh ALLAH..
Bukan dinilai oleh manusia..
Nilaian manusia banyak persepsi dan bias..
Tetapi nilaian ALLAH itu adalah yang Haq dan seadil-adil nilaian..

Akhimaza: KKB, Sg Chilling, DQ, MRSM KKB dan UPSI. Jalan yang penuh nostalgik.






Saturday, May 3, 2014

sedikit catatan di arkib.. khas untuk pengembara ilmu...

Sejenak di Arkib Negara. Tatkala hujan lebat menyiram ke bumi, aku duduk di pintu hadapan sambil memandang satu bangunan di hadapan. Di sana sayup-sayup tertulis “menara ilmu”. Apakah makna menara ilmu bagi diri kalian??
Adakah dengan membaca seribu buku anda sudah berjaya sampai ke menara ilmu.?
Adakah anda sudah bergelar Dr, prof, anda sudah mencapai menara ilmu?
Adakah si bijak pandai bicara dan petah tutur kata, dia sudah mencapai menara ilmu?
Padaku mudah sahaja…
Setiap menara pasti ada batu asasnya…
Pasti ada tiang serinya..
Dan pasti ada cerucuknya..
Menara juga ada puncak yang mencakar awan..
Yang pasti sukar untuk dagapai apatah lagi untuk didaki..
Untuk tiba ke menara ilmu..
Kita perlu ada prinsipnya..
Ada asasnya..
Ada gurunya..
Ada disiplinnya.
Paling penting yang  perlu terisi dalam hati nurani sang pengembara ilmu ialah:
Teguh imannya..
Tinggi akhlaknya..
Kuat ibadahnya..
Membulat azamnya..
Kepada Allah, dia bertawakal..

Aku masih termenung sambil menunggu dokumen yang dipesan..
Monolog masih diteruskan..
Hujan masih berjuraian..
Diri menggigil kedinginan..