Saturday, May 10, 2014

Letih..lemah..jangan futur akh!!


Jam menunjukkan pukul 11.30, aku membuka pintu rumah. Alhamdulillah, tugas hari ini sudah selesai, dan begitulah rutin harian yang dilalui hampir setiap hari sepanjang berada di Tanjung Malim. Hendak berjumpa dengan istirehat sambil menonton TV, bersantai bersama rakan memang sangat jarang malah sudah mencapai tahap hampir tiada. Begitulah cabaran yang perlu dihadapai hampir setiap hari di sini, hanya blog dan rakan seperjuangan dapat aku kongsikan warna-warna kehidupan di sini.

Malam ini selesai tanggungjawab dengan adik-adik usrah yang berlangsung di Library, begitulah rutin setiap malam Jumaat, setiap minggu. Program dimulakan dengan, tadabbur surah Al-Kahfi berbekal kitab tafsir fi zilalil qur’an ayat 15-24. Satu perjalanan kisah di dalam Al-quran yang begitu memberi semangat kepada pemuda-pemuda. Tafsir yang disusun oleh Syed Qutb begitu indah sekali dengan huraian yang mantap seolah-olah salju sejuk mengalir di dalam pembuluh darah setiap insan yang membacanya. Program diteruskan dengan bedah buku Mustafa Masyhur Bekalan di Sepanjang Jalan Dakwah (baru dibeli di pesta buku). Teringat analogi yang dinyatakan oleh Syeikh Mustafa Masyhur mengenai kepentingan iman kepada setiap jiwa dan jasad manusia yang ditulis di dalam buku tersebut.

Jika sesebuah kereta yang digunakan oleh orang yang bermusafir kehabisan minyak ketika perjalanan dan tidak mempunyai minyak yang mencukupi, maka jadilah ia seperti potongan-potongan besi yang tidak dapat membantunya untuk bergerak walaupun selangkah. Demikian juga orang yang melalui jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya berkurangan atau kehabisan tanpa diperbaharui atau ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang yang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak.(Mustafa Masyhur, 2009)
Perkara sebaliknya jika bekalan iman dan taqwa kepada ALLAH ini terpancar dari sumber yang baik dalam jiwa setiap mukmin, melahirkan tenaga, menaikkan semangat dan keazaman. Maka pergerakan menjadi mudah, tarikan keduniaan berkurangan, halangan dapat ditempuhi, liku-liku boleh diharungi dan petunjuk di sepanjang jalan jelas kelihatan. Maka lahirlah kebenaran keikhlasan, keazaman, keteguhan. Begitulah apa yang dihuraikan oleh Syeikh Mustafa Masyhur dalam Mukaddimah kitabnya.

Setiap bait tulisan ini seolah-oleh memberi semangat kepada mereka yang hampir futur dalam perjuangan. Kadang-kadang apabila aku merenung kembali diri ini, erti putus asa pernah singgah sebentar dalam hati nurani. Hampir-hampir lumpuh perjuangan di sini tatkala menghadapi duri-duri perjuangan yang membentangi jalan dakwah dan pendidikan di sini. Melihat kepada teman-teman di IPT lain, kadang-kadang terasa rendah diri dengan pencapaian diri sendiri.

Mujurlah ada teman-teman akademik, teman sefikrah yang sering menjadi tempat mengadu kepada diri ini. Pakcik-pakcik di masjid, En Lah dan lain-lain juga sering mengambil berat dan bertanya khabar. Buku-buku yang sering meluahkan kata-kata nasihat melalui setiap perkataan yang tertulis. Sesungguhnya aduan dan harapan adalah lebih aula jika ia diluahkan dalam setiap doa kepada pemilik alam ini iaitu ALLAH SWT.






No comments:

Post a Comment