Sunday, April 24, 2016

rushing under my wheels

Seperti biasa, minggu yang agak sibuk. Jumaat ini aku sudah bertekad untuk pulang ke kampung halaman. Sudah lama aku perhatikan kapcai merah aku berdiri kaku di rumah. Seolah olah menjerit dan memanggil tuannya supaya dipulas minyak, ditekan breknya, diputar tayarnya dan dipacu selajunya. Aku bukan tidak berselera untuk memacunya, cuma masjid dan nasi lemak medan gopeng dan usrah sahaja yang aku guna khidmatnya. Sudah lama tidak merempuh angin dan meluncur laju di lebuhraya bersama kapcai merah aku itu.
Petang ini kurasakan dirinya begitu teruja ingin merempuh angin dan menghujam debu di lebuhraya. Aku juga sudah lama memerhatikan jaket lusuh, seluar khakis dan jazz star lusuh sudah lama berhabuk.
Ya....petang ini akan ku kembalikan zaman kegemilangan mereka itu di lebuhraya. Setia bersama aku sejak dari UPSI lagi. Bersama meranduk becak di jalanan, bersama memecah titis hujan, bersama melekat dengan debu dan bau tar di hamparan jalan.
Kutamatkan latihan hoki petang ini dengan penuh keterujaan. Kuterajang starter kapcaiku dan kupulas pedalnya sepuas hatiku. wroooomm...wroommm...ya... bunyinya sudah cukup menandakan ia bersedia menongkah angin dengan bantuan ciri aerodinamiknya.
kususuri jalan dengan pelbagai idea, perasaan dan kenangan yang seolah olah bergaduh, bertumbuh dan berperang dalam minda ini. Berperang untuk memenangi pilihan hatiku ini. Kadang kenangan yang muncul, kadang idea yang terpacul dan kadang perasaan yang timbul.
Aku juga kadang membuat hitunganku sendiri, bila di jalanan bersama motorku, aku rasa hafalan quran yang sedikit aku lupakan berjaya aku ulang. Paling mendominasi ialah halatuju hidupku sendiri. Kalau boleh aku ingin kembarq jauh supaya dapat kutuliskan dengan panjang lebar segala kecamuk yang berada dalam minda ini.
Terkadang mulut ini juga menyanyi tanpa sedar, coldplay, five 4 fighting sering jadi irama sampingan bersama tiupan angin. Patutlah uncle tadi tengok aku semacam...rupanya terkuat pulak aku nyanyi tadi..haha..
oklah..sudah tercapai niat dan aku selamat sampai ke kampung. Dua jam di atas motor dan persinggahan di masjid sudah cukup bagiku untuk merasa nikmatnya. adioss..

Saturday, April 9, 2016

F ke E.

Terik mentari hari ini begitu mencucuk kulit ini, panasnya bukan kepalang. Peluh meleleh di dahi dan ketiakku basah kerana panas hari ini. Langkah aku hari ini seolah-olah dipaksa bergerak walaupun hati ini ingin sahaja duduk di rumah sambil menghadap kipas. Tetapi apakan daya, tugas tetap tugas. Hari ini aku terpaksa menghadiri mesyuarat di sebuah sekolah asrama penuh di Taiping. Isi mesyuarat adalah berkenaan dengan prestasi sejarah murid-murid dalam kumpulan sekolah kluster dan cemerlang. Sekolah aku bukanlah asrama penuh, hanya sekolah harian biasa.

Sampai di bilik mesyuarat, aku ternampak beberapa ketul kuih di atas meja, apa lagi, tanpa memikirkan apa yang ingin diucap dan apa yang ingin didengar, yang paling penting perut yang kosong ini perlu diisi..hahaha. Penyaman udara sedikit sebanyak memulihkan kepedihan kulit tetapi satu sahaja penyakit yang akan hadir bila sejuk-sejuk seperti ini. Penyakit apa?? Mengantuk la..haha.
Semasa mesyuarat aku asyik mendengar guru-guru lain menghitung jumlah calon A+ yang berpuluh-puluh, terdetik dalam lubuk hati ini, ya…bolehlah…kalian mengajar di SBP. Murid yang sudah ditapis kemasukannya. Sementara aku di sekolah harian, bermacam-macam ragam dan peringkat dalam sahsiah serta akademik. Tatkala kalian menghitung puluhan A+, aku pula menghitung jumlah pelajar yang cuba untuk diluluskan. Tatkala kalian menceritakan kehebatan murid kalian, aku pula berusaha mencungkil dan mengorek segala kekuatan dan kehebatan muridku yang sekian lama tersimpan dalam diri mereka. Tatkala kalian sibuk mengatakan kehebatan murid kalian yang boleh mengajar di hadapan, aku pun sibuk menyusun tutur kata muridku untuk bercakap di hadapan.

Setiap hari aku berfikir, setiap hari aku berusaha sebaik mungkin untuk merubah F menjadi lulus, walaupun kadang yang empunya F tersebut tak melihat lelehan peluh yang menitis, kusutan di minda, wang yang dibelanja, lelah nafas yang dihela, mata yang kadang terjaga di waktu malam. Padaku, cukuplah semua ini dibayar dengan senyuman dan tawa bila melihat slip keputusan mereka.

 Aku sedikit tidak sedih dan kecewa bahkan rasa bangga kerana diri ini  dapat mendidik anak-anak yang pelbagai pencapaiannya ada lemah, ada sederhana dan ada yang cemerlang. Kepelbagaian ini sebenarnya menguji tahap pedagogi guru tersebut. Sejauh mana guru tersebut dapat mengubah F menjadi E, E menjadi D, D menjadi C, C menjadi B dan B menjadi A. Cabaran ini aku sahut, basa basi mereka di sana aku jadikan sebagai picu untuk aku petik menjadi satu lontaran kepada aku untuk mensasarkan target yang lebih baik kepada anak muridku di sekolah.