Terik mentari hari ini begitu mencucuk kulit
ini, panasnya bukan kepalang. Peluh meleleh di dahi dan ketiakku basah kerana
panas hari ini. Langkah aku hari ini seolah-olah dipaksa bergerak walaupun hati
ini ingin sahaja duduk di rumah sambil menghadap kipas. Tetapi apakan daya,
tugas tetap tugas. Hari ini aku terpaksa menghadiri mesyuarat di sebuah sekolah
asrama penuh di Taiping. Isi mesyuarat adalah berkenaan dengan prestasi sejarah
murid-murid dalam kumpulan sekolah kluster dan cemerlang. Sekolah aku bukanlah
asrama penuh, hanya sekolah harian biasa.
Sampai di bilik mesyuarat, aku ternampak
beberapa ketul kuih di atas meja, apa lagi, tanpa memikirkan apa yang ingin
diucap dan apa yang ingin didengar, yang paling penting perut yang kosong ini
perlu diisi..hahaha. Penyaman udara sedikit sebanyak memulihkan kepedihan kulit
tetapi satu sahaja penyakit yang akan hadir bila sejuk-sejuk seperti ini.
Penyakit apa?? Mengantuk la..haha.
Semasa mesyuarat aku asyik mendengar guru-guru
lain menghitung jumlah calon A+ yang berpuluh-puluh, terdetik dalam lubuk hati
ini, ya…bolehlah…kalian mengajar di SBP. Murid yang sudah ditapis kemasukannya.
Sementara aku di sekolah harian, bermacam-macam ragam dan peringkat dalam
sahsiah serta akademik. Tatkala kalian menghitung puluhan A+, aku pula
menghitung jumlah pelajar yang cuba untuk diluluskan. Tatkala kalian
menceritakan kehebatan murid kalian, aku pula berusaha mencungkil dan mengorek
segala kekuatan dan kehebatan muridku yang sekian lama tersimpan dalam diri
mereka. Tatkala kalian sibuk mengatakan kehebatan murid kalian yang boleh
mengajar di hadapan, aku pun sibuk menyusun tutur kata muridku untuk bercakap
di hadapan.
Setiap hari aku berfikir, setiap hari aku
berusaha sebaik mungkin untuk merubah F menjadi lulus, walaupun kadang yang
empunya F tersebut tak melihat lelehan peluh yang menitis, kusutan di minda,
wang yang dibelanja, lelah nafas yang dihela, mata yang kadang terjaga di waktu
malam. Padaku, cukuplah semua ini dibayar dengan senyuman dan tawa bila melihat
slip keputusan mereka.
Aku
sedikit tidak sedih dan kecewa bahkan rasa bangga kerana diri ini dapat mendidik anak-anak yang pelbagai
pencapaiannya ada lemah, ada sederhana dan ada yang cemerlang. Kepelbagaian ini
sebenarnya menguji tahap pedagogi guru tersebut. Sejauh mana guru tersebut
dapat mengubah F menjadi E, E menjadi D, D menjadi C, C menjadi B dan B menjadi
A. Cabaran ini aku sahut, basa basi mereka di sana aku jadikan sebagai picu
untuk aku petik menjadi satu lontaran kepada aku untuk mensasarkan target yang
lebih baik kepada anak muridku di sekolah.
No comments:
Post a Comment