Sunday, August 13, 2017

Pelik

Pokok buluh di seberang jalan meliuk-liuk ditiup angin. Bendera yang di atas pagar seolah-olah menari mengikut rentak angin. Sambil menunggu hujan meencurah ada beberapa isi yang ingin aku tuliskan di medan maya ini. Pejam celik pejam celik dah 3 tahun 1 bulan mengajar di sini. Banyak perkara aneh dan pelik yang berlaku di sini. Aku seorang yang minat dengan apa juga jenis sukan dan aku bermain dengan pelbagai jenis sukan semasa zaman sekolah dahulu. Antara sukan yang aku aktif dulu ialah hoki (ada la wakil negeri), badminton (main daerah), ping pong( sekolah), handball (sekolah dan universiti). Ada juga sukan yang aku terjebak secara tak langsung seperti basketball (paan gemuk ajak main), tenis (main sebab ambik subjek tenis), rugby (sebab kawan ajak), memanah dan banyak lagi. Apabila aku sampai ke sekolah ini, aku rasa terkongkong dan tak dapat nak berkongsi minat aku dengan pelajar, hal ini kerana sekolah aku mengajar ini sekolah perempuan.


Disebabkan minat dengan sukan, aku pun selalu melihat dari jauh pelajar-pelajar ini berlatih dan bermain sewaktu petang dan semasa pendidikan jasmani. Kadang-kadang aku senyum sendirian melihat telatah mereka di padang, ketawa dan bercakap tak pernah lekang dari bibir mereka. Sambil membawa bola pun boleh ketawa, sepak bola pun ketawa, main badminton pun ketawa. Kadang-kadang gelak tawa mereka boleh jadi penawar kepada aku yang kadang-kadang stress dengan tugas. Satu lagi perkara yang aneh di sini ialah aku permah menegur seorang pelajar dan tiba-tiba dia menangis, kadang-kadang aku bergurau pun dia menangis. Sudah…aku pun rasa serba salah, yang aku pelik cikgu perempuan yang garang macam harimau tak ada pulak budak-budak ni menangis. Entah-entah aku ada aura kegarangan yang aku sendiri tak nampak…haha..

Sunday, July 2, 2017

Malam semakin larut, alunan suara Al Ghamidi yang mengalunkan surah Ali-Imran masih kedengaran di laptop. Buku Gallileo, Fiqh Aulawiyyat, Mein Kampf, Tasauf Moden, Ihya Ulumuddin dan Syarah Al Hikam masih lagi berada di meja kecilku bersebelahan tempat pembaringan aku. Masih ada lagi karya-karya itu yang belum sempat aku khatamkan. Malam ini kubiarkan mereka rebah di atas meja dan aku hanya setia bersama Mencari Keluhuran Budi karya Za’ba pada malam ini. Za’ba dengan karya ini cuba untuk mengujahkan bahawa setiap kebahagiaan, kecemerlangan dan ketinggian hanya dapat dicapai dan digarap dengan hidup beragama yakni Islam.

Aku perhatikan ramai dalam kalangan warganegara kita yang sudah hilang keluhuran budi. Apa itu keluhuran? keluhuran bermaksud ketertinggian budi. Aku berikan contoh, di jalanraya, ada sesetengah daripada kita yang memotong di laluan kiri, memandu dengan melulu dan kadangkala aku perhatikan ada anak-anak kecil yang ada dalam kereta terserbut. 

Sesetengah anak remaja juga tanpa segan silu menuturkan kata-kata carutan. 

Entahlah...masalah dunia...oklah dah mengantuk.
Hari raya akhirnya tiba, hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dan hari kembalinya seseorang itu kepada fitrahnya setelah sebulan beribadah. Saat pagi raya ini aku begitu kalut dan gementar, apa tidaknnya pakcik-pakcik di kampung ini dah siap memberi tugasan kepada aku.
Pakcik T: azam!!! Esok naik kat mimbar ye…
Aku: err…er…. Insya-Allah ..
Begitulah…insya-Allah tanda setuju.
Aku belek-belek teks khutbah sehari sebelum itu, khuatir terbelit lidah dan tersasul membaca teks jawi, almaklumlah cikgu sejarah, bukannya ustaz. Esoknya aku jadi imam solat sunat dan khutbah.
Khutbah berkenaan dengan ancaman liberalisme dan lain-lain.
Teringat satu kata-kata Hamka dalam teks tersebut.
Jika kau tidak merasa apa-apa saat agamamu dihina, maka gantilah pakaianmu dengan kain kafan!!
Perhh…sentap beb..
Cuti seminggu ini kadang-kadang aku menyelami masalah-masalah orang kampung ini. Masalah kenaikan harga, masalah anak-anak dan lain-lain. Ada satu hari, aku pulang agak sedikit lewat sambil bersembang dengan seorang pakcik di kampung ini. Katanya esok nak ke Universiti anaknya untuk menyelesaikan masalah yuran yang tertunggak. Katanya kadang-kadang yuran ini sangat membebankan. Aku tanya kepadannya. Anak pakcik ada masalah lain tak? Solatnya? Akhlaknya?
Jawabnya tiada….anak pakcik baik.
Pakcik….bersyukurlah…kadang-kadang ada orang yang berduit dan kaya tapi Allah uji dengan anak-anak yang bermasalah dari segi akhlaknya. Aku lihat matanya berkaca-kaca, jawabnya, betul azam…pakcik pun terfikir macam tu. Moga allah mudahkan urusan pakcik.

Di sini aku boleh simpulkan, wahai anak-anak, hargailah pengorbanan ibu dan ayah, ada yang sanggup bergadai bergolok untuk kesenangan anda di sana. 

Tuesday, May 2, 2017

32 bunga

32 bunga
Lama aku tidak menulis kata-kata rapuan dan pujangga di medan khayal berkaca ini. Lama sungguh ribut kreatif dan fikiran yang terpendam serta kusimpan dalam benak ini akhirnya kulepaskan juga pada hari ini. Seharian aku digembala oleh kerja, moga aku tidak lupa dan lalai menjadi hamba kepadanya, moga aku dijauhkan daripada dihambakan oleh dunia. Semakin lewat petang, hemikrania aku semakin kuat, pabila aku keluar fotofobia menyergah mataku, pabila kudengar, fonofobia menyerang telingaku.
Aku ada 32 bunga
Pagi kudidik dan kuhias
Petangnya aku siram sehingga mereka segar

Aku ada 32 bunga
Hemikrania aku terasa hilang seketika
Melihat bunga-bunga ini segar di bawak mentari
Melihat bunga-bunga ini ceria bercanda

Aku ada 32 bunga
Setiap satunya berlainan sifat dan fizikalnya
Ada kuat rajuknya, ada licik helahnya dan ada jujur kalimahnya
Kadangkala aku siram dan bajai ada juga yang kucantas kasar sekali
Semuanya bukan kerana aku benci
Tetapi mereka kusayangi

Aku ada 32 bunga
Ada juga insan yang cuba mencantas bunga-bunga ini
Kadangkala aku juga terasa sakit bila mereka dilukai
Tapi apakan daya
Taman ini bukan aku miliki
Hanya tempat bunga-bunga ini berdikari

Aku ada 32 bunga
Satu ketika bunga ini akan pergi
Kerana mereka sudah berdikari dan bersendiri
Aku juga tak lama di sini

Mungkin satu ketika dipindahkan ke sana kemari