Monday, August 6, 2012

muslim yang berdisiplin


TIGA BENTUK DISIPLIN DIRI SEORANG MUSLIM


TIADA CATATAN TARIKH DAN TEMPAT

Seorang Muslim yang baik pandai mendisiplinkan dirinya. Yang dimaksudkan pandai mendisiplinkan diri ialah pandai mendisiplinkan fikiran, pandai mendisiplinkan jiwa atau hati dan pandai mendisiplinkan fizikal.

PANDAI MENDISIPLINKAN AKAL FIKIRAN

Apakah yang dimaksudkan pandai mendisiplinkan akal fikiran? Yang dimaksudkan pandai mendisiplinkan akal fikiran itu diantaranya, kalau hendak membuat suatu perbincangan atau satu ceramah, pandai memilih tajuk. Tajuk itu benar-benar memberi faedah bukah saja untuk dirinya tetapi juga berfaedah untuk umum. Kalau seseorang itu tidak pandai berfikir, dia akan memilih tajuk yang mungkin akan menguntungkan satu dua orang sahaja, tetapi tidak mengenai umum manfaatnya. Ini tidak banyak memberi manfaat sedangkan masa yang dikorbankan untuk memperkatakan tajuk itu terlalu lama. Bukan senang untuk menjadi orang yang pandai memilih tajuk. Yang lebih sulit ialah MENDISIPLINKAN FIKIRAN ketika memperkatakan tajuk itu. Dan untuk fokus fikiran kepada tajuk itu sahaja. Orang bijak apabila dia memperkatakan tajuk "ayam" dia boleh menghurai dari muncung ayam hingga ke kaki dan kukunya. Kalau dia petah bercakap sekali pun dengan hujah yang panjang tetapi tersebut kuku kambing, ekor kuda. Walaupun bahasanya indah, seindah ombak yang bergelombang, namun tidak ada nilai apa-apa. Walaupun seorang yang tidak petah bercakap, tapi masih lagi ucapannya terfokus pada tajuk yang dipilih, ini menunjukkan dia orang pandai dan pintar cuma tidak pandai bercakap. Kalau sudah pandai memilih tajuk yang tepat, apabila membahaskannya tidak terkeluar pula daripada tajuk dan boleh membawa hujah yang mantap dan ia boleh pula membawa hujah Al Quran dan Hadis. Maka akan lebih hebat lagilah untuk memperteguhkan hujah bagi tajuk yang dibahaskan.

MENDISIPLINKAN JIWA ATAU HATI

Bisikan hati boleh dibahagi kepada dua.

Rasa hati yang diperlukan pertimbangan akal. Rasa hati ini mesti dibahaskan lagi, rasa hati yang mesti difikirkan dan dinilai oleh akal. Hati ialah rebutan antara malaikat dan syaitan. Kalau ada cetusan rasa hati, terus saja dijadikan tindakan. Ditakuti rasa hati itu bisiskan syaitan. Oleh itu ada jenis rasa hati yang mesti difikirkan, dibahas, direnung dan dinilai DENGAN BANTUAN AKAL. Apabila ditimbang-timbang oleh akal, diterima oleh syariat mungkin itu titisan ilham dari malaikat, maka bolehlah dijadikan tindakan. Oleh itu rasa hati seumpama ini kenalah dipertimbangkan oleh akal lagi berdasarkan hukum-hakam syariat. Tidak boleh terus saja bertindak mengikut rasa, takut-takut nanti tindakan itu akan membawa akibat buruk kerana ia dibisik oleh syaitan.

Rasa hati yang tidak memerlukan bantuan akal. Ada rasa hati yang lain lagi yang boleh terus dipakai kerana ia tidak memerlukan pertimbangan. Tetapi ini susah hendak digambarkan bagi orang yang tidak ada pengalaman. Kalau kita terangkan secara ilmiah, ia tidak dapat mengagak juga. Mungkin dia akan memikirkan rasa yang pertama juga. Dia tidak dapat membezakan rasa pertama dengan rasa yang kedua. Rasa hati yang kedua ini "ILHAM". Ilham, syaitan tidak campur tangan. Ini benar-benar dari malaikat. Hakikatnya dari Allah. Apakah tandanya? Tandanya akal langsung tidak mahu campur tangan, bahkan dihentikan pertimbangan otak. Ditutup pintu pertimbangan otak. Payah hendak disebut bagi mereka yang tidak pernah sampai ke peringkat ini. Siapa yang pernah diberi Allah, dia dapat merasa sendiri. Tak payah hendak diceritakan, sesuatu yang diilhamkan ke hati. Memang akal tidak terbuka bukan saja tidak mahu fikirkan bahkan akal terus terhenti, ditutup terus pembantu akal. Indah sungguh sesuatu yang dijatuhkan ke dalam hati yang tidak tahu dari mana sumber datangnya. Sekiranya sesuatu ilham itu patut dijadikan tindakan. Kalau ia tidak mahu bertindak, dia rasa gelisah, ibarat bayi dalam kandungan yang belum muncul keluar. Bila telah muncul keluar, si ibu terasa lapang. Demikianlah bila telah jadi tindakan, terasa lapang. Mungkin payah nak faham teori ilmiah ini bagi orang yang tidak pernah mengalaminya, payah memahaminya. Orang yang pernah mengalaminya akan berkata, ya, benar sungguh, demikian kata hatinya.

Dapatlah kita fahami pertama, ada rasa hati yang boleh atau sepatutnya difikirkan oleh akal kemudian barulah dijadikan tindakan. Kedua, ada rasa hati yang akal tidak mahu campur tangan. Memang akal langsung tidak mahu memikirkannya. Ilham atau bisikan itu dibiarkan saja pada hatinya. Ini ilham namanya. Ini orang yang pandai menyusun hati namanya.

PANDAI MENYUSUN FIZIKAL

Kita perlu pandai menggunakan tenaga badan atau fizikal. Biarlah boleh gunakan tenaga itu supaya boleh dapat hasil yang besar. Kita menggunakan tenaga fizikal dengan masa yang singkat, tetapi hasilnya besar. Kalau mengguna tenaga tetapi masanya berlarut-larut, buang masa sahaja, sedangkan hasilnya terlalu sedikit. Ini ertinya pandai menyusun tenaga.

Begitulah maksudnya orang yang bijak dan pandai mendisiplinkan diri. Pandai mendisiplinkan fikiran, hati dan fizikal. Kalau Allah tak bantu, tidak boleh lakukan. Kalau Allah tak bantu, tidak boleh bertindak sebegitu halus.


Apakah kita bercakap, berfikir, bertindak mengikut kaedah ini atau tidak?
dari: al-risalah.

No comments:

Post a Comment