Tuesday, June 25, 2013

Master atau tidak???

Alhamdulillah… secara tidak rasmi aku telah menamatkan pengajian Sarjana Muda di UPSI. Hanya transkrip dan keputusan peperiksaan sahaja yang belum aku terima. Saat sahabat-sahabat lain bergembira kerana tamat pengajian, akan tetapi aku masih dalam dilema. Tak seceria mereka, tak juga bersedih. Aku merasakan tanggungjawab masih belum berakhir di sini. Adik-adik usrah masih lagi mencari keyakinan diri, diri ini pula masih lagi dahagakan ilmu dan pengalaman. Aku masih teringat saat aku menjejak ke UPSI. Master dan PHD menjadi idaman aku , walaupun hanya angan-angan ketika itu tetapi lama kelamaan menjadi azam dalam diri.
Perkara ini menjadi dilema kembali apabila aku ditawarkan biasiswa KPM. Perasaan ingin menerima atau menolak biasiswa itu kerana Master benar-benar menghambat diri ini. Alhamdulillah, sekali lagi ALLAH memberi keyakinan kepada diri ini untuk menerima tawaran tersebut.

Apabila tamat belajar, masalah ini terus menghambat diri ini. Perasaan sentiasa berbolak balik untuk membuat keputusan. Ya ALLAH , bantu hambamu ini untuk membuat keputusan...

Berakhirnya Mukhayyam Perdana UPSI

Alhamdulillah..tanggal 18-21 haribulan Jun 2013, Pembina UPSI telah berjaya mengadakan Mukhayyam Perdana di Kem Desa Selesa, Sungai Samak , Tanjung Malim, Perak. Antara objektif Mukhayyam ini adaalh untuk memberi pendedahan kepada perserta mengenai pentingnya tarbiyah dalam diri. Selain itu ianya juga bertujuan untuk meneruskan kelangsungan tarbiyah para peserta terutamanya semasa cuti dan juga apabila mereka menaiki ke semester seterusnya.
Untuk ikhwah kami terdiri daripada 8 orang perserta iaitu aku, Izwan, Asyraf Madinah, Opi Toronto, Naim, Halimi dan Ariff manakala akhawat pula terdiri dalam lingkungan 40 orang peserta. Pada permulaaan agak janggal bagi kami untuk memulakan aktiviti kerana jumlah ikhwah yang agak sedikit. Akan tetapi , Alhamdulillah segala aktiviti berjalan lancar walaupun ada aktiviti yang kami lakukan memang tidak dirancang dari awal. Antara aktiviti yang kami lakukan ialah membina rakit buluh, bermain permainan batu, helang dan air (tak tahu nama sebenar), galah panjang dalam air dan puisi Islam.
Selain itu, program ini juga dilengkapkan dengan slot ceramah daripada tetamu jemputan contohnya mengenai kerjaya, kelangsungan tarbiyah dan Baitul Muslim. Akan tetapi, slot yang menjadi masalah kepada aku ialah slot Baitul Muslim. Hal ini kerana ada sedikin tamparan kepada diri ini supaya berbaitul muslim. Aku dengan prinsip aku, bina kerjaya dan masa depan barulah akan mendirikan baitul muslim. Setiap orang ada prinsip dan pendirian mereka sendiri. Alhamdulillah, walaupun ada sedikit dugaan dan cabaran dalam menjaga hati sebelum ini. Tetapi Alhamdulillah, aku dapat mengelakkan diri dari bercouple sepanjang aku hidup. Walaupun kadang-kadang diri ini diuji oleh sindiran kawan-kawan dan dugaan sepanjang berdepan dengan rakan-rakan dari kaum “hawa”. Alhamdulillah, Allah masih memelihara hati ini sehingga jari-jari ini menaip kisah ini.
Sepanjang program juga aku sempat menyampaikan kuliah magrib yang bertajuk orientalisme dan juga kisah Nuqman Al Muqarrin. Sebelum ini aku hanya bertazkirah di hadapan ikhwah tetapi apabila berdepan dengan akhawat hati ini sedikit berdebar dan gementar.

Tanggal 21 Jun 2013, maka berakhirlah program ini,  Hari itu juga ALLAH memberi kami rezeki untuk merasa ikan Sebarau yang menyerah diri kepada kami. Apa lagi… Sebarau bakar menjadi santapan tengahari tersebut bersama ayam BBQ. 

Thursday, June 13, 2013

Perkembangan Ideologi Marxism dalam masyarakat di Asia Tenggara

Perkembangan Ideologi Marxism dalam masyarakat di Asia Tenggara bermula dengan penubuhan Comintern atau gerakan komunis antarabangsa. Gerakan Comintern ini telah bermesyuarat buat kali pertama di Soviet Union pada Mac 1919. Organisasi ini ditubuhkan adalah untuk mengawal semua gerakan revolusi, masyarakat tertekan, dan negara yang tertekan serta bergelut dengan penjajahan kapitalisme. Geopolitik di yang berlaku terutamanya perkembangan komunis di dunia juga turut dikongsi di Asia Tenggara. Maka tidak hairanlah, lahir beberapa penulis yang berideologi komunis di rantau ini antaranya ialah Nguyen Ai Quoc/Ho Chinh Minh di Vietnam dan juga Tan Malaka dari Indonesia.
            Pengkajian mengenai tulisan Ho Chinh Minh dari awal sehingga kepada pertengahan 1920 menjelaskan bahawa beliau membezakan pergerakan kelas pekerja dengan gerakan asia. Beliau juga mempesoalkan mengenai dilemma kelas bangsa dan hal-hal ini telah menyebabkan kepada penubuhan Indochina Communist Party. Perkembangan ideologi komonis di Indonesia pula bermula apabila program tahap ketiga Stalin menjadi panduan kepada pelan tindakan Tan Malaka di Indonesia. Beliau menerbitkan pelan tindakan yang bertajuk “ Naar de Republiek Indonesia” atau Menuju Ke Republik Indonesia. Tan Malaka (1897-1949) merupakan intelektual komunis di Indonesia juga antara individu yang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan Partai Komunis Indonesia. Selain itu, ideologi komunis di Malaya pula bermula sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China.
            Melalui fakta tersebut, dapat dinilai bahawa perkembangan ideologi komunis bermula apabila tertubuhnya Comintern atau komunis antarabangsa. Setelah itu tokoh-tokoh pemikir di asia tenggara kemudiannya mengimplikasi tafsiran komunis cara Lenin mengikut corak yang bersesuaian dengan keadaan kapitalisme yang membelenggu Asia Tenggara. Setelah berkembang ideologi ini maka tokoh yang beraliran komunis berserta pendokong mereka ingin mendirikan negara mereka sendiri dengan penubuhan parti politik beraliran komunis dan melakukan beberapa revolusi seperti di Vietnam, Indonesia dan Malaysia.
            Kemuncak kepada perkembangan ideologi sehingga kepada penubuhan parti komunis, maka pada tahun 1926-1927 bermula revolusi komunis di Indonesia (PKI) manakala di Indochina (ICP) telah memulakan revolusi pada tahun 1930-1931.


Menikmati kesejukan bilik karel di minggu-minggu terakhir.


Alhamdulillah...di musim peperiksaan ini perpustakaan UPSI memberikan perkhidmatan bilik karel percuma kepada pelajar. tetapi malang sekali, kulihat tiada pelajar yang mengambil kesempatan terhadap perkhidmatatan percuma ini. Mungkin atas sebab kurang informasi atau mereka tidak gemar duduk terkurung di bilik sempit ini.
Bagiku terkurung di bilik ini lebih seronok berbanding berbincang beramai-ramai sehingga lari dari topik perbincangan.
sekadar pandangan diriku yang introvert..
hehehe

Sunday, June 9, 2013

Merindui Suasana Hujan di Tanjung Malim.

Hujan..
Payung..
dan Mahasiswa..

Tanjung Malim merupakan kawasan yang mempunyai taburan hujan yang agak tinggi di Malaysia aku kira. Hampir setiap hari, tidak kira pagi petang atau malam akan ada hujan yang turun di kawasan ini.
Oleh itu mahasiswa yang ingin pergi ke kelas perlu membawa payung. Hal ini merupakan perkara biasa di UPSI.

Hari-hari terakhir di UPSI, apabia aku duduk di tepi tingkap sambil termenung.
Aku pasti teringat saat aku ditimpa hujan apabila pergi ke kelas. Basah kuyup di atas motor. Basah kuyup memasuki kelas sambil menggigil dan membuat muka kasihan di depan pensyarah. Hehe.
Pernah juga berkongsi payung dengan orang yang bermurah hati menumpangkan payungnya.

sungguh nostalgik waktu itu.