Tuesday, February 18, 2014

Ketahuilah….jalan itu panjang...


Ketahuilah….jalan itu panjang...
Aku sering mendengar jawapan mengenai persoalan kenapa kamu menuntut ilmu?. Kebanyakkan jawapan yang diberi ialah:
Aku menuntut ilmu kerana ingin berjaya…
Aku menuntut ilmu kerana ingin mendapat gaji besar..
Aku menuntut ilmu kerana ingin kenaikan pangkat..
Aku menuntut ilmu kerana ingin dipandang tinggi oleh masyarakat..
Jawapan ini bukan sahaja diberikan oleh pelajar sekolah, akan tetapi jawapan ini juga diberikan oleh mereka yang menuntut di tahap sarjana muda, sarjana dan phd. Sebelum membincangkan lebih lanjut mengenai permasalahan konsep ilmu yang membelenggu para penuntut ini. Adalah lebih baik kita mengulas lebih lanjut mengenai konsep ilmu daripada pandangan barat dan islam yang mungkin dapat membantu para penuntut lebih jelas mengenai konsep ini.
Ilmu mempunyai pengertian yang umum yang luas dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Terlebih dulu mari kita ketahui perkataan lawan kepada ilmu. Lawan kepada ilmu ialah “bebal” atau dalam bahasa inggerisnya bererti ignorance atau dalam bahasa arab bererti jahil.
Islam sangat mementingkan ilmu dalam kehidupan. Dalam perkembangan berkaitan, agama Islam bukan sahaja telah  meletakkan ilmu pengetahuan di tahap yang tinggi tetapi juga menganjurkan agar umatnya sentiasa mementingkan ilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan firman Allah s.w.t (Az-Zumar: 9) yang bermaksud “Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan” .
Dalam buku bertajuk konsep ilmu dalam islam karangan Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyatakan “Nabi Muhammad SAW dipersetujui sebulat suara oleh semua umat Islam sebagai al-nabi al-ummi, nabi yang buta huruf. Namun demikian, sunnahnya lengkap dengan aphorisme dan tindakan-tindakan yang menguatkan konsep ilmu dalam al-Quran dan menjadi pencetus dan kuasa pendorong bagi pembangunan intelektual dan tamadun masa depan dalam Islam.”  Begitulah kepentingan ilmu yang begitu diperlukan oleh masyarakat muslim pada masa kini.
Mari kita lihat pula konsep ilmu dalam tamadun barat, menurut  Arnold Toynbee Tamadun merupakan sejenis kebudayaan yang berkembang di kota. Tamadun juga satu kumpulan pemikiran daripada pelbagai manifestasi serta satu gaya kebudayaan yang bertanggungjawab dalam pembentukan institusi politik, kesusasteraan, moral dan agama. Manakala Haas dan Lecky berpendapat Tamadun Eropah adalah berakar umbikan tamadun Yunani dan tamadun Rom yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata. J.K Fiebleman Tamadun ialah kepandaian mengekploitasi material oleh masyarakat iaitu proses masyarakat terhadap material dengan sendiri menjadikan barang baru bagi keperluan tertentu.
Melalui perbandingan kedua-dua ini dapat kita lihat bahawa matlamat menuntut ilmu dalam tamadun islam adalah lebih luas dan halatujunya jelas dan lebih berpaksikan agama islam itu sendiri ialatu mencari keredhaan ALLAH SWT. Akan tetapi apabila kita melihat konsep ilmu dalam tamadun barat, ianya lebih bersifat duniawi dan hanya menganggap agama itu salah satu cabang budaya yang sama dengan cabang-cabang yang lain.

Oleh itu teman, konsep manakah yang kita pilih. Cuba cermin diri dan koreksi hati.

No comments:

Post a Comment