Wednesday, December 30, 2015

Ibarat sebiji kek resipi rahsia

Saat aku menulis ini sebenarnya aku sedang melepaskan  segunung emosi yang ditujahkan ke papan kekunci  computer. Saat ini juga metacarpals dan phalanges diikat erat oleh intrinsic muscle, lumbrical dan interossei tanda kegeraman yang terpendam di dalam hati. Bahasa penulisan aku juga bertukar daripada melankolik kepada kegeraman.

Dah la..aku nak tukar gaya penulisan. Nak jugak tulis gaya hipster.
Marah sebab apa?

Petang tadi aku berjalan seseorang di Parade, tiba-tiba ternampak la sorang budak ni, rasanya macam kenal. Oh…memang  kenal…budak kelas  2 ###$%% . Dengan siapa pulak dia pegang tangan tu?? Hmm. Nak sangka baik abang dia tapi…aku jalan dengan adik aku pun tak pernah pegang tangan. Aku rasa boyfren dia kot. Sah la tu.

Budak-budak…meh sini aku nak bagitau.
Korang rasa relationship tu kekal ka?
Sampai ke jinjang pelamin ka?
Yang paling penting sekali halal ka?

Serius aku bagitau kat korang, berdasarkan pengalaman aku dengan kawan-kawan macam tu., depa tak kan kekal lama yang ada pun mungkin 5/100 kot. Pasal henfon boleh break, pasal kerja sekolah boleh break dan macam-macam lagi la. Yang lelaki hanya nak ambil kesempatan je…yang perempuan pulak sebab dengki kawan lain ada boyfren.. Poin aku bukan pasal punca break ni.

Adeii…..mat rempit ni bising-bising pulak kat tepi jalan ni…ganggu aku nak menulis je.!!! Shuhhh…main jauh-jauh!!!

Ok sambung pasal poin tadi…

Korang rasa halal tak hubungan yang pegang-pegang tangan, duduk rapat-rapat. Mestilah tak halal bro and sis!! Allah tak redha hubungan macam tu.
Lagi satu..agak-agak korang rasa, bakal suami/isteri korang nanti, bila korang dah cukup matang dan dah kahwin, redha tak isteri/suami dia dah disentuh dibelai oleh orang lain???
Confirmlah tak redha!!!! Aku berani potong kuku la !!!!

Meh sini aku nak bagi analogi/metafora/meteora ehh…tu lagu linkin park..haha..
Analogi sebenarnya macam ni.

Korang seperti sebiji kek rahsia resipi. Asalnya cantik mulus, berkrim dan berhiasi. Tiba-tiba ada orang ramas, kacau, gaul dengan tangan dia..dah la tak basuh tangan!!! Haisshhhh.
Lepas tu korang/kek tadi nak dijamu kepada orang VVVVVVIP dalam dunia ni. Agak-agak VVVVVIP  tu nak makan tak kek tadi…dah la Nampak kena ramas,gaul dengan tangan kotor tu.
Konfirmlah tak mau makan.!!!! Aku berani gunting rambut aku bila dah panjang sikit!!!!!
Tetapi..*bayangkan aku cakap dengan nada yang menusuk kalbu *

Jika kek tadi cantik, mulus, suci…aku gerenti VVVVIP dalam dunia ni AKA bakal pasangan korang nanti akan lebih bertuah dan menghargai korang sepenuh hatinya. *harap dia pun sama macam korang* yakinlah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.

Huh…

Weii…aku nasihat ni bukan nak suruh korang baca…aku pun tulis bukan nk suruh korang baca. Kalau dah terbaca dan sentap…aku harap Korang berubah la.  Dapat sikit pahala kat aku. Aku saja tulis nak lepas geram je. Sebab tempat ni ibarat luahan hati aku sejak dari dulu lagi. Aku pun nak kata baik macam malaikat pun idak jugak. Kita sama je…manusia biasa..ada dosa da nada pahala. Zaman sekolah dulu tanyalah apa band underground yang aku tau, tanyalah band inggeris yang aku dengar muziknya…oasis, nirvana, coldplay, the killers, keane…banyak lagi la…korang apa tau!!!

Tapi Alhamdulillah walau rocker dan underground aku masa dulu…ALLAH masih jaga hati ini untuk bakal zaujah*aku pun tak tau sapa*  sampai sekarang….insyaallah..**sekarang tak rocker dah***

Ehh…kenapa lagu Keane-everybody s changing kat laptop ni tiba-tiba hang pulak.


Aku dah meluahkan poin-poin aku kat atas tu. Hari ni bahasa tulisan aku macam pasar ikan. Sebab geram punya pasal. Aku tak suka menulis bahasa ni tapi kadang-kadang tertulis jugak.
***woi…nak naik motor pi la dalam mimpi…jangan memekak kat tepi rumah aku ni!!!!!!

Yang benar dan berazam = Azam hafizi

Thursday, December 10, 2015

Sedarlah wahai diri, engkau sentiasa dekat dengan kematian.

Entah kenapa hari ini aku merasa sangat-sangat hiba. Hari ini aku telah menziarahi kematian ayah sahabatku. Aku mengenali ayahnya seorang yang sangat baik dan aku bersedih atas pemergiannya. Akan tetapi rasa hibaku bukanlah disebabkan kesedihan itu. Aku merasakan diriku ini sangat-sangat dan sangat dekat dengan kematian dan hakikat kematian itu memanglah sangat dekat kepada manusia cuma bila waktunya dan di mana tempatnya itu adalah rahsia ALLAH.

Sepanjang perjalanan daripada Teluk Intan ke Ipoh aku rasakan pipi dan bajuku basah dengan lelehan air mata. Bacaan surah ali imran daripada Syeikh Misyari di radio yang agak sayu menambah lagi tusukan-tusukan kesedihan dan penyesalan di dalam hati. Aku terbayang jika ALLAH mencabut nyawaku pada saat ini, adalah aku bersedia dengan alam kubur yang bersendirian itu, adakah aku cukup kuat untuk menjawab soalan-soalan malaikat di alam kubur nanti dan adakah amalan aku cukup untuk mencium bau-bauan syurga di akhirat nanti. Adakah aku mampu untuk mendapat nikmat syurga  yang banyak dinyatakan dalam al-quran seperti dalam surah an-naba ayat 31-36, surah al mutaffifin ayat 18-26.  Ya ALLAH aku sangat takut dengan azab nerakaMu, aku sangat takut dengan percikan-percikan api yang bahan bakarnya adalah orang-orang kafir, aku sangat takut dengan makanan ahli neraka iaitu buah yang berduri, aku takut aku dicampak dalam keadaan yang terhina di akhirat kelak. Aku teringat dengan ingatan dan amaran yang telah diberi oleh ALLAH dalam surah al Ghaasyiah ayat 1 hingga 7.

 Sebenarnya Allah telah mengujiku dengan saat-saat berdepan dengan kematian. Aku teringat ketika pulang daripada kuliah Dr Zulkifli al bakri di Slim River. Aku pulang ke UPSI bersendirian dalam lingkungan pukul 10 malam. Pada malam itu aku begitu rindu dengan mak dan abah lalu aku menghidupkan motor jam 11 malam untuk pulang ke kampung yang memakan masa 3 jam perjalanan. Tiba di selekoh tajam dan gelap berhampiran SMKA Slim River motor aku dilanggar dengan ganas oleh sebuah treler dari belakang. Aku terpelanting dan terseret hampir 10 meter di atas tar. Aku bernasib baik tidak disedut oleh tayar treler tersebut.  Setelah terseret di jalan tar yang gelap aku terpandang bias-bias cahaya di cermin topi keledarku, sebuah lori yang datang dari belakang hampir hampir melanggarku yang sedang terbaring kelenguhan dan kebingungan di atas tar itu. Kurasakan tayar lori itu hampir beberapa inci dengan badanku. Allah…Allah….andai ini saatnya maka aku serta merta mengucap tiada tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu pensuruh ALLAH. Tubuhku menggigil dan hatiku sangat-sangat kosong pada ketika itu hanya terbayang kematian sahaja. Tersedar dari lamunan aku terus bingkas bangun ke tepi jalan. Aku terduduk sayu dan seluruh otot dan sendiku kebas kerana jatuhan dan seretan ganas di atas tar tadi. Allah…begitu hampir aku dengan kematian. Saat itu juga ada insan yang baik hati sudi menumpangkan aku ke Tanjung Malim.

Malam itu sungguh sayu, aku mengeti ALLAH masih lagi memberi peluang untuk diri memperbaiki diri sebelum amal dan amalanku terputus. Tangisan penyesalan pada malam itu aku sendukan di tikar sejadah. Mak dan Abah pada ketika itu masih tidak tahu lagi kemalangan tersebut, esoknya baru aku memberitahu mereka.


Ya ..Allah jadikanlah saat nafas terakhirku ketika aku berjuang menegakkan agamamu, saat aku berjuang supaya diriku dan umatmu menegakkan syiar agama ini.  

Friday, December 4, 2015

Chasing the years of my life


Seperti yang sering aku kata, aku ingatkan kepada murid-murid, bahawa pengalaman lampau, walau sekerdil dan seremeh mana pun, kadang-kadang ia memberi makna  yang cukup mendalam untuk difikir dan dijadikan ilham serta pengajaran supaya kita dapat mengorak langkah dalam perjalanan kehidupan ini. Pengalaman ini jika digaul dengan ramuan dan perisa kehidupan ia mampu menjadi opus magnum kepada diri ini. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri ini, kerana aku tahu, aku bukan siapa-siapa kepada orang lain, hanya berlagu di halaman sendiri.

Penghujung tahun 2015 tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, dan genaplah setahun aku menabur khidmat yang tidak seberapa ini di sekolah yang agak hebat menurut kata-kata orang di sekitar sini. Ya…aku akui sukar untuk mengikut rentak di sini. Rentak yang pantas, kalut, deras…semuanya ada di sini. Aku hanya seolah-olah lagu balada dan jazz yang tidak mampu menyaingi lajunya rentak muzik metal dan trash.

Tahun ini juga anak murid pertama secara rasminya telah menghadapi peperiksaan SPM. Jujur aku katakan banyak kerenah murid kadang-kadang meresahkan fikiran, menggundah gulanakan hati dan ada kalanya telatah mereka jadi hiburan dikala aku sedih dan berduka. Begitulah indahnya suka duka menjadi guru. Cabaran juga bagi diri yang setahun jagung dalam dunia ini, sebelum ini aku hanya menjadi juara dalam penulisan dan kajian dalam lembaran kertas putih sahaja, tapi tahun ini sukar untuk aku menjadi juara dalam hati dan sekujur jasad seseorang manusia itu.

Juara hati bagi murid-murid yang pelbagai ragam dan sifat. Kadang-kadang ada yang melawan seperti “F”, ada yang suka berhujah seperti “H” dan ada juga yang aku selalu marah tetapi dia tetapi senyum seperti “S”. Aku terfikir….inilah ragam yang aku perlu lalui sepanjang tahun dalam tugas memberi ilmu dan inspirasi kepada mereka. Banyak masalah mereka yang perlu aku ketahui, perlu aku fahami bukan sekadar mengajar apa yang aku tahu sahaja. Aku juga perlu membuang ego seperti yang ada pada Narcisscus seperti dalam watak lagenda Yunani untuk memahami masalah mereka itu.
Aku bukan superman dan superhero yang mampu memenuhi kehendak semua orang. Aku hanya seorang guru yang mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak murid berjaya. Ya walaupun ianya kadang tak dihargai oleh semua.

Berakhirnya SPM…

Alhamdulillah bagi mereka..kurasakan telah lega dari segala penah lelah untuk menghadapi SPM ini.  Tetapi aku ingin tegaskan, untuk menjadi seorang yang berjaya, tiada istilah rehat dan bersenang lenang. Ranum dan masak sesuatu buah itu bukan mudah, banyak serangga perosak dan kulat menghalangnya menjadi buah yang masak ranum dan manis untuk dimakan. Begitulah analogi cabaran sepanjang bergelar pelajar dan pengembara dunia.
Berbalik kepada diriku…


Dalam tahun ini, aku terasa seperti pelakon yang menjadi beberapa karakter, sekejap aku menjadi jurulatih di padang, sekejap mejadi m.c di majlis, sekejap menjadi pengarah drama, sekejap menjadi motivator di kelas. Begitulah tugas aku di sekolah. Kadang-kadang tugas yang tak dijangka, sukar tetapi di akhirnya menjadi kenyataan dan kegembiraan seolah-olah aku terjun dari tempat tinggi dan tiba-tiba keluar parachutes menyelamatkan diri ini. Alhamdulillah segala urusan tahun ini hampir 90% sudah berakhir.