Friday, December 4, 2015

Chasing the years of my life


Seperti yang sering aku kata, aku ingatkan kepada murid-murid, bahawa pengalaman lampau, walau sekerdil dan seremeh mana pun, kadang-kadang ia memberi makna  yang cukup mendalam untuk difikir dan dijadikan ilham serta pengajaran supaya kita dapat mengorak langkah dalam perjalanan kehidupan ini. Pengalaman ini jika digaul dengan ramuan dan perisa kehidupan ia mampu menjadi opus magnum kepada diri ini. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri ini, kerana aku tahu, aku bukan siapa-siapa kepada orang lain, hanya berlagu di halaman sendiri.

Penghujung tahun 2015 tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, dan genaplah setahun aku menabur khidmat yang tidak seberapa ini di sekolah yang agak hebat menurut kata-kata orang di sekitar sini. Ya…aku akui sukar untuk mengikut rentak di sini. Rentak yang pantas, kalut, deras…semuanya ada di sini. Aku hanya seolah-olah lagu balada dan jazz yang tidak mampu menyaingi lajunya rentak muzik metal dan trash.

Tahun ini juga anak murid pertama secara rasminya telah menghadapi peperiksaan SPM. Jujur aku katakan banyak kerenah murid kadang-kadang meresahkan fikiran, menggundah gulanakan hati dan ada kalanya telatah mereka jadi hiburan dikala aku sedih dan berduka. Begitulah indahnya suka duka menjadi guru. Cabaran juga bagi diri yang setahun jagung dalam dunia ini, sebelum ini aku hanya menjadi juara dalam penulisan dan kajian dalam lembaran kertas putih sahaja, tapi tahun ini sukar untuk aku menjadi juara dalam hati dan sekujur jasad seseorang manusia itu.

Juara hati bagi murid-murid yang pelbagai ragam dan sifat. Kadang-kadang ada yang melawan seperti “F”, ada yang suka berhujah seperti “H” dan ada juga yang aku selalu marah tetapi dia tetapi senyum seperti “S”. Aku terfikir….inilah ragam yang aku perlu lalui sepanjang tahun dalam tugas memberi ilmu dan inspirasi kepada mereka. Banyak masalah mereka yang perlu aku ketahui, perlu aku fahami bukan sekadar mengajar apa yang aku tahu sahaja. Aku juga perlu membuang ego seperti yang ada pada Narcisscus seperti dalam watak lagenda Yunani untuk memahami masalah mereka itu.
Aku bukan superman dan superhero yang mampu memenuhi kehendak semua orang. Aku hanya seorang guru yang mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak murid berjaya. Ya walaupun ianya kadang tak dihargai oleh semua.

Berakhirnya SPM…

Alhamdulillah bagi mereka..kurasakan telah lega dari segala penah lelah untuk menghadapi SPM ini.  Tetapi aku ingin tegaskan, untuk menjadi seorang yang berjaya, tiada istilah rehat dan bersenang lenang. Ranum dan masak sesuatu buah itu bukan mudah, banyak serangga perosak dan kulat menghalangnya menjadi buah yang masak ranum dan manis untuk dimakan. Begitulah analogi cabaran sepanjang bergelar pelajar dan pengembara dunia.
Berbalik kepada diriku…


Dalam tahun ini, aku terasa seperti pelakon yang menjadi beberapa karakter, sekejap aku menjadi jurulatih di padang, sekejap mejadi m.c di majlis, sekejap menjadi pengarah drama, sekejap menjadi motivator di kelas. Begitulah tugas aku di sekolah. Kadang-kadang tugas yang tak dijangka, sukar tetapi di akhirnya menjadi kenyataan dan kegembiraan seolah-olah aku terjun dari tempat tinggi dan tiba-tiba keluar parachutes menyelamatkan diri ini. Alhamdulillah segala urusan tahun ini hampir 90% sudah berakhir.

2 comments: