Hari ini
aku begitu lesu sekali, badanku terasa lemah dan daif. Semalaman aku tidak
tidur, badanku terasa hangat pijar dan hidung terasa seperti disumbat dengan
kapas. Pagi ini aku sempat memecut motorku untuk solat subuh di masjid. Di
masjid, anak tahfiz ada yang terlena di tiang seri masjid, ada juga yang sibuk
menghafal al quran. Aku yang lemah lesu pun duduk bersandar di dinding pudar
masjid menanti azan subuh bilal masjid. Selepas solat dengan badan yang lemah
aku bergegas balik dengan pecutan motor, rupanya pengetua ada di belakang aku
semasa memecut tadi…arhh..sudah.
Masuk ke
kelas aku dengan badan yang lesu dan lemah diuji dengan anak murid yang
baik…sebaik baiknya…sudah disuruh baca buku semasa cuti tetapi masih tak mampu
menjawab soalan yang sudah aku peringatkan saban hari. Sesungguhnya proses
mendidik ini perlukan banyak kesabaran dan kerendahan hati bukan kemarahan dan
kegeraman. Radang-radang egois dalam hari para guru perlu dihakis dengan pahat
zikir dan munajat. Ah…aku bermonolog seolah-olah aku suci dari kemarahan,
ya…aku akui kadang-kadang sifat ini timbul pabila diri ini ditekan dari
pelbagai sudut bukan sekadar tekanan biasa, tetapi seolah-olah tekanan cecair
hidraulik yang mampu menggerakkan puluhan tan batu dan membengkokkan keluli.
Saat ini
juga aku diuji dengan pelbagai meeting dan juga program dakwah di luar, sosok
lemah ini kadang-kadang hampir rebah disadung dengan segala macam program tadi.
Ya..Allah… tenangkanlah fikiran dan kembalikanlah tenaga badan ini. Moga segala
tugaskan mampu dipikul dengan gagah dan kukuh. Terik mentari di atas kepada
seolah olah jarak mentari satu meter di atas kepala. Panasnya bukan kepalang.
Aku menghela nafas yang agak tersekat dari tadi dek kerana mukus yang ada dalam
salur pernafasan. Solat zuhur kutunaikan setelah tulang temulangku ini
direhatkan di atas tikar sejadah sebelum azan dikumandangkan.
Helaan
nafas serentak dengan heretan langkah menuju ke dewan mesyuarat, kepalaku berat
mendengar segala penerangan, akan tetapi pena di jariku laju melukis warna
emosi diri. Abstrak yang aku sahaja mengerti dan sukar dihalusi oleh kebanyakan
orang. Selesai mesyuarat asar menggamitku ke surau dan tugasku diteruskan
kemudian dengan melatih anak-anak remaja di padang. 6.30 p.m langkah suram ini
diteruskan ke kereta dan terus memecut ke kedai makan. Tauke kedai menyapa….
Macam tak
sihat je…
Ya
pakcik…demam…jawabku.
Balasnya
pula… nampak macam tak makan tengah hari lagi ni.
Jawabku…ya
pakcik..macam tahu-tahu je..
Aku pun
kembali ke rumah dengan hidangan nasi lemak berlauk ayam dan ditambah dengan
tempe.
Sambil
mengunyah nasi mindaku berfikir…
Beruntungnya
aku masih dikurniakan rezeki, ada orang yang tidak punya rezeki sepertiku tapi
masih mampu menjalani kehidupan dengan gembira. Ada orang yang rezekinya kais
pagi makan pagi tapi masih mampu mengukir senyuman semanis madu. Ada yang
kehidupan sehariannya dihujani dengan peluru dan mortar tetapi masih mampu
bercanda gurau dengan temannya.
Ya…saat
sendirian ini aku mencatat tinta monolog ini..tinta yang kuharap mampu
menggugah jiwa ini supaya menjadi lebih kuat. Mampu berbakti kepada dakwah
dengan lebih kencang dan laju. Allah…mampukah aku?? Tanda soal terbit dalam
mindaku.
"Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah."
ReplyDelete