Saturday, July 18, 2015

ijazah yang sebenar

Subuh yang dingin setelah hujan renyai membasah tanah yang gersang dan tumbuhan yang layu pada malam tadi. Angin dari selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa sekaligus menambah kedinginan pagi itu. Aku melilit serban palestin milik arwah atok di leher untuk mehilangkan sedikit kedinginan pagi.
Aku mengatur langkah menuju ke batas sawah. Angin selatan yang bertiup menyebabkan rambut dan serban palestin meliuk-liuk liuk dan melambai-lambai. Ah..dinginnya pagi ini. Aku melangkah semakin jauh ke tengah sawah, anak-anak ikan puyu bermain-main dipermukaan air di kiri kanan batas sawah. Ketam padi bercempiran lari bila aku menghampiri mereka. Sekumpulan bangau putih sibuk meranduk air sawah sambil mematuk-matuk permukaan air, barangkali ada anak ikan dan katak yang menjadi rezeki bangau di pagi hari. Begitulah ibrah dari seekor burung bangau, bangun pagi dan mencari rezeki, dari kantung yang kosong sehingga penuh kantung dengan anak ikan. Bangau tidak pernah bersungut dengan rezeki bahkan yakin dengan rezeki yang ditetapkan Allah.
Ibrah ini kuperhalusi sepanjang langkah aku di batas sawah. Aku berdiri berseorangan di batas bendang. Aku cuba mengulang hafalan quran supaya tidak lupa. Waktu yang tenang dan bersendirian ini adalah waktu yang sesuai untuk menghafal.
Kalimah dan melankolik bahasa juga bermain-main dalam kotak mindaku.

Ijazah..
Apa guna ijazah di universiti kalau tiada rasa peduli,
Apa guna ijazah di universiti kalau tidak kenal ikan haruan dan keli,

Anak..
Kembalilah ke kampung halamanmu,
Ayah ibumu sudah lama menanti dan menunggu,
Tanah dan selut sudah tidak sabar untuk dipijak selalu,

Azam

Friday, July 17, 2015

Surau Lama Menggamit Nostalgia

Hari terakhir persekolahan sebelum bermulanya cuti raya, sekolah aku mengadakan ritual klise seperti yang dilakukan sejak zaman berzaman iaitu majlis salam bersalaman. Aku bersandar di tepi kereta alza yang agak "fancy" sambil menanda buku dan memerhati tingkahlaku orang. Siap menanda buku aku terus ke bilik guru untuk menyiapkan kerja lain.
Aku berada di sekolah sehingga jam 3. Ahh...kerinduan ke kampung halaman semakin menebal. Rindu pada keluarga dan juga suasana di surau lama. Surau lama...apa yang ada di sana??
Jika dilihat dari pandangan materialistik, surau lama itu hanyalah sebuah bangunan kayu dua tingkat yang agak uzur.
Bagiku pula...surau itu penuh dengan khazanah kenangan sejak zaman kanak-kanak lagi. Seburuk dan seuzur manapun ia, aku tetap rindu untuk ke sana.
Sejak dahulu lagi itu tempat aku dan rakan-rakan kampung untuk melepak sebelum waktu isyak. Apabila meningkat umur,tempat itu merupakan tempat untuk kami "reunion".
kerusi usang tempat kami duduk bersantai masih ada lagi. Microfon usang dan berbentuk corong masih lagi tesergam di bumbung surau. Masih ssetia berkhidmat setiap kali aku melaungkan azan.
kini aku merindui waktu itu...
tinggal jauh di ipoh, aku masih tak dapat merasa suasana seindah di surau lama. Makan kenduri guna talam dan suasana tarawih seperti dahulu sangat kurindu.
Aku juga rindu dengan celoteh pakcik-pakcik di surau. Rindu dengan suasana masak memasak.

Ya..ubat untuk rindu itu ialah kembali ke surau lama dan nikmati nostalgia itu

Wednesday, July 15, 2015

Catatan setahun yang lalu..ada suka dan ada duka

Keputusan temu duga sudah diketahui..
Kini, terlerai seribu persoalan yang dinanti..
Ya, mengenai masa depan diriku ini..
Adakah berjaya menjadi pendidik sejati..

Azam diri menjadi murabbi..
Akan tetapi, adakah usaha diri setara dengan apa yang dicitai..
Ya, aku masih berusaha memperbaiki diri..
Moga diri ini mendapat petunjuk ilahi..

Keputusan temu duga telah heboh diperkata..
Ketika itu aku sibuk sambil tercelik-celik biji mata..
Melihat dokumen yang berabad lama..
Moga ada serangkap dua ayat yang boleh diambil cerita..
Bagi thesisku yang entah bila siapnya..

Seorang, dua orang dan tiga orang mula bertanya..
Telefon tidak pintar sering kali berbunyi dan menyala-nyala..
Aku menjawab kepada mereka..
Ada rezeki tu adalaaa..!!!
Esok dan lusa akan kuketahui juga..
Kalau ada rezeki itu, ia tidak ke mana..
Kalau tiada, maka redhalah jua dengan kehendakNYA..

Keputusan temu duga sudah terpapar..
Banyak perasaan calon yang tergambar..
Ada yang suka, ada juga yang hambar..
Adikku menefon sambil aku menanti bas dengan sabar..

Abang..keputusan sudah diketahui..
Aku mendengar ungkapannya dengan teliti..
Abang dah lulus!!..katanya lagi..
Aku bersyukur kepada ilahi..
Setapak lagi langkah ke hadapan menjadi murabbi..

Aku juga pernah merasa perasaan itu..
Menanti dan terus menanti waktu..
Aku tahu..
Harapan kau, aku, dan kita semua hanyalah satu..
Iaitu menjadi seorang guru..

Kini..
Hendak aku nyatakan perasaan sabar..
Aku tahu, mungkin kau lebih sabar daripadaku..
Hendak kunyatakan perasaan tabah..
Aku tahu, mungkin kau sudah lama tabah sebelum ini..
Hendak aku berpesan supaya berdoa sebanyak-banyaknya..

Tapi aku tahu, mungkin doa kau lebih daripada doa-doaku..

Minggu Terakhir Ramadan 2015.

Mata semakin berat menanggung rasa mengantuk. Buku "On The Trail of Genghis Khan" masih dalam peganganku sambil laptop memainkan lagu "City Hunter Nana OST" . Aku melipat bahagian terakhir yang  dibaca pada hari ini, esok mungkin kalau mood membaca hadir lagi, akan aku buka kembali buku tersebut. Riuh suara kanak-kana bermain sudah reda, mungkin semuanya sudah terlena barangkali. Biasalah....rumahku tempat sepupu-sepupu berkumpul. Semuanya dalam usia 5-13 tahun, jadi tidak hairanlah rumah menjadi hiruk pikuk dengan suara anak-anak. 

Hari ini terdetik hati ini untuk menulis nostalgia dalam minggu terakhir ramadan pada tahun ini. Ramadan ini aku dikejutkan dengan pemergian dua sahabat baik. Seorang meninggal disebabkan makanan dan seorang lagi akibat daripada komplikasi organ. Moga kedua-dua arwah diberikan tempat yang terbaik oleh Allah di akhirat sana. Aku mengenali Arwah Zainul ketika sekolah menengah. Beliau seorang yang tegas dan baik. Persahabatan kami berlanjutan sehingga ke universiti dan sepanjang berada di universiti arwah sangat aktif dalam gerakan dakwah manakala aku lebih selesa bergerak dalam NGO dakwah. Tutur kata yang lembut dan berhikmah menjadi santapan sahabat setiap hari. Zainul...Allah lebih menyayangi engkau...

Akhi Rahim nama diberi, teman yang santun bila berbicara. Aku mengenali beliau semasa forum di UPM. Aku berucap dan bertanya soalan kepada ahli panel. Selepas itu aku disapa oleh seseorang.

Rahim: Akh...enta asal dari bagan datok ya?

Aku : ye..ana asal dari sana. Kenapa?

Rahim: ana pun dari sana.

perbualan kami berlanjutan sehingga tamat forum.

Allah takdirkan aku bertemu dengan pemuda yang berjiwa hebat. Insyaallah akh...perjuanganmu akan dibalas dengan ganjaran baik daripada Allah.

Kisah-kisah ini sebenarnya adalah kisah yang ingin aku selitkan dalam tazkirah dan solat tarawih terakhir di surau asrama. Akan tetapi manusia hanya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Pada malam itu, Allah menguji hambanya dengan sedikit kemalangan. Tayar hadapanku terlanggar lubang lalu pecah ketika lagi dua tiga minit lagi azan akan berkumandang. Kebetulan kemalangan itu berlaku dekat dengan lokasi kedai untuk kami (aku, wan cili, mus'ab, dan hafizuddin mesir) berbuka puasa.

Lupakan tayar dan kereta...mari kita pekena stimbot dulu. Setelah selesai menjamu selera. Ujian sebenar bermula. Tayar kereta tidak boleh ditukar. Aku perlu berkejar ke asrama, mus'ab pula bertugas sebagai imam di surau STAM. Mujurlah ada hamba Allah yang baik hati menolong diri ini. 
Tayar siap dipasang tetapi tugas aku di Surau Annur dan mus'ab di STAM terpaksa dileburkan. 
Ya...ada hikmahnya. Percayalah pada ujian dan takdir Allah.

Aku rindu dengan suasana surau, walaupun diri ini bukan ustaz atau alim ulama. Moga ada terdetik di hati ana muridku untuk melangkah setapak lagi dengan kebaikan. Aku juga perlukan zarah-zarah kebaikan meresap kedalam relung hati kerna kutahu nanah-nanah dosa sebagai manusia perlu dibersihkan dengan zikir dan muhasabah tentang hakikat manusia diciptakan.

Moga Allah ketemukan aku dengan ramadan pada tahun hadapan dan moga Allah jadikan ramadan ini yang terbaik buat diriku jika ini merupakan ramadan terakhir bagiku. 

(azam/bagan datok/kampunghalaman)


Wednesday, July 1, 2015

Introvert hadir dalam suasana kerja.


Sambil menanda buku pelajar dan mendengar laptopku terngiang-ngiang mengalunkan lagu "another you" hatiku meronta-ronta hendak mencari tempat yang sunyi dan dapat menerbitkan ilham dalam diri. Aku rasakan suasana dalam bilik besar ini seperti pasar malam yang dipenuhi makcik-makcik yang bergosip sambil memilih ikan yang hendak dibeli. Sejujurnya aku tidak suka perkara ini, aku keluar....aku memilih surau sebagai tempat bersunyi-sunyian...alhamdulillah habis buku-buku ditanda.