Wednesday, July 15, 2015

Minggu Terakhir Ramadan 2015.

Mata semakin berat menanggung rasa mengantuk. Buku "On The Trail of Genghis Khan" masih dalam peganganku sambil laptop memainkan lagu "City Hunter Nana OST" . Aku melipat bahagian terakhir yang  dibaca pada hari ini, esok mungkin kalau mood membaca hadir lagi, akan aku buka kembali buku tersebut. Riuh suara kanak-kana bermain sudah reda, mungkin semuanya sudah terlena barangkali. Biasalah....rumahku tempat sepupu-sepupu berkumpul. Semuanya dalam usia 5-13 tahun, jadi tidak hairanlah rumah menjadi hiruk pikuk dengan suara anak-anak. 

Hari ini terdetik hati ini untuk menulis nostalgia dalam minggu terakhir ramadan pada tahun ini. Ramadan ini aku dikejutkan dengan pemergian dua sahabat baik. Seorang meninggal disebabkan makanan dan seorang lagi akibat daripada komplikasi organ. Moga kedua-dua arwah diberikan tempat yang terbaik oleh Allah di akhirat sana. Aku mengenali Arwah Zainul ketika sekolah menengah. Beliau seorang yang tegas dan baik. Persahabatan kami berlanjutan sehingga ke universiti dan sepanjang berada di universiti arwah sangat aktif dalam gerakan dakwah manakala aku lebih selesa bergerak dalam NGO dakwah. Tutur kata yang lembut dan berhikmah menjadi santapan sahabat setiap hari. Zainul...Allah lebih menyayangi engkau...

Akhi Rahim nama diberi, teman yang santun bila berbicara. Aku mengenali beliau semasa forum di UPM. Aku berucap dan bertanya soalan kepada ahli panel. Selepas itu aku disapa oleh seseorang.

Rahim: Akh...enta asal dari bagan datok ya?

Aku : ye..ana asal dari sana. Kenapa?

Rahim: ana pun dari sana.

perbualan kami berlanjutan sehingga tamat forum.

Allah takdirkan aku bertemu dengan pemuda yang berjiwa hebat. Insyaallah akh...perjuanganmu akan dibalas dengan ganjaran baik daripada Allah.

Kisah-kisah ini sebenarnya adalah kisah yang ingin aku selitkan dalam tazkirah dan solat tarawih terakhir di surau asrama. Akan tetapi manusia hanya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Pada malam itu, Allah menguji hambanya dengan sedikit kemalangan. Tayar hadapanku terlanggar lubang lalu pecah ketika lagi dua tiga minit lagi azan akan berkumandang. Kebetulan kemalangan itu berlaku dekat dengan lokasi kedai untuk kami (aku, wan cili, mus'ab, dan hafizuddin mesir) berbuka puasa.

Lupakan tayar dan kereta...mari kita pekena stimbot dulu. Setelah selesai menjamu selera. Ujian sebenar bermula. Tayar kereta tidak boleh ditukar. Aku perlu berkejar ke asrama, mus'ab pula bertugas sebagai imam di surau STAM. Mujurlah ada hamba Allah yang baik hati menolong diri ini. 
Tayar siap dipasang tetapi tugas aku di Surau Annur dan mus'ab di STAM terpaksa dileburkan. 
Ya...ada hikmahnya. Percayalah pada ujian dan takdir Allah.

Aku rindu dengan suasana surau, walaupun diri ini bukan ustaz atau alim ulama. Moga ada terdetik di hati ana muridku untuk melangkah setapak lagi dengan kebaikan. Aku juga perlukan zarah-zarah kebaikan meresap kedalam relung hati kerna kutahu nanah-nanah dosa sebagai manusia perlu dibersihkan dengan zikir dan muhasabah tentang hakikat manusia diciptakan.

Moga Allah ketemukan aku dengan ramadan pada tahun hadapan dan moga Allah jadikan ramadan ini yang terbaik buat diriku jika ini merupakan ramadan terakhir bagiku. 

(azam/bagan datok/kampunghalaman)


No comments:

Post a Comment