Sedang Islam berkembang rancak keseluruh dunia membina empayarnya sendiri khususnya di timur, satu persatu empayar jahiliyyah runtuh hancur. Sejak runtuhnya Empayar Rom pada kurun ke 5 Masihi menjadi titik awal Zaman Gelap terhadap Eropah. Keadaan ini menyebabkan kemerosotan ekonomi, perpecahan politik, keadaan kurang maju dan penyalahgunaan kuasa oleh para pemimpin. Akibatnya mereka mengamalkan sistem feudal dalam segenap aspek kehidupan.
Sistem ini melahirkan masyarakat kelas atasan dan bawahan sekaligus mewujudkan penindasan dan penafian hak. Agama sama sekali dipisahkan dengan hal-hal lain sekaligus mewujudkan masyarakat yang kacau-bilau. Golongan atasan memeras golongan bawahan bukan sahaja dengan tenaga tetapi juga dengan memperkenalkan dasar ekonomi berteraskan sistem cukai untuk pendapatan mereka. Pengukuhan kuasa dibuat dengan anugerah dan gelaran yang diberikan buat pendokong dan pengikut mereka.
Hinggalah munculnya zaman yang dikenali sebagai Zaman Renaissance pada pertengahan kurun ke 14 hingga pertengahan kurun ke 16 dengan mengutamakan aspek duniawi yang bersifat sekular. Ia bermula di Itali sebelum merebak ke seluruh Eropah. Sungguhpun ia berlaku dari perkembangan intelektual hasil pertembungan budaya Eropah dan peradaban Islam selain menikmati ilmu pengetahuan daripada kajian dan pencapaian intelektual orang Islam. Perkembangan ini bermula apabila ilmu-ilmu yang diperoleh daripada tamadun islam melalui terjemahan, buku, dan juga ciptaan ilmuan islam. Selain itu juga berlaku perkembangan semangat inkuiri dan juga pembiayaan daripada keluarga kaya iaitu keluarga Medici di Itali. Hal ini telah melahirkan masyarakat yang bersifat indivualistik dan mengagungkan pemikiran. Sebaliknya mengenepikan ajaran agama dan inilah rupa wajah baru jahiliyyah.
Manakala agama pula terasing hingga mewujudkan gerakan pembaharuan agama di Zaman Reformation pada kurun ke 16. Kesan dari gerakan ini menyebabkan agama Kristian berpecah kepada dua mazhab; Katolik dan Protestan yang mana gerakan ini dipelopori oleh Martin Luther. Sungguhpun usaha yang dilakukan oleh Martin Luther dianggap murni oleh penganut Kristian kerana mengajak kepada ajaran Bible yang sebenar disamping menentang rasuah dan penyelewengan, namun banyak pihak yang tidak senang dan mengambil kesempatan terutamanya dikalangan pembesar rakyat pada masa itu menggunakannya untuk kepentingan peribadi mereka.
Keadaan ini berterusan sehingga keadaan ekonomi dan politik di Eropah kembali stabil. Maka bermulalah pula gerakan baru jahiliyyah iaitu penjelajahan dan penerokaan untuk kepentingan politik dan ekonomi mereka. Seterusnya mewujudkan matlamat menyebarkan fahaman mereka, menguasai ekonomi dan memperluaskan jajahan. Ini dirumuskan dari maksud mereka ke timur membawa slogan Gospel, Gold dan Glory.
Perebutan tanah jajahan dan dominasi ekonomi kadangkala menyebabkan pertelingkahan dan inilah yang berlaku kepada Portugal dan Sepanyol pada masa itu hingga memerlukan campurtangan Paus Rom pada tahun 1493 yang akhirnya bertindak membahagikan kawasan jajahan mereka kepada timur dan barat. Sedangkan mereka sama-sama merupakan penganut gereja Katolik.
Seterusnya mendorong Belanda, Perancis dan Inggeris menjadi kuasa penjajah juga pada kurun ke 17. Dan persaingan sesama mereka telah meletuskan ‘Perang Plassey’.
Penjajahan kuasa-kuasa di atas juga telah menimbulkan pemberontakan dari penduduk-penduduk tempatan. Lahirlah tokoh-tokoh pejuang seperti Lakan Dula, Dipo Negoro dan ramai lagi.
Pada kurun ke 18 dan 19 berlakunya revolusi dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan pemikiran. Kehadiran revolusi ini kembali membawakan Eropah kepada kemajuan, sayangnya revolusi ‘maju’ ini telah mengembalikan golongan bawahan sebagai hamba. Perlaksanaan dasar ekonomi bebas atau laissez-faire membolehkan majikan melakukan penindasan kepada pekerja. Bukan sahaja tenaga kanak-kanak ‘diperah’ tetapi penindasan terhadap kaum wanita yang bekerja juga berlaku. Penderitaan mereka mewujudkan beberapa siri penentangan yang menyebabkan Parlimen Britain meluluskan Akta Kombinasi 1800 yang melarang para pekerja menubuhkan kesatuan bagi membela nasib mereka. Akta ini menjadi punca berlakunya rusuhan Luddisme yang akhirnya berjaya memansuhkan akta zalim tersebut.
Halangan terhadap hak berpolitik dengan menyekat rakyat yang tidak berharta untuk mempunyai suara dalam Parlimen Britain melahirkan golongan radikal Leveller. Dalam pada masa yang sama kedudukan politik di Britain agak bergoncang apabila wujud krisis antara istana dengan kerajaan. Pada Mei 1628, Parlimen mengambil tindakan mengemukakan Petition of Right kepada Raja Charles I sebagai membantah penggunaan kuasa mutlak. Sungguhpun Raja Charles I meluluskan petisyen tersebut namun baginda enggan menurut syarat-syaratnya yang menyebabkan baginda dihukum bunuh ketika tercetusnya perang saudara di England. Oliver Cromwell yang merampas kuasa telah memerintah secara diktator.
Tidak ada manusia yang suka kepada penindasan dan kezaliman menyebabkan kembalinya pemerintahan beraja di England, namun begitu Raja James II yang menaiki takhta selepas Raja Charles II telah menunjukkan sikap ‘gila kuasa’ dengan mengenepikan Parlimen dalam pemerintahannya. Pergeseran tersebut berakhir dengan tercetusnya Revolusi Inggeris 1688 yang mewujudkan sistem raja berpelembagaan.
Kebangkitan rakyat Amerika memperjuangkan hak dan keadilan telah mencetuskan Perang Kemerdekaan Amerika pada tahun 1776. Dalam siri-siri penentangan juga telah berlaku beberapa peristiwa penting, antara yang paling terkenal peristiwa Jamuan Teh Boston. Peperangan yang berlangsung hampir 8 tahun itu berakhir dengan kemerdekaan ‘Amerika Syarikat’.
Di Perancis, kezaliman rejim pemerintah yang berkuasa mutlak termasuk memenjarakan tahanan politik telah mencetuskan kebangkitan rakyat. Peristiwa kejatuhan bangunan Bastille pada 14 Julai 1789 menjadi peristiwa bersejarah dengan peringatan sebagai Hari Kebangsaan Perancis setiap 14 Julai.
Sikap rakus dan tamak manusia menyebabkan Perancis juga pernah mengalami zaman pemerintahan diktator yang ganas. Pemerintahan ganas yang diketuai oleh Maximilien Robespierre menyaksikan kekejaman sehingga terbunuhnya lebih 40,000 rakyat Perancis dan mereka sering disabitkan salah walaupun tanpa bukti yang sah. Kegilaan ‘gerak’ yang dibuat oleh Robespierre juga menatijahkan Raja Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette dipancung mati menggunakan gilotin.
Robespierre akhirnya berjaya dibunuh pada Julai 1794 dan pada tahun 1799 Perancis kembali stabil di bawah Napoleon Bonaparte. Walaupun Napoleon memerintah secara autokratik tetapi beliau mengadakan pungutan suara di kalangan rakyat. Kerana rakyat lebih merestui kedudukannya berbanding raja-raja menyebabkan beliau tidak disenangi sehinggalah beliau dibuang negeri ke Pulau St. Helena setelah tewas dalam Perang Waterloo oleh Duke of Wellington yang memimpin tentera Inggeris pada tahun 1815. Beliau dikatakan mati dalam buangan dengan siksaan halus selama 6 tahun menggunakan arsenik yang disapu pada dinding penjaranya.
Revolusi yang merebak diseluruh Eropah melahirkan ideologi liberalisme yang merupakan fahaman politik yang mementingkan kebebasan individu, keunggulan Parlimen dan demokrasi. Liberalisme mulai terhakis setelah golongan pekerja yang mendokongnya tertarik kepada ideologi sosialis yang dikatakan lebih membela mereka. Perasaan tidak puas hati dikalangan pendukung ideologi-ideologi masa itu menyebabkan satu-persatu ideologi ini runtuh hinggalah digantikan oleh Nasionalisme.
Nasionalisme yang bersifat fahaman kebangsaan merupakan warisan jahiliyyah yang menjadi salah satu cabang assabiyyah. Dan sebagaimana runtuhnya assabiyyah di zaman Rasulullah S.A.W, maka begitu jugalah gagalnya nasionalisme sebagaimana berlaku di Jerman, Austria, Itali dan beberapa negara lain. Harus difahami bahawa golongan ini sanggup mengambil apa sahaja tindakan demi mencapai matlamat mereka. Sesuailah sifat mereka sebagaimana yang pernah disabda Rasulullah S.A.W ketika ditanya oleh Wailah bin Asqah mengenai assabiyyah:
“Bahawa engkau menolong kaummu di dalam kezaliman.”
Selepas runtuhnya fahaman-fahaman tadi maka muncullah fahaman yang lebih merosakkan. Bermula dengan falsafah realpolitik atau Machiavellian dengan amalan politik secara kekerasan dan tipu helah, keadaan di kurun ke 19 itu diwarnai dengan darah dan peperangan sebagaimana yang berlaku di Jerman yang dipelopori oleh Otto Von Bismark. Keadaan lebih parah dengan wujudnya sikap perebutan kuasa yang saling menjatuhkan antara satu dengan yang lain. Disinilah bermulanya asas Perang Dunia Pertama dan pembentukan kerajaan diktor Adolf Hitler pada tahun 1933.
Dengan tujuan membezakan diri dari sosialis, Karl Marx telah memperkenalkan ideologi Komunisme di Rusia. Setelah itu keadaan politik Rusia menjadi kacau bilau dengan banyaknya usaha perebutan kuasa hingga mewujudkan dasar parti tunggal yang memerintah secara diktator oleh Lenin pada tahun 1921. Dalam usaha mempertahankan pemerintahannya, Lenin sanggup terlibat dalam perang saudara dan peperangan dengan kuasa luar. Joseph Stalin yang menggantikan Lenin selepas kematiannya telah meneruskan pemerintahan bercorak diktator tetapi dengan lebih keras. Berjuta-juta rakyat mati semasa pemerintahannya yang berakhir pada tahun 1953.