Wednesday, November 13, 2013

Ulasan Artikel "Perkembangan Pensejarahan Islam Di Alam Melayu"

Alhamdulillah… dalam usaha untuk memahami perkembangan islam di alam melayu,terdapat  beberapa artikel dan penulisan yang agak menarik untuk dibaca antaranya ialah artikel yang ditulis oleh Dr Arba’iyah Mohd Noor yang bertajuk “Perkembangan Pensejarahan Islam Di Alam Melayu”.  Antara tujuan utama artikel ini ditulis menurut Arba’iyah ialah untuk memperkenal perkembangan pensejarahan Islam di Alam Melayu. Pengkisahan mengenai perkembangan pensejarahan Islam ini akan dimulai dengan perkembangan Islam di rantau ini pada abad ke tujuh Masihi. Perkembangan yang paling mendasar adalah peranan al-Quran dan sebahagian pensejarahan Islam yang telah memberikan inspirasi dan kesedaran kepada orang Melayu mengenai kefahaman mereka tentang sejarah Islam. Secara keseluruhannya artikel ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pengenalan, perkembangan islam di rantau alam melayu, pengajian sejarah dan tulisan jawi, karya pensejarahan islam dan pengaruhnya serta kesimpulan.
                Daripada bahagian pengenalan kepada artikel ini, arba’iyah menyatakan bahawa pensejarahan islam pada awalnya diperkenalkan kepada masyarakat melayu melalui kisah-kisah yang terdapat dalam kitab Al-Quran yang boleh menjadi pedoman dan pengajaran kepada orang melayu yang ketika itu masih mentah dan baru memeluk agama islam. Untuk menguatkan lagi pensejarahan islam dalam kalangan orang melayu, karya pensejarahan islam yang lain telah dibawa dan diceritakan kepada masyarakat melayu contohnya kisah kepahlawanan sahabat Rasulullah S.A.W dan lain-lain.
                Melalui bahagian perkembangan islam di rantau alam melayu pula, artikel ini mengulas mengenai sejarah kedatangan islam di alam melayu melalui beberapa teori yang telah dikemukakan oleh sejarawan dan orientalis. Antara teori tersebut ialah kedatangan islam yang telah disebarkan oleh pedagang arab. Perkara ini telah dikaji oleh Hamka melalui pendapat yang dikemukakan oleh T.W Arnold dan sumber catatan daripada China. Hal ini juga disepakati oleh syed Naquib al-Attas berdasarkan pengaruh kesusasteraan daripada arab dan parsi. Melalui bukti batu nisan pula, ada pendapat yang menyatakan islam telah disebarkan oleh pedagang daripada gujerat, Malabar dan koromandel. Hal ini berikutan bentuk batu nisan yang ditemui tersebut menyerupai batu nisan di kawasan Gujarat, Malabar dan koromandel. Teori ini telah disokong oleh beberapa sejarawan dan orientalis daripada barat seperti Pijnappel, Snouck Hurgrenje, Moquette, Morrison, Winstedt, Schrieke dan sebagainya.
Selain itu, artikel ini telah mengulas beberapa peringkat dakwah dan islamisasi yang telah dilakukan oleh pedangang dan juga golongan ulama contohnya mengajar agama di istana, mempelajari bahasa tempatan dan juga berkahwin dengan penduduk tempatan. Selain itu karisma dan perwatakan pedagang dan ulama yang beragama islam juga menarik minat raja-raja untuk mendapatkan nasihat bahkan mereka juga telah dilantik sebagai ulama dan juga penasihat kepada raja.

Sumber : Arba’iyah Mohd Noor,  Perkembangan Pensejarahan Islam Di Alam Melayu.
Diulas oleh : akhi azam, 13.11.2013

No comments:

Post a Comment