Wednesday, November 20, 2013

Anak Melayu Merdeka...

1.0  Pengenalan.
            Dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air, lahir beberapa tokoh yang terkenal yang datang dari pelbagai aliran. Antara golongan tersebut ialah daripada golongan berhaluan kanan, golongan berhaluan kiri, golongan islamis dan juga komunis.  Golongan kanan ini ialah golongan yang berorientasikan kebaratan, bersifat pro-establishment serta mereka juga kadang-kadan bersifat konservatif dan juga reaksioner.Golongan ini juga lebih dikenali sebagai elit melayu dan mereka juga digelar sebagai golongan moderate yang mudah berbicara dan berurusan dengan British. Golongan seterusnya ialah golongan yang berhaluan kiri yang lebih bersikap radikal dan politik mereka juga politik oposisi. Menurut Khoo Kay Kim, dalam kalangan satu-satu kumpulan kiri terdapat variasi yang jelas antara kecenderungan mereka yang terlibat  termasuk dalam kalangan PKMM seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy yang lebih berpendirian Islam, Ahmad Boestamam yang berjiwa militan dengan gagasan merdeka dengan darah serta Ishak Haji Mohamad yang lebih dekat kepada tradisi politik-perlembagaan British. Persamaan dalam kalangan mereka ialah masing-masing ingin menuntut kemerdekaan dan nasib bangsa Melayu. Dr Burhanuddin Al Helmy, juga tidak terkecuali dalam perjuangan ini.

2.0 Latar Belakang Burhanuddin Al Helmi.
            Dr. burhanuddin Al Helmy atau nama sebenarnya Burhanuddin Mohd Noor merupakan seorang tokoh politik yang istimewa dalam kepimpinan politik beliau. Hal ini demikian kerana setiap parti mestilah mempunyai pengasasnya tersendiri dan memimpin parti tersebut, akan tetapi Dr Burhanuddin al Helmy tidak pernah mengasaskan apa-apa parti politik tetapi beliau telah dijemput untuk menerajui pimpinan parti politik tersebut. Antara parti politik yang menjemput beliau untuk peneraju ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). Hal in demikian kerana pada dekad itu, beliau merupakan pemimpin Grass- Root yang dianggap berkarisma dan sangat terkenal.

2.1 Latar belakang Keluarga.
            Dr Burhanuddn telah dilahirkan di Kampung Changkat Tualang, Kota Bahru, Perak pada akhir tahun 1911. Ayah beliau merupakan seorang petani dan ahli tasauf yang berasal dari Minangkabau, Sumatera. Ibunya, Syarifah Zahrah Bt Habib Osman adalah darah campuran Melayu-India Islam yang dipandang tinggi oleh masyarakat setempat.

2.2 Latar Belakang Pendidikan.
 Dalam aspek pendidikan pula beliau mendapat pendidikan awal di peringkat rendah dan pendidikan agama di peringkat menegah di Padang Panjang , Sumatra. Selain itu beliau juga pernah menuntut di Sekolah Pondok Pulau Pisang, di Kedah dan seterusnya meneruskan menuntut ilmu di Madrasah Al-Mashhur , Pulau Pinang sebelum melanjutkan pelajaran di Ismaeliah Medical College, New Delhi dan Aligarh Muslim Universiti, India. Beliau merupakan satu-satunya tokoh politik melayu Muslim sebelum merdeka yang pernah mendapat pendidikan begitu tinggi.

2.3 Sikap dan keperibadian.
Nama Al –Helmi atau asalnya Al Hulaimi yang bermakna orang yang tidak pemarah menggambarkan sifat beliau yang tidak mudah marah.Selain itu menurut Ahmad Boestaman dalam bukunya “Dr Buhanuddin : Putera Melayu Raya” menyebut bahawa Dr Burhanuddin seorang yang lurus dan jujur. Akan tetapi menurut boestamam, kejujuran yang ada pada Dr Burhanuddin juga mendatangkan kelemahan kepada beliau. Antara kelemahan yang dinyatakan oleh Boestamam ialah Dr Burhanuddin mudah menerima keahlian PKMM tanpa menyiasat latar belakang individu tersebut. Menurutnya, hal ini telah menyebabkan terdapat musang berbulu ayam dalam PKMM malahan terdapat juga cawangan khas di dalam PKMM. Melalui mereka inilah maklumat dan rahsia terlepas ke tangan orang lain. Selain itu , menurut Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin juga seorang yang mudah didampingi oleh sesiapa sahaja malah beliau juga mudah mendampingi orang lain. Beliau juga tidak menghampakan orang yang menghampakannya. 

3.0 Idealisme perjuangan.
3.1 Perjuangan kemerdekaan.
            Dalam idealism dan perjuangan Dr Burhanuddin Al Helmy, beliau meletakkan perjuangan Islam di tempat yang teratas akan tetapi untuk menegakkan islam rakyat perlu membebaskan diri daripada penjajahan. Beliau telah menulis dalam tulisannya yang bertajuk Agama dan Politik, Dr burhanuddin menyatakan bahawa untuk menegakkan Islam rakyat perlu membebaskan diri mereka daripada belenggu penjajahan dan menubuhkan negara yang berdaulat. Kata beliau:
            “bagaimanakah kita dapat memulihkan kesakitan dan penderitaan bangsa kita? Dan bagaimanakah kita akan mengembalikan agama kita, hingga agama dapat berjalan menurut dikehendaki ALLAH , jika kita belum bebas merdeka dan berdaulat. Tentu tidak boleh, melainkan sudah bebas dan berdaulat”
            Persoalan yang ditimbulkan oleh Dr burhanuddin ini merupakan teras perbincangan dalam buku Agama dan Politik . Selain itu Dr Burhanuddin juga menegaskan , selagi kuasa pemerintahan ini terletak dalam kuasa penjajah maka kita sendiri tidak dapat mengatur negara. Hanya dengan kemerdekaan negara ini dapat diatur dengan sendiri oleh rakyatnya dan cara mengatur negara ini mestilah dengan Islam.


3.2 Ideologi politik Islam.
            Selain daripada perjuangan kemerdekaan, Dr Burhanuddin juga memperjuangkan politik yang berlandaskan Islam. Hal ini demikian terbukti melalui ucapan beliau yang bertajuk Ideologi Politik Islam yang mengajak orang melayu supaya kembali kepada politik yang bercorak islam dan meninggalkan politik acuan barat. Dalam ucapan tersebut beliau menegaskan:-
            “kita perlu balik kepada al quran dan as sunnah yang nyata dan tegas menunjukkan bahawa islam tidak boleh berpisah dan dipisahkan oleh politik kerana islam menghubungkan hamba dengan tuhan dan menghubung hamba dengan hamba. Islam mengubah bentuk dan dasar pemerintah dan masyarakat bermula dari masyarakat lantas ke masyarakat internasional. Ini jelas kelihatan perjalanannya dalam sejarah umat islam dan perjuangan ini akan terus berjalan hingga ke hari akhirat”

3.3 Perjuangan Kebangsaan.
            Selain daripada perjuangan menegakkan negara Islam, perjuangan kebangsaan juga menjadi prinsip dan ideologi Dr Burhanuddin Al Helmy. Walaupun beliau telah bertukar tukar persatuan, akan tetapi prinsip tersebut masih diperjuangkan oleh beliau. Perjuangan Dr Burhanuddin memperjuangkan kebangsaan Melayu bermula apabila beliau menyertai KMM. Beliau telah diperkenalkan dengan persatuan ini melalui Mustapha Hussein , yang pada ketika itu merupakan naib presiden KMM di Singapura. Pada awal pergerakannya dalam KMM beliau tidaklah bergerak aktif seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestaman dan Sutan Djenain yang kemudiannya telah ditahan oleh British. Setelah lama bergiat dalam KMM beliau kemudiannya bersama dengan Ibrahim Yaakob , Onan Siraj dan beberapa pemimpin KMM telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung dan telah membuat rundingan bersama dengan Soekarno dan Hatta pada 15 dan 16 ogos di Taiping  untuk membawa Tanah Melayu merdeka bersama dengan Indonesia dan hal ini telah dijanjikan oleh pihak Jepun. Akan tetapi usaha ini gagal apabila Jepun telah menyerah secara mendadak pada ogos 1945. Antara ucapan beliau yang bersifat semangat kebangsaan ialah
            Walaupun usaha tersebut menemui kegagalan, perjuangan pelitik beliau diteruskan dengan menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Di bawah pimpinan beliau, Dr Burhanuddin menegaskan edentiti PKMM sebagai parti yang perjuangannya bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan untuk penduduk Semenanjung Tanah Melayu.
            Semasa beliau menyertai Partai Rakyat, dalam pidato beliau di Kongres Partai Rakyat pada tahun 1955 beliau telah menegaskan prinsip beliau tersebut antara ucapan beliau ialah:-
            “..tetapi kita dengan perjuangan kebangsaan ,ada mempunyai ideologi sendiri dan dengan perjuangan kita yang terkenal sebagai yang tertulis dalam buku peringatan kita yang bernama “ PERJUANGAN KITA” maka kita memilih jalan yang sederhana dan di tengah-tengah , yang say sebutkan selalu dengan kebangsaan yang bulat. Kita menentang penjajahan tetapi tidak pula pro-komunis. Kita mahu balik hak keadilan tanah air kita yang berdaulat, sebagaimana kita belum dipengaruhi dan dijajah dahulu.”
            Selain itu antara bukti yang menunjukan ideologi dan semangat kebangsaan kuat yang ada dalam diri Dr Burhanuddin ialah apabila mengekalkan prinsip kebangsaan melayu tersebut apabila beliau menyertai PAS. Melalui ucapan beliau, beliau berkata :-
i-                    Kebangsaan negeri ini mestilah melayu.
ii-                  Mestilah diakui bahawa bangsa melayu adalah tuan punya negeri ini.
iii-                Untuk membina satu bahasa, satu negara, dan satu bangsa yang teguh hanya diakui bahasa melayu sahaja jadi bahasa resmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal di negeri ini.
iv-                Islam menjadi agama resmi dalam erti kata yang betul pada ajaran –ajaran al-Quran dan sunnah nubuwwah.
v-                  Menentang dasar Jus Soli (yang memberikan kerakyatan kepada sesiapa sahaja yang dilahirkan di negara ini) diberikan kepada orang yang bukan bumiputra negeri ini, dan orang-orang yang bukan Melayu yang hendak menjadi rakyat negeri ini hendaklah dengan permintaan yang diluluskan oleh undang-undang yang mengawal keselamatan wujudnya bangsa Melayu dan dicurahkan dengan orang-orang dagang ke negeri ini oleh “open door policy.
            Selain itu, beberapa tokoh politik aliran kiri seperti Ahmad Boestamam juga sangat mengagumi semangat kebangsaan yang dimiliki oleh Dr Burhanuddin Al Helmy. Antara kenyataan daripada Ahmad Boestamam yang dijelaskan dalam buku beliau seperti:-
“..Di atas segala-galanya mendiang Dr Burhanuddin Al Helmy adalah seorang Patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran maka gelaran yang tepat , layak sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu…dan mendiang Dr Burhanuddin , sejak mula berjuang lagi sehinggalah kepada saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir masih tetap mengingin ‘ bangsa negara’ itu dinamakan “ Melayu” .
            Selain itu,dalam Falsafah Kebangsaan Melayu, beliau juga sentiasa mencuba menyelaraskan fahaman kebangsaan dengan kehendak kehendak islam. Contohnya beliau menyatakan
“ Islam memandang kebangsaan itu suatu alat bukan tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan bulat sebagai suatu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu bahagian tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan tetapi hanya satu alat atau tunggangan yang menyampaikan ke akhirat.”
Melalui ucapan-ucapan dan juga kenyataan Dr Burhanuddin Al Helmy , pada setiap pertubuhan yang disertai beliau dapat disimpulkan walaupun beliau betukar-tukar pertubuhan akan tetapi semangat kebangsaan dan prinsip kemelayuan beliau tetap tidak berubah.

4.0 Sumbangan.
            Burhanuddin Al Helmy juga banyak memberi sumbangan kepada masyarakat dan juga orang melayu khususnya. Sumbangan beliau seperti tulisan dan juga buah fikiran beliau yang menjadi rujukan masyarakat ketika itu. Beliau seorang yang doktor yang progresif, berfikiran terbuka serta seorang pemimpin yang pragmatik.

4.1 Tulisan.
            Selain daripada pejuang kemerdekaan dan ahli politik, beliau juga aktif dalam bidang penulisan. Tulisan-tulisan beliau kebanyakannya mengenai perjuangan kemerdekaan dan juga perkara yang berkaitan dengan semangat kebangsaan melayu. Antara karya dan tulisan beliau ialah “Falsafah Kebangsaan Melayu” yang ditulis oleh beliau pada tahun 1954. Tulisan beliau ini menjadi panduan kepada bangsa melayu supaya tidak melupakan asal usul dan jati diri mereka sebagai orang melayu. Hal ini demikian boleh dinilai melalui tulisan beliau tersebut. Selain itu berdasarkan penilaian tulisan beliau tersebut, “ Falsafah Kebangsaan Melayu” ini juga menekankan kepentingan semangat untuk memerdekakan diri dan negara dari belenggu penjajahan.  Selain itu beliau juga telah menulis satu buku nipis yang diberi nama Sejarah Perjuangan Kita yang bertujuan supaya ia akan dapat menimbulkan rasa keyakinan dan kepercayaan yang teguh yang akan menjadi asas dan dasar kita memperjuangkan cita-cita menuju matlamatnya iaitu merdeka atau dalam erti kata sebenarnya ialah kemerdekaan bangsa, agama dan tanah air.
            Selain daripada tulisan mengenai Kebangsaan Melayu, Dr Burhanuddin Al-Helmy juga menulis mengenai kesedaran umat Islam mengenai agama Islam dan juga politik melalui tulisannya yang bertajuk “Agama Dan Politik”. Dalam tulisan ini beliau berusaha untuk menyedarkan masyarakat melayu mengenai kepentingan politik Islam contohnya beliau menulis:-
“politik berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama”
            Dalam Politik Dan Islam juga Dr Burhanuddin mengajak masyarakat Islam pada masa itu supaya berjuang memerdekakakan negara ini supaya rakyat di negara ini boleh memerintah dengan pemerintahan yang bercorak islam. Melalui tulisan, Dr Burhanuddin telah membuka minda masyarakat mengenai politik dan juga sejarah bangsa Melayu sekaligus telah menyumbang kepada perkembangan politik di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

4.2 Kepimpinan.
            Dr Burhanuddin Al Helmi merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam menyumbang tenaga dan pemikiran beliau dalam memimpin beberapa pertubuhan di Tanah Melayu. Sumbangan kepimpinan beliau teserlah apabila beliau menyertai beberapa pertubuhan politik di Malaya. Antara pertubuhan awal yang disertai oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy ialah Kesatuan Melayu Muda. Kesatuan Melayu Muda (KMM) didirikan pada Mei 1937 dan pada awalnya persatuan ini digelar Persatuan Belia Melayu (Malay Youth League) lalu ditukar menjadi Kesatua Melayu Muda dengan mencontohi Kesatuan Turki Muda yang terkenal dalam kalangan orang Melayu ketika itu. Antara pemimpin KMM ketika itu ialah Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein. Setelah itu KMM dibubarkan dan tidak dapat bertahan lama kerana beberapa pemimpin terajunya telah ditangkap oleh Jepun.
            Setelah itu beberapa bekas ahli KMM dan PKM telah menubuhkan PKMM iaitu Partai Kebangsaan Melayu Malaya. Dari aspek kepimpinan PKMM, Burhanuddin Al- Helmy telah mememegang tampuk kepimpinan PKMM dengan menyandang jawatan sebagai Yang Dipetua Agung setelah mengambil alih daripada Motharuddin Lasso yang telah menghilangkan diri. Menurut Ahmad Boestaman dalam bukunya Burhanuddin Al Helmy : Putera Melayu Raya dengan kepimpinan baru inilah PKMM mencapai kekuatan demi kekuatan. Anggotanya semakin bertambah dari sehari  ke sehari dan demikian juga dengan ranting-rantingnya di seluruh negara.  
            Selain daripada PKMM, Dr Burhanuddin Al-Helmy juga terlibat dalam kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia atau PAS. Dr Burhanuddin dilamar PAS secara rasminya pada persidangan Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Ipoh, pada 10 November 1956. Dr Burhanuddin memimpin Pas dalam usia yang agak matang iaitu 16 tahun. Beliau memegang jawatan tersebut seperti yang dirancangkan dalam mesyuarat agung PAS kelima di Kelab Sultan Sulaiman pada 25 disember 1956. Antara jasa beliau ketika memimpis PAS ialah, PAS telah berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihanraya Persekutuan pada tahun 1959. Pas telah memenangi 13 kerusi parlimen dan 42 kerusi negeri.

5.0  Cabaran Dan Tribulasi.
            Sebagai tokoh yang unggul, cabaran dan tribulasi merupakan satu perkara biasa bagi mereka. Hal ini juga tidak terkecuali dengan Dr Burhanuddin Al-Helmy.  Pada bulan Januari 1965, beliau telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana telah dituduh terlibat dalam komplot menentang kerajaan Malaysia. Beliau  bersama beberapa anggota pembangkanyang lain seperti Dato’ Raja Abu Hanifah (PAS), Aziz Ishak dan Ishak Haji Muhammad (Parti Buruh), dan Nazar Nong (Parti Rakyat Malaysia) dikatakan telah terlibat dalam usaha untuk menubuhkan National Front bagi membantu Indonesia dan dikatakan juga terlibat dalam membantu Indonesia dan dikatakan juga terlibat dalam pembentukan kerajaan buangan di Indonesia. Segala tuduhan ini dimuatkan dalam Kertas Putih Kerajaan yang bertajuk A Plot is Exposed. Semasa belia berpindah ke Singapura, Burhanuddin Al –Helmy juga pernah ditangkap apabila berliau terlibat dengan rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950 dan kemudian beliau telah dibebaskan setelah setahun dalam tahanan.  Begitulah cabaran dan dugaan yang telah ditempuh oleh beliau sepanjang bergelar nasionalisme.

6.0 Kesimpulan.
            Berdasarkan daripada isi yang dinyatakan, jelas bahawa Dr Burhanuddin Al Helmy seorang pemimpin Melayu yang jelas pada fikrah dan kefahamannya mengenai kepentingan agama dan bangsa yang perlu dinaikkan untuk memerintah sebuah negara . Walaupun penyertaan beliau dalam beberapa parti politik dan pertubuhan seolah-olah dilihat beliau tidak mempunyai prinsip akan tetapi jika diteliti dari sudut pendirian beliau, beliau sentiasa teguh kepada beberapa prinsip tetentu iaitu Islam, kemerdekaan tanah melayu dan juga kebangsaan melayu. Ketiga-tiga prinsip ini jelas dalam ucapan dan tindakan beliau walau di platform mana beliau berada. Begitulah prinsip tokoh bernama Burhanuddin Al-Helmy sehinggakan Ahmad Boestamam menggelar beliau dengan gelaran “Putera Setia Melayu Raya”.

ditulis oleh : akhi azam
sebarang peniruan dan plagiat hanya akan merugikan anda # harap maklum.


Rujukan.
Mohd Rosdi Bin Nik Ahmad, Ilmuan Nusantara: Mutiara Ilmu Tanah Serumpun,  Batu Caves : PTS Islamika, 2011.
Roslan Saadon, Gagasan Nasianalisme Melayu Raya : Pertumbuhan dan Perkembangan, Shah Alam : Karisma Publication, 2009.
Ramlah Adam, Burhanuddin Al-Helmy, Suatu Kemelut Politik, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin al Helmy : Putera Setia Melayu Raya , Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Kejora, 1972.
Faridah Abdul Rasyid, Biography Of The Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya And Singapore, Bloominton : Xlibris Corporation, 2012.
Ismail Said, Dr Burhanuddin Al-Helmi: Pejuang Melayu Sejati, Shah Alam : Karisma Publication Sdn Bhd,2008.
Kamaruddin Jaffar, Dr Burhanuddin Al Helmy: Pemikiran Dan Perjuangan, Kuala lumpur: IKDAS SDN BHD, 2000.
Saliha Hassan Adli, Dr Burhanuddin Al Helmi  1911-1969, Abdullah Zakaria dan Adnan Nawang, Biografi tokoh Pilihan Malaysia, Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya, 1997.
Dr Ramlah Adam ,Titian Siri Kertas Kerja Akademi Pengajian Melayu Bil 2 : Dr Burhanuddin Al-Helmy: Kajian Mengenai Kegiatannya Dalam PKMM 1946-1948, Kuala Lumpur : Akademi Pengajian Melayu , 1993.
Muhammad Abu Bakar, Potret Masa , Jilid Satu, Persaingan Ideologi Dan Pemulihan Tradisi, Petaling Jaya: Gateway Publishing House Sdn Bhd, 1994.

No comments:

Post a Comment