Wednesday, December 30, 2015

Ibarat sebiji kek resipi rahsia

Saat aku menulis ini sebenarnya aku sedang melepaskan  segunung emosi yang ditujahkan ke papan kekunci  computer. Saat ini juga metacarpals dan phalanges diikat erat oleh intrinsic muscle, lumbrical dan interossei tanda kegeraman yang terpendam di dalam hati. Bahasa penulisan aku juga bertukar daripada melankolik kepada kegeraman.

Dah la..aku nak tukar gaya penulisan. Nak jugak tulis gaya hipster.
Marah sebab apa?

Petang tadi aku berjalan seseorang di Parade, tiba-tiba ternampak la sorang budak ni, rasanya macam kenal. Oh…memang  kenal…budak kelas  2 ###$%% . Dengan siapa pulak dia pegang tangan tu?? Hmm. Nak sangka baik abang dia tapi…aku jalan dengan adik aku pun tak pernah pegang tangan. Aku rasa boyfren dia kot. Sah la tu.

Budak-budak…meh sini aku nak bagitau.
Korang rasa relationship tu kekal ka?
Sampai ke jinjang pelamin ka?
Yang paling penting sekali halal ka?

Serius aku bagitau kat korang, berdasarkan pengalaman aku dengan kawan-kawan macam tu., depa tak kan kekal lama yang ada pun mungkin 5/100 kot. Pasal henfon boleh break, pasal kerja sekolah boleh break dan macam-macam lagi la. Yang lelaki hanya nak ambil kesempatan je…yang perempuan pulak sebab dengki kawan lain ada boyfren.. Poin aku bukan pasal punca break ni.

Adeii…..mat rempit ni bising-bising pulak kat tepi jalan ni…ganggu aku nak menulis je.!!! Shuhhh…main jauh-jauh!!!

Ok sambung pasal poin tadi…

Korang rasa halal tak hubungan yang pegang-pegang tangan, duduk rapat-rapat. Mestilah tak halal bro and sis!! Allah tak redha hubungan macam tu.
Lagi satu..agak-agak korang rasa, bakal suami/isteri korang nanti, bila korang dah cukup matang dan dah kahwin, redha tak isteri/suami dia dah disentuh dibelai oleh orang lain???
Confirmlah tak redha!!!! Aku berani potong kuku la !!!!

Meh sini aku nak bagi analogi/metafora/meteora ehh…tu lagu linkin park..haha..
Analogi sebenarnya macam ni.

Korang seperti sebiji kek rahsia resipi. Asalnya cantik mulus, berkrim dan berhiasi. Tiba-tiba ada orang ramas, kacau, gaul dengan tangan dia..dah la tak basuh tangan!!! Haisshhhh.
Lepas tu korang/kek tadi nak dijamu kepada orang VVVVVVIP dalam dunia ni. Agak-agak VVVVVIP  tu nak makan tak kek tadi…dah la Nampak kena ramas,gaul dengan tangan kotor tu.
Konfirmlah tak mau makan.!!!! Aku berani gunting rambut aku bila dah panjang sikit!!!!!
Tetapi..*bayangkan aku cakap dengan nada yang menusuk kalbu *

Jika kek tadi cantik, mulus, suci…aku gerenti VVVVIP dalam dunia ni AKA bakal pasangan korang nanti akan lebih bertuah dan menghargai korang sepenuh hatinya. *harap dia pun sama macam korang* yakinlah lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik.

Huh…

Weii…aku nasihat ni bukan nak suruh korang baca…aku pun tulis bukan nk suruh korang baca. Kalau dah terbaca dan sentap…aku harap Korang berubah la.  Dapat sikit pahala kat aku. Aku saja tulis nak lepas geram je. Sebab tempat ni ibarat luahan hati aku sejak dari dulu lagi. Aku pun nak kata baik macam malaikat pun idak jugak. Kita sama je…manusia biasa..ada dosa da nada pahala. Zaman sekolah dulu tanyalah apa band underground yang aku tau, tanyalah band inggeris yang aku dengar muziknya…oasis, nirvana, coldplay, the killers, keane…banyak lagi la…korang apa tau!!!

Tapi Alhamdulillah walau rocker dan underground aku masa dulu…ALLAH masih jaga hati ini untuk bakal zaujah*aku pun tak tau sapa*  sampai sekarang….insyaallah..**sekarang tak rocker dah***

Ehh…kenapa lagu Keane-everybody s changing kat laptop ni tiba-tiba hang pulak.


Aku dah meluahkan poin-poin aku kat atas tu. Hari ni bahasa tulisan aku macam pasar ikan. Sebab geram punya pasal. Aku tak suka menulis bahasa ni tapi kadang-kadang tertulis jugak.
***woi…nak naik motor pi la dalam mimpi…jangan memekak kat tepi rumah aku ni!!!!!!

Yang benar dan berazam = Azam hafizi

Thursday, December 10, 2015

Sedarlah wahai diri, engkau sentiasa dekat dengan kematian.

Entah kenapa hari ini aku merasa sangat-sangat hiba. Hari ini aku telah menziarahi kematian ayah sahabatku. Aku mengenali ayahnya seorang yang sangat baik dan aku bersedih atas pemergiannya. Akan tetapi rasa hibaku bukanlah disebabkan kesedihan itu. Aku merasakan diriku ini sangat-sangat dan sangat dekat dengan kematian dan hakikat kematian itu memanglah sangat dekat kepada manusia cuma bila waktunya dan di mana tempatnya itu adalah rahsia ALLAH.

Sepanjang perjalanan daripada Teluk Intan ke Ipoh aku rasakan pipi dan bajuku basah dengan lelehan air mata. Bacaan surah ali imran daripada Syeikh Misyari di radio yang agak sayu menambah lagi tusukan-tusukan kesedihan dan penyesalan di dalam hati. Aku terbayang jika ALLAH mencabut nyawaku pada saat ini, adalah aku bersedia dengan alam kubur yang bersendirian itu, adakah aku cukup kuat untuk menjawab soalan-soalan malaikat di alam kubur nanti dan adakah amalan aku cukup untuk mencium bau-bauan syurga di akhirat nanti. Adakah aku mampu untuk mendapat nikmat syurga  yang banyak dinyatakan dalam al-quran seperti dalam surah an-naba ayat 31-36, surah al mutaffifin ayat 18-26.  Ya ALLAH aku sangat takut dengan azab nerakaMu, aku sangat takut dengan percikan-percikan api yang bahan bakarnya adalah orang-orang kafir, aku sangat takut dengan makanan ahli neraka iaitu buah yang berduri, aku takut aku dicampak dalam keadaan yang terhina di akhirat kelak. Aku teringat dengan ingatan dan amaran yang telah diberi oleh ALLAH dalam surah al Ghaasyiah ayat 1 hingga 7.

 Sebenarnya Allah telah mengujiku dengan saat-saat berdepan dengan kematian. Aku teringat ketika pulang daripada kuliah Dr Zulkifli al bakri di Slim River. Aku pulang ke UPSI bersendirian dalam lingkungan pukul 10 malam. Pada malam itu aku begitu rindu dengan mak dan abah lalu aku menghidupkan motor jam 11 malam untuk pulang ke kampung yang memakan masa 3 jam perjalanan. Tiba di selekoh tajam dan gelap berhampiran SMKA Slim River motor aku dilanggar dengan ganas oleh sebuah treler dari belakang. Aku terpelanting dan terseret hampir 10 meter di atas tar. Aku bernasib baik tidak disedut oleh tayar treler tersebut.  Setelah terseret di jalan tar yang gelap aku terpandang bias-bias cahaya di cermin topi keledarku, sebuah lori yang datang dari belakang hampir hampir melanggarku yang sedang terbaring kelenguhan dan kebingungan di atas tar itu. Kurasakan tayar lori itu hampir beberapa inci dengan badanku. Allah…Allah….andai ini saatnya maka aku serta merta mengucap tiada tuhan melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad itu pensuruh ALLAH. Tubuhku menggigil dan hatiku sangat-sangat kosong pada ketika itu hanya terbayang kematian sahaja. Tersedar dari lamunan aku terus bingkas bangun ke tepi jalan. Aku terduduk sayu dan seluruh otot dan sendiku kebas kerana jatuhan dan seretan ganas di atas tar tadi. Allah…begitu hampir aku dengan kematian. Saat itu juga ada insan yang baik hati sudi menumpangkan aku ke Tanjung Malim.

Malam itu sungguh sayu, aku mengeti ALLAH masih lagi memberi peluang untuk diri memperbaiki diri sebelum amal dan amalanku terputus. Tangisan penyesalan pada malam itu aku sendukan di tikar sejadah. Mak dan Abah pada ketika itu masih tidak tahu lagi kemalangan tersebut, esoknya baru aku memberitahu mereka.


Ya ..Allah jadikanlah saat nafas terakhirku ketika aku berjuang menegakkan agamamu, saat aku berjuang supaya diriku dan umatmu menegakkan syiar agama ini.  

Friday, December 4, 2015

Chasing the years of my life


Seperti yang sering aku kata, aku ingatkan kepada murid-murid, bahawa pengalaman lampau, walau sekerdil dan seremeh mana pun, kadang-kadang ia memberi makna  yang cukup mendalam untuk difikir dan dijadikan ilham serta pengajaran supaya kita dapat mengorak langkah dalam perjalanan kehidupan ini. Pengalaman ini jika digaul dengan ramuan dan perisa kehidupan ia mampu menjadi opus magnum kepada diri ini. Bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri ini, kerana aku tahu, aku bukan siapa-siapa kepada orang lain, hanya berlagu di halaman sendiri.

Penghujung tahun 2015 tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi, dan genaplah setahun aku menabur khidmat yang tidak seberapa ini di sekolah yang agak hebat menurut kata-kata orang di sekitar sini. Ya…aku akui sukar untuk mengikut rentak di sini. Rentak yang pantas, kalut, deras…semuanya ada di sini. Aku hanya seolah-olah lagu balada dan jazz yang tidak mampu menyaingi lajunya rentak muzik metal dan trash.

Tahun ini juga anak murid pertama secara rasminya telah menghadapi peperiksaan SPM. Jujur aku katakan banyak kerenah murid kadang-kadang meresahkan fikiran, menggundah gulanakan hati dan ada kalanya telatah mereka jadi hiburan dikala aku sedih dan berduka. Begitulah indahnya suka duka menjadi guru. Cabaran juga bagi diri yang setahun jagung dalam dunia ini, sebelum ini aku hanya menjadi juara dalam penulisan dan kajian dalam lembaran kertas putih sahaja, tapi tahun ini sukar untuk aku menjadi juara dalam hati dan sekujur jasad seseorang manusia itu.

Juara hati bagi murid-murid yang pelbagai ragam dan sifat. Kadang-kadang ada yang melawan seperti “F”, ada yang suka berhujah seperti “H” dan ada juga yang aku selalu marah tetapi dia tetapi senyum seperti “S”. Aku terfikir….inilah ragam yang aku perlu lalui sepanjang tahun dalam tugas memberi ilmu dan inspirasi kepada mereka. Banyak masalah mereka yang perlu aku ketahui, perlu aku fahami bukan sekadar mengajar apa yang aku tahu sahaja. Aku juga perlu membuang ego seperti yang ada pada Narcisscus seperti dalam watak lagenda Yunani untuk memahami masalah mereka itu.
Aku bukan superman dan superhero yang mampu memenuhi kehendak semua orang. Aku hanya seorang guru yang mempunyai cara tersendiri untuk membuat anak murid berjaya. Ya walaupun ianya kadang tak dihargai oleh semua.

Berakhirnya SPM…

Alhamdulillah bagi mereka..kurasakan telah lega dari segala penah lelah untuk menghadapi SPM ini.  Tetapi aku ingin tegaskan, untuk menjadi seorang yang berjaya, tiada istilah rehat dan bersenang lenang. Ranum dan masak sesuatu buah itu bukan mudah, banyak serangga perosak dan kulat menghalangnya menjadi buah yang masak ranum dan manis untuk dimakan. Begitulah analogi cabaran sepanjang bergelar pelajar dan pengembara dunia.
Berbalik kepada diriku…


Dalam tahun ini, aku terasa seperti pelakon yang menjadi beberapa karakter, sekejap aku menjadi jurulatih di padang, sekejap mejadi m.c di majlis, sekejap menjadi pengarah drama, sekejap menjadi motivator di kelas. Begitulah tugas aku di sekolah. Kadang-kadang tugas yang tak dijangka, sukar tetapi di akhirnya menjadi kenyataan dan kegembiraan seolah-olah aku terjun dari tempat tinggi dan tiba-tiba keluar parachutes menyelamatkan diri ini. Alhamdulillah segala urusan tahun ini hampir 90% sudah berakhir.

Monday, November 16, 2015

Kenangan tahun enam.

Esok keputusan UPSR keluar. Malam ni aku teringat sambil senyum sendiri mengenang kisah lalu yang tak berapa nak menarik bagi orang lain. Tapi bagi aku ia kisah silam yang sangat evergreen, nostakgik, dan weltanscauung.
Sebelum UPSR aku boleh dikatakan pelajar  yang agak “loser” dan “introvert” sehingga guru-guru tidak meletakkan harapan untuk dapat keputusan yang baik dalam UPSR. Waktu hari perjumpaan dengan ibu bapa, antara aduan guru kepada Abah dan Mak aku ialah:
Guru: anak encik ni pendiam sangat. Nak bercakap pun susah.
Guru: anak encik ni tak berkawan dengan orang. Asyik dok sorang-sorang je.
Guru: anak encik ni nak jawab soalan pun susah. Berat mulut sangat.
Aku hanya terkebil-kebil melihat situasi tu. Balik rumah memang kena marah la dengan Mak dan Abah. Aku pun mula bersemangat sikit untuk study tapi dengan cara introvert akulah. Study di atas rumah pokok, study di jambatan sorang-sorang, kalau kat sekolah aku cari surau untuk study. Disebabkan aku dipandang loser kat kelas masa tu, cikgu letak aku sekumpulan dengan budak perempuan. Aku tak pasti motif apa, tapi aku memang benci duduk dalam kumpulan tu hahaha. Budak-budaknya bawa anak patung dalam kelas, sembang cerita drama pukul 9, dan selalu tuduh aku meniru bila markah aku lagi tinggi daripada mereka hahaha…dengki lettew…
Bila aku berubah dan mula jawab soalan cikgu depa tuduh aku tunjuk pandai…memang bermusuh betul aku bila terpaksa duduk dalam grup tu. Sekarang depa tak percaya aku yang loser dulu dah jadi cikgu...depa yang bermusuh dengan aku dulu dah jadi doktor, engineer, ustazah, model tudung. Agak –agak ingat lagi tak depa bila aku yang loser ni tolong lukiskan lukisan depa masa subjek pendidikan seni dulu sebab depa lukis macam cakar ayam…haha.
Teringat aku bila keputusan nak diumumkan. Aku tengah syok melukis goku yang pada masa tu dalam komik dragon ball jilid 42. Haha..ingat lagi jilid tu...
Cikgu panggil semua pelajar berkumpul kat kantin. aku ambik slip exam dan cikgu ucapkan tahniah kat aku sambil ucapkan kata-kata tak sangka aku boleh dapat result tu. Budak-budak dalam kumpulan yang dengki dengan aku tu mula la nak berbaik-baik dengan aku….hahaha.
Aku malas nak cakap result kat sini..haha..nanti orang kata riak pulak...ok bye...

-hari ni tulis santai sikit-

Monday, November 2, 2015

Selekoh kehidupan


Hujan yang lebat. Biasanya hujan sebegini jari-jemariku begitu gatal untuk mengetuk papan kekunci komputer. Entah mengapa pabila titik-titik air yang menghujam bumi dan makhluk di sekitarnya berlaku, hati aku memberontak untuk menulis. Begitulah hujan, aku dan tulisan.
Sepanjang perjalananku  ke rumah dari Medan Gopeng, hatiku kadang-kadang terusik, kadang-kadang memberontak, kadang-kadang tersenyum sendiri seolah-oleh aku melihat melodrama yang terpapar di cermin keretaku.
Aku melihat kesungguhan anak muda berjualan burger. Hujan sedikit sebanyak mengurangkan jualannya hari ini. Bersabarlah teman, allah sedang mengujimu pada hari ini, insya-Allah nikmat dan rezeki yang lebih akan datang pada hari esok atau lusa.
Aku melihat bapa yang menunggang motosikal sambil seorang ibu memaut anaknya yang duduk di tengah. Menggigil sambil kesejukan. Bersabarlah wahai ibu dan bapa. Doakan anakmu itu akan membantu kamu di dunia dan menjadi anak soleh yang mendoakan kamu di akhirat.
Begitulah ujian dunia. Ada suka dan ada duka. Kehidupan yang melalui beribu selekoh dan cabaran yang bakal dihadapi di setiap selekoh. Ada yang mudah ada yang sukar. Ada sesetengah manusia yang semakin luntur sifat manusiawinya. Baru dikurniakan nikmat sudah tinggi mendongak dan mendepang dada. Herdikan dan makian busuk kepada si miskin sering kuperhatikan. Aku melihat si kaya yang sebegitu dengan pandangan yang meloyakan.
Aku tidaklah kaya seperti ahli perniagaan yang asyik menghitung untung rugi….tidak juga fakir sehingga mengharap belas ihsan orang. Aku hanya hidup secukup makan. Tidak juga baik dan tidaklah juga jahat. Akan tetapi setiap pengalaman, doa dan iktibar yang aku lalui sepanjang ribuan selekoh dunia dan onak yang bertaburan di sepanjang jalan telah mengajarku erti syukur. Cukuplah dengan kaya dengan kebijaksanaan dalam mengambil tindakan dan kaya dengan penyerahan diri kepada tuhan.
Kadang-kadang bila termenung di tepi tingkap sambil menikmati hujan, aku terasa diri ini begitu tenang meskipun jiwa ini tenang dan gelisah. Ketenangan juga boleh hadir pabila dahi ini menyentuh tikar sejadah tanda perhambaanku kepada tuhan. Rasaku…telah banyak cahaya yang tuhan berikan kepadaku. Nikmat teman, nikmat harta, keluarga dan bumi yang kupijak serta nafas yang kusedut. Aku merasakan sudah menemui emosi yang tenang sekarang.
Mataku berkaca-kaca dan terbit titis jernih keluar daripadanya. Tidak sedar rupa-rupanya aku menangis sekarang. Menangis sambil menulis. Aku tahu itulah wadah tangisanku sekarang. Aku tahu tangisan juga adalah hikmah kepada manusia daripada tuhan.
Aku sedar…jasadku ini akan kembali ke bumi dalam ruangan yang sempit.
Nasihatku kepada diri ini…
Membesar…capai…sambut nikmat dunia ini…tapi jangan lupa kepada akar yang membumi. Kalau reput akar maka tumbanglah pohon diri.
Madahku terganggu dengan suara anak-anak asrama. Usia remaja yang kadang-kadang sukar untuk aku mengerti…hmmm.


Monday, October 12, 2015

Liku di UM

Aku merenung titis-titis hujan daripada jendela mewah di Heritage Hotel. Titis air terbit di cermin kaca akibat daripada proses kondensasi yang berlaku kerana cuaca di dalam bilik lebih sejuk berbanding di luar. Selama empat hari ini minda aku letih merenung dan menanda kertas 3 pagi, petang dan malam.

Esok aku perlu ke Kuala Lumpur. Mengiringi anak-anak hoki untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan juga lawatan ke tempat menarik di Kuala Lumpur. Bandar yang agak nostalgia bagiku. Ya…nostalgia…nanti kusambung kisahnya di perenggan seterusnya.
Hari Jumaat…penghulu segala hari. Aku tergesa-gesa menghantar kereta ke rumah dan kembali ke hotel untuk sesi terakhir pembentangan. Kemudian aku tergesa-gesa untuk keluar awal dari dewan kerana bas sudah menunggu di luar kelas. Sabarlah wahai hati…tergesa-gesa dan menjadi mainan dalam hidup sejak aku hadir ke sini. Rindu aku kepada bumi tarbiyah, suasana yang aman, bumi yang hijau, majlis ilmu yang mekar mewangi, biah solehah yang wujud seperti embun yang menyegarkan dedaunan di musim kemarau. Ya…aku ingin kembali ke sana.
Kembali ke alam realiti…

Aku terjun ke dalam perut bas dengan rasa letih di otak. Destinasi adalah Kuala Lumpur. Bandar yang sering dijadikan tajuk lagu-lagu evergreen seperti alleycats, malek ridzuan. Teringat baik-bait lirik malek ridzuan yang dinyanyikan oleh konduktor bas dalam filem "rock ooo"

“Meskipun badai yang melanda
aku terus melangkah
mengharungi hidup kota
dengan sepotong doa
Agar penghidupan
lebih maju bermakna
cuba membela nasib agama, bangsa, negara”

Bas kami berhenti di Stadium Pantai Kuala Lumpur. Stadium ini tidak asing lagi bagi aku. Sejak liga Div 1 lagi aku dah bermain di sini. Berhadapan dengan menara rebung, suasananya sungguh indah sekali. Tersergam megah ibarat setiap penghuni dalam menara itu menonton perlawanan hoki pada hari ini. Aku sempat berlari ke masjid untuk solat Jumaat. Iktikaf sebentar di masjid ini menggamit memori aku semasa zaman menuntut ilmu dahulu. Pernah aku tidur di masjid ini kerana tiada wang untuk menyewa hotel kerana ingin berhibernasi di Perpustakaan UM selama dua hari. Aku bertemu dengan Fitri, teman sewaktu Mukhayyam di belantara titiwangsa, pernah survival mencari jalan pulang ke kem, pernah menuruni jurang 90 darjah dan dihumbani batu-baru di atas kepala, pernah bersolat sekali di pasir sungai. Ahh…pengalaman itu walaupun pahit, bila dikenang terasa ranum dan manisnya kenangan itu.

Selesai berukhwah dengan Fitri, aku pun tergesa-gesa lagi ke stadium, di luar masjid bangla ais krim membunyikan locengnya. Arh…tekak yang kering dan cuaca yang panas ini aku terbayang ais krim yang enak sambil wap-wap halus terbit dari kesejukan krim yang beku itu. Aku singgah lalu menikmati sebentar keenakan ais krim tersebut lalu terus mengorak langkah ke stadium.

Aku begitu rindukan UM. Berhibernasi di Za Ba dan curi-curi menagkap gambar buku kerana khuatir diamarah oleh pustakawan singh yang garang begitu mencuit hati sambil aku tersenyum sendiri. Hampir setiap buku yang aku minat, aku potostat kerana buku tersebut sangat eksklusif kerana masih tiada terbitan baru lagi. Ah…bila lagi dapat kunikmati nikmat bau-bauan buku lama dan habuk-habuk buku yang melekat di rak-rak. 

Wednesday, September 23, 2015

Di mana boleh ku cari daerah ketenangan

Alhamdulillah...selesai sudah beberapa isu, beberapa program, beberapa aktiviti. Terkadang ku ingin mencari daerah ketenangan itu. Sepi dari program, sepi daripada aktiviti sepi daripada riuh manusia, sepi daripada arahan dan suruhan. Ku berbual dan mengadukan masalah ini kepadaa seorang ikhwah, "syeikh... enta perlu yakin bila enta ada masalah, enta sabar insyaallah allah akan beri ganjaran di akhirat". Ya..alhamdulillah..kata-kata ikhwah kadang-kadang menjadi penawar pada diri yang sedang murung ini.

Hujan turun renyai-renyai, aku keluar dari rumah tatkala pelajar asrama sudah pulang ke kampung. Aku melihat ke langit, kudepakan tangan sambil aku mendongak ke langit. Kerasakan titis-titis hujan begitu mesra membelai kulitku, kerasakan ketenangan. Merenungi dan merasa telatah hujan sebenarnya boleh mengajak kita merenugi kebesaran yang maha Esa. Hari ini hujan begitu mesra sekali, anak-anak sayur yang aku semai bagaikan riang menari-nari direnjis siraman hujan yang lembut. Insyaallah kalau ada rezeki sebulan lagi aku bakal merasa hasil sayur kailan ini.

Aku masih lagi basah dalam siraman hujan, kurasakan siraman ini tembus sampai ke kalbu ini. sejuk..tenang dan mendamaikan.

Aku berpaling ke belakang, sebenarnya aku keliru, rumahku ini berwarna merah jambu atau ungu?.
aku masih belum mendapat jawapan kepada warna itu sebab aku masih belum bertanya kepada sesiapa. Aku khuatir akan ada yang tahu bahawa aku ini memang insan yang sukar untuk mengesan warna. Rumah ini baru dua minggu aku huni. Tatkala guru lain berkejar-kejar mencari rumah jauh dari sekolah, aku pula sebaliknya. Kulihat rumah ini agak tenang, ada pohon kuinin di belakang rumah yang sedang berbuah, ada juga pohon nangka yang menunggu masa untuk ranum. di sebelah kanan rumah pohon pisang yang banyak sedikit sebanyak menjadi sumber kehijauan. Pokok ubi hidup subur dan pucuknya begitu enak apabila dikukus dan dicecah sambal belacan.Arhh...ku berkira-kira hendak memasak apa pada malam ini..semalam sudah kumasak sambal tumis ikan bilis dan telur separuh masak bersama hirisan cili padi dan kicap jalen, hendak menunggu kailan ikan masin, sayur kailan masih lagi peringkat anak pokok, insyaallah mungkin sebulan lagi.

Saat aku menulis ini..kertas jawapan murid-murid masih lagi berselerakan di meja...

Saturday, August 29, 2015

Anak bujang yang sulung

Hari minggu yang padat, hari ni aku tak jadi untuk hadir ke daurah dek kerana gesaan dari mak dan abah untuk memenuhi jemputan walimah saudara di Taiping. Anak bujang yang sulung, bbesar tanggungjawabnya, begitulah aku. Kuturutkan arahan itu tanda kasihku kepada mereka.
Dalam kereta, mak dan abah asyik mengisahkan sanak saudara dan anak-anak teman mereka yang baru mendirikan masjid. Aku cuba mengalih cerita dengan jenaka bodoh yang terus dimarahi oleh mak dan abah. Hurmm...terpaksalah aku menadah telinga mendengar basa basi mereka yang aku tahu tujuannya untuk mnyindir aku supaya cepat kahwin.
Topik beralih pula kepada anak bongsu pihak pengantin yang masih bujang.
Mula la dialog macam ni:
"Anak bongsu dia tu cikgu, tak kahwin lagi"
"Mak nak tengok nanti"
"Boleh eratkan saudara"
Gurlp....aku menelan air liur yang alkali...aduh...ni yang aku berat nak pergi.huhu..
Sampai di rumah pengantin mak terus nak jumpa anak bongsu tuan rumah. Aku yang duduk di meja sama terus berpura-pura sakit perut.
Ah..lega...aku berjaya melarikan diri dari situ..hehe.
Kalau tak malu aku ..huhu.

Wednesday, August 12, 2015

Jazz Star dan Dockers khakis aku sarung kembali

Pagi yang indah, aku merenung awan yang berarak berlatarkan langit biru yang seolah-olah menjerit dan berlaung kepadaku…. “let’s have a new advanture..!!!!”. Aku duduk di pintu rumah, surat khabar yang ada di meja kuperhatikan.- Ahh… hari-hari isu yang sama…korupsi dan konspirasi daripada aristokrat yang semakin buncit perutnya membaham wang dan kekayaan negara. Aku perhatikan rak kasut, kulihat jazz star putih kekuningan dan koyak sedikit seolah-olah menjemputku untuk memakainya. Aku teringat dockers bundle yang kubeli di baden-baden bundle sewaktu zaman menuntut ilmu dulu. Yeah….keselesaan memakainya memang tiada tandingan, sesuai untuk ke kebun dan ladang, sesuai juga untuk memancing…hahaha…tetapi seluar itu jugalah aku pakai sewaktu kuliah di universiti....nevermind…no one notice it. Kulihat motor 135 LC yang sudah lama tak dihidupkan dan bersepuk di garaj. Hatiku teruja pagi ini…yeah… jazz star…dockers bundle….135 LC….jom!!...  let’s start a new adventure today!!!!.
Tanjung Malim, entah kenapa tempat ini begitu menggamit fikiran dan minda ini. Tatkala orang berbicara mengenai keindahan Pulau Tioman, kepelbagaian pusat beli-belah di KL tapi aku tetap ingin ke Tanjung Malim. Ya…pengembaraan hari ini ke Tanjung Malim..!!!!!!.
Kusarung jazz star lusuh dan sedikit koyak, kupakai seluar dockers bundle dan jaket. Aku capai motor kapcai dan aku pecut dengan hati yang berbunga-bunga.
Jalan-jalan ke Tanjung Malim dari Sabak Bernam masih seperti dulu. Panorama sawah padi di kiri dan kanan jalan begitu mendamaikan. Kabus pagi yang nipis menyegarkan lagi pandanganku ketika itu. Sambil meluncur di jalan sawah aku segarkan kembali minda dengan hafalan-hafalan surah al fajr dan muzammil, almaklumlah....semakin tua semakin lupa. Kadang-kadang orang di kiri kanan jalan melihat mulutku terkumat-kamit… mungkin dalam hati mereka berkata “ orang kat atas motor tu cakap sorang-sorang ke?? “…hehe. Ahh….pedulikan mereka… aku meluncur lagi, setelah melalui petak-petak sawah menghijau aku kemudian membelah ladang kelapa sawit dengan motor kapcaiku. Jalan agak seram… bloomy…creepy…macam cerita-cerita Hollywood dan seram Melayu. Seram pun…seramlah…”looking out at the road rushing under my wheels, looking back at the years gone by like so many summer fields….” Bak kata Jackson browne…haha..sungguh nostalgik jalan-jalan ini.
Selesai melalui jalan lurus di celahan ladang sawit, aku membelah pula hutan belantara, aku kira ini adalah hutan terakhir di daerah hulu Selangor, mungkin dua atau tiga tahun lagi ia akan menjadi ladang sawit juga. Hmm…begitulah nasib alam apabila manusia haloba yang terus menerus menodai hutan-hutan di negara ini. Ya…suasana bertukar dingin apabila aku melalui bukit-bukit di situ. Jalan agak bengkang bengkok. Setelah melaui hutan tersebut, aku meronda seketika di Kg Sg Selisek. Kampung ini pernah menjadi sekelumit dalam nota sejarah hidupku…ya…tempat aku praktikal. Sekolah Agama yang suasananya sangat santai, tenang tanpa tekanan dan stress. Aku begitu mengidam untuk kembali lagi ke sana.
Destinasi seterusnya di Pekan Behrang Station. Ada apa di pekan koboi ini??. Ada Jesse James yang menembak sambil menunggang kuda??..haha…tidak…di sini tempat aku menghirup cendol yang agak enak, tempat aku dan pelajar melepak selepas waktu persekolahan.


BERSAMBUNG…..SIBUK SIKIT MINGGU NI…HUH.

Wednesday, August 5, 2015

Mengajar Adalah Jiwaku.

Setelah balik daripada kelas 1 Jambu, aku pun duduk sambil merenung kertas peperiksaan yang masih belum habis ditanda. Saat ini juga aku sempat mendengar makcik-makcik di sekeliling bersembang pasal tudung, lauk jamuan hari raya, gosip artis, masalah pelajar, masalah anak dan lain-lain. Hmm...aku masih di meja sambil memikirkan perkara apa yang patut dibuat dahulu. Ah..bulan ini merupakan bulan yang paling sibuk sekali. Ada macam-macam program sekolah yang perlu diselesaikan dan dajalankan dengan lancar. Sebenarnya aku lebih suka masuk ke kelas, mengajar, bergurau dengan murid, melukis dan berbincang isu-isu semasa dengan pelajar. Kelas adalah jiwaku...aku sekarang seperti merasakan diriku ini seperti jurulatih sukan sepenuh masa, kerani, dan ajk program. Aku lebih suka memfokuskan diriku ini di dalam kelas. aku merasakan diriku ini terganggu dengan program-program di luar kelas.

Saturday, July 18, 2015

ijazah yang sebenar

Subuh yang dingin setelah hujan renyai membasah tanah yang gersang dan tumbuhan yang layu pada malam tadi. Angin dari selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa sekaligus menambah kedinginan pagi itu. Aku melilit serban palestin milik arwah atok di leher untuk mehilangkan sedikit kedinginan pagi.
Aku mengatur langkah menuju ke batas sawah. Angin selatan yang bertiup menyebabkan rambut dan serban palestin meliuk-liuk liuk dan melambai-lambai. Ah..dinginnya pagi ini. Aku melangkah semakin jauh ke tengah sawah, anak-anak ikan puyu bermain-main dipermukaan air di kiri kanan batas sawah. Ketam padi bercempiran lari bila aku menghampiri mereka. Sekumpulan bangau putih sibuk meranduk air sawah sambil mematuk-matuk permukaan air, barangkali ada anak ikan dan katak yang menjadi rezeki bangau di pagi hari. Begitulah ibrah dari seekor burung bangau, bangun pagi dan mencari rezeki, dari kantung yang kosong sehingga penuh kantung dengan anak ikan. Bangau tidak pernah bersungut dengan rezeki bahkan yakin dengan rezeki yang ditetapkan Allah.
Ibrah ini kuperhalusi sepanjang langkah aku di batas sawah. Aku berdiri berseorangan di batas bendang. Aku cuba mengulang hafalan quran supaya tidak lupa. Waktu yang tenang dan bersendirian ini adalah waktu yang sesuai untuk menghafal.
Kalimah dan melankolik bahasa juga bermain-main dalam kotak mindaku.

Ijazah..
Apa guna ijazah di universiti kalau tiada rasa peduli,
Apa guna ijazah di universiti kalau tidak kenal ikan haruan dan keli,

Anak..
Kembalilah ke kampung halamanmu,
Ayah ibumu sudah lama menanti dan menunggu,
Tanah dan selut sudah tidak sabar untuk dipijak selalu,

Azam

Friday, July 17, 2015

Surau Lama Menggamit Nostalgia

Hari terakhir persekolahan sebelum bermulanya cuti raya, sekolah aku mengadakan ritual klise seperti yang dilakukan sejak zaman berzaman iaitu majlis salam bersalaman. Aku bersandar di tepi kereta alza yang agak "fancy" sambil menanda buku dan memerhati tingkahlaku orang. Siap menanda buku aku terus ke bilik guru untuk menyiapkan kerja lain.
Aku berada di sekolah sehingga jam 3. Ahh...kerinduan ke kampung halaman semakin menebal. Rindu pada keluarga dan juga suasana di surau lama. Surau lama...apa yang ada di sana??
Jika dilihat dari pandangan materialistik, surau lama itu hanyalah sebuah bangunan kayu dua tingkat yang agak uzur.
Bagiku pula...surau itu penuh dengan khazanah kenangan sejak zaman kanak-kanak lagi. Seburuk dan seuzur manapun ia, aku tetap rindu untuk ke sana.
Sejak dahulu lagi itu tempat aku dan rakan-rakan kampung untuk melepak sebelum waktu isyak. Apabila meningkat umur,tempat itu merupakan tempat untuk kami "reunion".
kerusi usang tempat kami duduk bersantai masih ada lagi. Microfon usang dan berbentuk corong masih lagi tesergam di bumbung surau. Masih ssetia berkhidmat setiap kali aku melaungkan azan.
kini aku merindui waktu itu...
tinggal jauh di ipoh, aku masih tak dapat merasa suasana seindah di surau lama. Makan kenduri guna talam dan suasana tarawih seperti dahulu sangat kurindu.
Aku juga rindu dengan celoteh pakcik-pakcik di surau. Rindu dengan suasana masak memasak.

Ya..ubat untuk rindu itu ialah kembali ke surau lama dan nikmati nostalgia itu

Wednesday, July 15, 2015

Catatan setahun yang lalu..ada suka dan ada duka

Keputusan temu duga sudah diketahui..
Kini, terlerai seribu persoalan yang dinanti..
Ya, mengenai masa depan diriku ini..
Adakah berjaya menjadi pendidik sejati..

Azam diri menjadi murabbi..
Akan tetapi, adakah usaha diri setara dengan apa yang dicitai..
Ya, aku masih berusaha memperbaiki diri..
Moga diri ini mendapat petunjuk ilahi..

Keputusan temu duga telah heboh diperkata..
Ketika itu aku sibuk sambil tercelik-celik biji mata..
Melihat dokumen yang berabad lama..
Moga ada serangkap dua ayat yang boleh diambil cerita..
Bagi thesisku yang entah bila siapnya..

Seorang, dua orang dan tiga orang mula bertanya..
Telefon tidak pintar sering kali berbunyi dan menyala-nyala..
Aku menjawab kepada mereka..
Ada rezeki tu adalaaa..!!!
Esok dan lusa akan kuketahui juga..
Kalau ada rezeki itu, ia tidak ke mana..
Kalau tiada, maka redhalah jua dengan kehendakNYA..

Keputusan temu duga sudah terpapar..
Banyak perasaan calon yang tergambar..
Ada yang suka, ada juga yang hambar..
Adikku menefon sambil aku menanti bas dengan sabar..

Abang..keputusan sudah diketahui..
Aku mendengar ungkapannya dengan teliti..
Abang dah lulus!!..katanya lagi..
Aku bersyukur kepada ilahi..
Setapak lagi langkah ke hadapan menjadi murabbi..

Aku juga pernah merasa perasaan itu..
Menanti dan terus menanti waktu..
Aku tahu..
Harapan kau, aku, dan kita semua hanyalah satu..
Iaitu menjadi seorang guru..

Kini..
Hendak aku nyatakan perasaan sabar..
Aku tahu, mungkin kau lebih sabar daripadaku..
Hendak kunyatakan perasaan tabah..
Aku tahu, mungkin kau sudah lama tabah sebelum ini..
Hendak aku berpesan supaya berdoa sebanyak-banyaknya..

Tapi aku tahu, mungkin doa kau lebih daripada doa-doaku..

Minggu Terakhir Ramadan 2015.

Mata semakin berat menanggung rasa mengantuk. Buku "On The Trail of Genghis Khan" masih dalam peganganku sambil laptop memainkan lagu "City Hunter Nana OST" . Aku melipat bahagian terakhir yang  dibaca pada hari ini, esok mungkin kalau mood membaca hadir lagi, akan aku buka kembali buku tersebut. Riuh suara kanak-kana bermain sudah reda, mungkin semuanya sudah terlena barangkali. Biasalah....rumahku tempat sepupu-sepupu berkumpul. Semuanya dalam usia 5-13 tahun, jadi tidak hairanlah rumah menjadi hiruk pikuk dengan suara anak-anak. 

Hari ini terdetik hati ini untuk menulis nostalgia dalam minggu terakhir ramadan pada tahun ini. Ramadan ini aku dikejutkan dengan pemergian dua sahabat baik. Seorang meninggal disebabkan makanan dan seorang lagi akibat daripada komplikasi organ. Moga kedua-dua arwah diberikan tempat yang terbaik oleh Allah di akhirat sana. Aku mengenali Arwah Zainul ketika sekolah menengah. Beliau seorang yang tegas dan baik. Persahabatan kami berlanjutan sehingga ke universiti dan sepanjang berada di universiti arwah sangat aktif dalam gerakan dakwah manakala aku lebih selesa bergerak dalam NGO dakwah. Tutur kata yang lembut dan berhikmah menjadi santapan sahabat setiap hari. Zainul...Allah lebih menyayangi engkau...

Akhi Rahim nama diberi, teman yang santun bila berbicara. Aku mengenali beliau semasa forum di UPM. Aku berucap dan bertanya soalan kepada ahli panel. Selepas itu aku disapa oleh seseorang.

Rahim: Akh...enta asal dari bagan datok ya?

Aku : ye..ana asal dari sana. Kenapa?

Rahim: ana pun dari sana.

perbualan kami berlanjutan sehingga tamat forum.

Allah takdirkan aku bertemu dengan pemuda yang berjiwa hebat. Insyaallah akh...perjuanganmu akan dibalas dengan ganjaran baik daripada Allah.

Kisah-kisah ini sebenarnya adalah kisah yang ingin aku selitkan dalam tazkirah dan solat tarawih terakhir di surau asrama. Akan tetapi manusia hanya mampu merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Pada malam itu, Allah menguji hambanya dengan sedikit kemalangan. Tayar hadapanku terlanggar lubang lalu pecah ketika lagi dua tiga minit lagi azan akan berkumandang. Kebetulan kemalangan itu berlaku dekat dengan lokasi kedai untuk kami (aku, wan cili, mus'ab, dan hafizuddin mesir) berbuka puasa.

Lupakan tayar dan kereta...mari kita pekena stimbot dulu. Setelah selesai menjamu selera. Ujian sebenar bermula. Tayar kereta tidak boleh ditukar. Aku perlu berkejar ke asrama, mus'ab pula bertugas sebagai imam di surau STAM. Mujurlah ada hamba Allah yang baik hati menolong diri ini. 
Tayar siap dipasang tetapi tugas aku di Surau Annur dan mus'ab di STAM terpaksa dileburkan. 
Ya...ada hikmahnya. Percayalah pada ujian dan takdir Allah.

Aku rindu dengan suasana surau, walaupun diri ini bukan ustaz atau alim ulama. Moga ada terdetik di hati ana muridku untuk melangkah setapak lagi dengan kebaikan. Aku juga perlukan zarah-zarah kebaikan meresap kedalam relung hati kerna kutahu nanah-nanah dosa sebagai manusia perlu dibersihkan dengan zikir dan muhasabah tentang hakikat manusia diciptakan.

Moga Allah ketemukan aku dengan ramadan pada tahun hadapan dan moga Allah jadikan ramadan ini yang terbaik buat diriku jika ini merupakan ramadan terakhir bagiku. 

(azam/bagan datok/kampunghalaman)


Wednesday, July 1, 2015

Introvert hadir dalam suasana kerja.


Sambil menanda buku pelajar dan mendengar laptopku terngiang-ngiang mengalunkan lagu "another you" hatiku meronta-ronta hendak mencari tempat yang sunyi dan dapat menerbitkan ilham dalam diri. Aku rasakan suasana dalam bilik besar ini seperti pasar malam yang dipenuhi makcik-makcik yang bergosip sambil memilih ikan yang hendak dibeli. Sejujurnya aku tidak suka perkara ini, aku keluar....aku memilih surau sebagai tempat bersunyi-sunyian...alhamdulillah habis buku-buku ditanda.

Tuesday, June 23, 2015

lamunan di hujung malam.

Malam semakin jauh menuju penghujungnya. Tersedar aku dari lamunan malam yang kadang-kadang tidak kurang puitisnya, Kenangan-kenangan lalu terbit dengan sendirinya dalam minda dan terasa menebal kerinduan di dalam hati. Jam mununjukkan pukul 12 malam, aku yang kekenyangan selepas menelan lauk moreh di asrama dengan laparnya semakin terpejam celik kerana diserang mengantuk. Suasa di rumah seperti biasa, di luar rumah riuh dengan hingar bingar pelajar kolej yang mungkin sedang sibuk menyediakan lauk bersahur atau berbincang tugasan secara berkumpulan. Teringat aku dengan kenangan sewaktu berada di universiti dahulu. Aku ditugaskan sebagai chef setiap kali berbuka puasa. Lauk seperti tomyam, sup, masak lemak cili padi sering menjadi pilihan pelajar yang pada ketika itu kalau tidak enak pun habis juga lauk itu ditelan oleh mereka dek kerana lapar. Pada malamnya pula Surau KUO menjadi pilihan penghuni kolej untuk menunaikan solat sunat tarawih.
Indahnya pengalaman ketika itu bersama teman-teman. Walaupun dari sudut pandangan politik agak berbeza tetapi ukhuwah kami tetap erat.
Lamunan malam ini terhenti. Kadang-kadang terasa canggung kerana membiarkan ianya pergi. Seolah-olah aku kembali melalui mesin masa ke zaman itu. Seolah-olah kerana itu baru berlaku semalam. Aku menghentikan lamunanku. Aku sedar aku sekarang tidak berada di dunia itu. Murid-muridku akan menanti aku di kelas menjelang fajar terbit dari timur. Malamnya pula mereka menunggu aku di surau untuk bersolat tarawih. Aku juga perlu menyegarkan minda ini dengan ayat al quran untuk dibaca pada malam-malam seterusnya. Suasana di sini tidak seperti di bumi pendidik dahulu. Untuk menghafal semuka al quran tidak semudah seperti yang kulalui dahulu.
Malam begitu cepat merangkak ke penghujungnya, mata yang kuyu kian layu kerana keletihan sepanjang hari. Sepanjang siang dan awal malam aku letih menghitung diri. Akan kukumpul tenaga kembali untuk melalui onak duri hari esok yang takdirnya masih belum kuketahui. Dadaku tidak selapang dan setenang sewaktu di bumi pendidik. Daerah yang kurasakan jauh terpisah daripada dunia material hanya ilmu dan ukhuwah yang menghiasa perjalanan di sana.

lamunanku terhenti/cherry park/ipoh.

Monday, May 18, 2015

Hari Guru...aku biasa-biasa saja...

Hari Isnin, aku seperti biasa pergi ke sekolah sambil mengunyah epal sebagai sarapan di dalam kereta. Sampai di sekolah aku terus menuju ke thumbprint untuk mengesahkan kehadiran hari ini. Seperti biasa hari Isnin merupakan perhimpunan rasmi. Ritual klise dalam perhimpunan seperti nyanyian negaraku, lagi perak, lagu sekolah dinyanyikan. Cuma, hari ini ada tambahan lagu iaitu lagu "Kami Guru Malaysia". Bibir aku kelu kerana tidak ingat lirik lagu.. Selesai perhimpunan aku masuk ke kelas Jasmine. Seorang murid yang agak celupar bertanya.. Cikgu tak nyanyi ye tadi??
Aku jawab...Cikgu tak ingat lirik...banyak lagi perkara kena ingat (lagak garang) haha.
Pelajaran hari itu aku teruskan dengan peribahasa yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Disebabkan jawapan mereka yang agak merapu dalam peperiksaan sebelum ini, aku rasa perlu untuk diajar semua peribahasa tersebut. Pada 29hb ini sekolah mengadakan tema pakaian "kalau aku bukan guru". Arhh..rasa seperti mahu memakai baju buruh kontrak seperi aku pernah lakukan dulu. Biar anak muridku mengerti makna kehidupan.




Wednesday, May 6, 2015

hujan..waktu yang sesuai untuk termenung

Waktu petang di Ipoh, tatkala sibuk menyiapkan soalan-tiba-tiba awan gelap berarak yang membawa beribu gelen air untuk dimuntahkan ke bumi. Hujan membawa nikmat kepada tumbuhan setelah kontang berjemur dipanah terik mentari. Kadang Allah juga menguji hambanya dengan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir besar.
Aku bermonolog sendirian, tatkala hati resah dan gundah memikirkan soalan yang sedang digubal. Adakah muridku cukup bersedia untuk menjawabnya.
Hujan turun selebat-lebatnya. Padang yang dahulunya hijau, kini seolah-olah menjadi sawah. Air hujan menghempas bumbung dengan bertubi-tubi. Sorak riang teman di bilik guru tenggelam dek guruh dan bunyi asakan hujan.
Aku keluar mencari tempat yang sesuai bagi menikmati suasana ini. Aku melihat padang. Aku teringat zaman kanak-kanak bila aku membawa bola sambil bermain di tengah hujan lebat. Aku teringat bila aku membawa basikal sambil mengayuh riang di tengah hujan.
Menjejak usia remaja, mula meninggalkan hobi tersebut. Aku mula duduk di tepi jendela sambil memerhatikan curahan air hujan.
Hujan juga mengingatkan aku semasa zaman universiti, menunggang motorsikal sambil meredah hujan lebat. Mahasiswa/wi berpayung untuk ke kelas.
kembali ke kerusi berhampiran bilik guru..aku termenung panjang sambil memerhatikan bunga gugur ditimpa hujan. Bunyi deruman air hujan yang jatuh dari bumbung ibarat muzik alam yang mempersona. Lamunan aku yang lama di kerusi itu terhenti...
'Ai....azam termenung jauh nampak....'
Teguran dari rakan sekerja membuatku menoleh dan tersenyum.
'Saje tenangkan diri..stress sikit tadi'.
bersambung.....

Monday, May 4, 2015

1.55 a.m...esok dapat relief sebab latihan hoki Msspk.

Sebenarnya aku tak suka sangat relief kelas- tapi inilah tugasku sebagai pendidik, akademik aku perlu jaga dan kokurikulum juga perlu aku ambil perhatian dan peduli. Aku tak macam cikgu lain- balik ke rumah ikut waktu, aku balik ke rumah tak tentu. selalunya aku pulang lewat petang dan kadang-kadang balik malam kalau ada usrah dengan teman dan juga meeting dengan organisasi. Begitulah kehidupanku- ada masa aku suka dengan kehidupan ini, ada masa aku rasa letih tapi inilah hakikat sebagai seorang pengembara dunia yang sementara ini.
aku suka masuk kelas. Dalam kelas aku suka bercerita, beramah mesra dengan pelajar, bergurau, dan paling penting mengajar. Tapi aku tak suka terikat dengan silibus,..sebab ini menyekat aku untuk menghurai setiap  fakta sejarah yang aku tahu. Keterikatan ini menyebabkan kaedah pengajaran aku jadi terhad...skema...dan tak menarik.
Hoki..minggu lepas orang semua balik ke kampung, bercuti ke dalam dan luar negara. Tapi aku...
aku masih di dalam dewan menjadi jurulatih, aku suka...kerana itu minatku sejak dari kecil. Hari itu aku dan budak berjaya dapat tempat keempat walaupun mereka layak untuk johan.
Apa yang aku merapu malam-malam ni.
Kertas sejarah baru aku edit...dan bebudak kelas kalau tak baca apa yang aku ajar memang nak kena leter...hmmm.. adios..

Saturday, April 11, 2015

sabarkah bakal zaujah dengan diri ini?

Pagi ahad yang ceria, bangun tidur dan solat subuh kemudian capai kasut futsal di rak dan terus memecut ke padang polo. Hari ini kena mengetuai riadah dengan ikhwah STAM. Selesai riadah kirkira-kira jam 10, aku pergi le pasar karat untuk membeli buku terpakai..dapatlah satu buku yang agak nagus, iaitu '1421 the year chinese discover the world'. Setelah itu, aku balik ke rumah kemudian perlu bersiap ke izzudin untuk berjumpa anak usrah.
Petang ini pula perlu mambawa anak murid ke stadium untuk menyokong korea. Malam pula ada meeting progran dakwah. Begitulah kehidupan aku seharian...kadang-kadang aku terfikir, kalau sudah mendirikan rumahtangga, adakah zaujah mampu mrmahami tugas aku ini??..hmm

Wednesday, April 1, 2015

20 adik yang perlu dijaga.

Awal tahun 2015 aku dikejutkan dengan penyerahan jadual yang menyatakan aku juga  dilantik sebagai guru kelas. Pengalaman yang agak mendebaran kerana aku tidak pernah menggalas tugas ini. Tugas yang agak sukar bagi setiap guru kerana perlu berurusan dengan pelbagai perkara berkaitan pengurusan kelas, keceriaan, sukan dan lain-lain.
Rela dan terpaksa, aku menerima cabaran ini.
Susah juga jadi guru kelas ini. Ibarat kitalah ayah dan abang...lagi-lahi budak asrama..

hari ini dalam sejarah...gst...

Pergi ke kantin nak beli roti,
Roti naik harga 85 sen.!!!

Wednesday, February 25, 2015

tanggungjawab itu lebih daripada masa


Aku rasa seperti tidak layak untuk menulis mengenai masa, kerana kadang-kadang aku juga sering mengabaikannya. Tapi tak mengapalah, ingatan ini cuma untuk soliloque diri ini dalam keheningan malam setelah kerja yang padat pada waktu siang dan program ikhwah waktu malam. Ahh..baru dapat ku rasa lega dan nikmat baring diatas tilam kekabu setelah seharian berjalan seperti nomad.
Merujuk balik kepada tajuk...ya..ada benarnya kata Al banna, tanggungjawab itu lebih daripada masa. Akh...(ingatan untuk diri), kadang-kadang kita terlalu sibuk bekerja sehingga lupa tanggungjawab kita kepada agama. Akh..kadang-kadang kita sibuk dengan urusan dakwah sehingga ibu bapa kita di kampung menanggung rindu kepada anaknya. Akh..kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kerja kita terlupa bahawa kita ini masih perlu diisi dengan ilmu. Akh...kadang-kadang kita terlalu sibuk sehingga kita lupa bahawa ada insan yang masih memerlukan ilmu dari kita.Akh...kadang-kadang kita sibuk sehingga lupa ada keperluan diri yang perlu kita tunaikan seperti berkeluarga.Akh.....dan banyak lagi.   Mata pun sudah mengantuk.. esok masih ada tanggungjawab lagi untuk diselesaikan.....akh...akh....(akulah akh yang suka membuang masa itu..huhu)

Tuesday, February 17, 2015

Senja itu...

Malam itu benar-benar tenang, mencurahkan ketenangan dalam relung hatiku. Sebelum itu, pada senja yang kelam, aku pergi ke asrama dengan motor kapcai teman. Azan kualunkan dan usai solat Ustaz jemputan memulakan mutiara katanya. Cikgu shah berbisik kepadaku, Tuan Guru sudah meninggal dunia sebentar tadi. Aku terpana seketika, lidah mengungkapkan lafaz sunat musibah sambil hati bergetar kerana hiba. Aku mengenalinya sejak kecil lagi dan masih segar lagi dalam ingat bila aku mula menbaca karyanya ' tazkiyah an nafs' sewaktu darjah enam. Kitabnya kubawa sampai ke universiti untuk tazkiyah diri ini. Alhamdulillah, hasrat hati untuk bersua dengannya akhirnya tercapai semasa ziarah ke Kelantan. Kelibatnya samar-samar kulihat. Sambil bertongkat, dia berjalan menggagahkan diri yang semakin dimamah usia. Dia berjalan memasuki masjid dan duduk berhampiran denganku. Tanpa perlu disapa, dia menghadiahkan senyuman yang  manis disebalik kedut tua di wajahnya. Kini dia telah pergi dan menunaikan hakikat sebagai pengembara dunia menuju ke destinasi yang pasti. Perjuangan dan ilmunya menjadi tauladan buat diri. Ku sedar, destinasi itu juga pasti menjemputku nanti. Al fatihah buat Tuan Guru Nik abdul Aziz bin Nik Mat.

Thursday, January 15, 2015

genap 26 tahun

15 hb januari 2015 ini genaplah umur 26 tahun
. Dah tua rupanya diri ini.
Kesibukan hampir menyebabkan aku lupa sehingga mesej adik menyedarkan diri ini.

Ya.. .26 tahun...